Sunday 2 February 2014

Tindakan Tegas Terhadap Pegawai Yang Terbabit Dalam Pergaduhan Di Stadium Larkin


Mana-mana pegawai yang didapati bersalah dalam insiden pergaduhan di Stadium Larkin bakal berdepan dengan tindakan tegas

 "Jika ada pegawai atau pemain yang melanggari peraturan pertandingan akan dibawa ke Jawatankuasa Tatatertib FAM untuk tindakan lanjut," kata Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin.

Hamidin menjelaskan, pihaknya dijangka menerima laporan perlawanan itu selewat-lewatnya esok daripada komisioner perlawanan, Zainal Mukri sebelum dapat mengambil tindakan selanjutnya.

Beliau dan Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM, Datuk Seri Afandi Hamzah akan mengadakan mesyuarat khas, Khamis ini, bagi membincangkan insiden berkenaan.

"Kita akan turut memanggil komisioner dan pengadil perlawanan dalam mesyuarat berkenaan bagi mendapatkan gambaran lebih jelas.

"Jadi, saya harap para media dapat bersabar sebelum keputusan muktamad diumumkan oleh FAM pada Khamis ini," kata Hamidin yang turut kesal dengan insiden tersebut.

Satu laporan menyebut seorang petugas media yang merakamkan insiden pergaduhan pegawai pasukan bola sepak Johor Darul Takzim (JDT) dan T-Team di Stadium Tan Sri Hassan Yunos di Larkin Johor malam semalam, diugut sekiranya beliau tidak menghentikan rakamannya.

Pemain import T-Team dari Brazil, Elvado Rodrigues mendakwa dikasari dalam terowong menuju ke bilik persalinan pemain pada aksi pusingan kedua Piala FA menentang Johor Darul Takzim (JDT) di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Johor Bahru malam kelmarin.

Pada perlawanan tersebut, The Titans mengambil keputusan untuk tidak meneruskan aksi separuh masa kedua ketika menentang JDT yang menyaksikan tuan rumah mendahului 2-1.


Keputusan tersebut dibuat atas faktor keselamatan kerana T-Team menganggap kawalan keselamatan mula tergugat selepas Rodrigues dan jurulatih kecergasan pasukan, Stefano Impagliazzo dikasari ketika menuju ke bilik persalinan.

Astro Arena malam semalam menyiarkan satu video yang mana seorang lelaki menjerit: “Pergi belakang! Pergi belakang! Kalau tak nak kamera pecah pergi belakang!".

Klip video berdurasi 65 saat yang dimuatnaikkan oleh pengguna maya di laman Facebook Media Soccer News menunjukkan ugutan itu dihamburkan selepas kamera menggerakkan lensa ke arah pergaduhan yang hanya berlaku beberapa saat.

Sebelum pergaduhan tercetus, kamera menunjukkan seorang lelaki berjambang berlari ke kiri dan keluar daripada bingkai lensa kamera.

Kamera itu kemudiannya turut menggerakkan ke kiri bagi merakam kekecohan dan pergaduhan itu tetapi tidak jelas siapa yang mengasari siapa.

Tiba-tiba kemudiannya lensa kamera bergerak ke kanan menunjukkan lelaki berjambang itu beredar dengan dikelilingi beberapa lelaki lain.


Sementara itu Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid berkata Terengganu menyerahkan kepada FAM  untuk menyiasat insiden perlawanan pusingan kedua antara T-Team dan JDT berkenaan.

Katanya, FAM perlu menjalankan siasatan terperinci berhubung punca pasukan T-Team enggan meneruskan perlawanan pada babak kedua.

"Sememangnya saya amat kesal dengan kejadian yang menimpa pasukan berstatus kelab ini sehinggakan pemain serta jurulatih kecergasan kami pun kena dipukul di tempat lawan," katanya ketika dihubungi semaslam.

Wan Ahmad Nizam meminta FAM menjalankan siasatan menyeluruh berhubung insiden itu dengan segera.

Dalam laporan akhbar hari ini, perlawanan T-Team menentang JDT di Stadium Larkin malam kelmarin tidak diteruskan pada separuh masa kedua apabila T-Team dikatakan menarik diri.

Tindakan itu dipercayai akibat pemain import kelahiran Brazil, Evaldo Rodrigues dan jurulatih kecergasan Stefano Impagliazzo dikasari oleh pengurusan tertinggi JDT ketika menuju ke bilik persalinan selepas tamat separuh masa pertama. Pada masa itu, JDT mendahului 2-1 pada separuh masa.

Dalam pada itu, Wan Ahmad Nizam berkata beliau telah mengarahkan pemain serta pengurusan T-Team untuk membuat laporan polis berhubung kejadian terbabit.

Beliau berkata pihaknya juga memohon bahagian pengurusan tertinggi T-Team mengemukakan laporan penuh berhubung kejadian itu serta mengarahkan mangsa membuat pemeriksaan kesihatan.


Pengurus T-Team, Rozi Mamat  yang juga Exco Belia dan Sukan Terengganu memberitahu, pihaknya berhak untuk tidak meneruskan perlawanan tersebut atas faktor keselamatan.

"Sejujurnya, saya tidak berada di Larkin pada aksi semalam (kelmarin). Saya hanya dimaklumkan oleh pegawai T-Team bahawa berlaku kekecohan di sana (Larkin).

"Saya berpendapat, kami berhak untuk tidak meneruskan perlawanan separuh masa kedua itu atas faktor keselamatan pemain. Adalah wajar kami tidak menyambung aksi separuh masa kedua itu.

"Mengenai laporan polis, saya rasa tidak perlu kerana kami akan menyerahkan perkara ini kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

"Cuma, saya sedikit kesal kerana kami sentiasa memberikan layanan dan keselamatan yang terbaik kepada pasukan pelawat ketika bertandang ke Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di Kuala Terengganu," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

"Selain FAM, kami turut menyerahkan perkara ini kepada Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu memandangkan T-Team adalah di bawah naungan persatuan negeri.

"Sama ada ada tindakan susulan akan berlaku nanti, saya rasa adalah lebih baik soalan ini diajukan kepada Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said selaku penasihat kedua-dua pasukan ini sebaik pulang dari Antartika pada Selasa ini," katanya.

No comments:

Post a Comment