Friday 28 February 2014

TI Global Food Belanja RM25 Juta Beli Kepentingan Dalam Chickeen Cottage

Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Incorporated Sdn Bhd Datuk Wan Ahamad Wan Muda (dua kanan) bertukar dokumen dengan Pengerusi Chicken Cottage Mohammed Khalid sambil disaksikan oleh Ahmad (tengah) di Majlis Pengambilalihan Chicken Cottage Limited (UK) oleh TI Global Food Holdings Ltd.

TI Global Food Holdings Ltd, anak syarikat Terengganu Incorporated Sdn Bhd (Terengganu Inc) memperuntukkan RM25 juta untuk membeli 70 peratus kepentingan dalam syarikat makanan segera yang berpangkalan di United Kingdom, Chicken Cottage Ltd.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata, pengambilalihan itu merupakan pelaburan negeri dalam industri makanan halal selain menjana pendapatan negeri untuk masa depan.

“Ini kerana Chicken Cottage adalah satu nama yang agak besar dalam industri restoran makanan segera dengan mempunyai 151 francais di United Kingdom serta di Pakistan, Algeria, Perancis, Dubai, Slovakia, Afrika Selatan, Libya, Sweden, Itali dan Iraq.

"Pelaburan ini dilihat mempunyai potensi besar untuk berkembang di serata dunia berdasarkan kepada kejayaannya di United Kingdom dan permintaan tinggi daripada bakal franchisee terutamanya dari India dan Australia," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada majlis pengambilalihan Chicken Cottage oleh TI Global Food Holding Ltd di Hotel Hilton Kuala Lumpur, petang kelmarin (27 Februari 2014).

Ahmad Said berkata, anggaran pulangan atas pelaburan RM25 juta itu dijangka diperoleh dalam tempoh tiga hingga lima tahun.

“Sejumlah 1.5 juta pound (1 pound =RM5.459) lagi akan dibelanjakan untuk menambah baik sistem pusat jualan (POS) sekarang kepada sistem yang boleh merekodkan hasil jualan.

“Jika sebelum ini bayaran francais dibuat pada asas tahunan, namun menerusi sistem baru itu, kita boleh memperoleh tambahan tiga peratus daripada hasil jualan,” katanya.

Bercakap pada media selepas majlis pengambilalihan Chicken Cottage oleh TI Global Food Holdings, itu Ahmad Said  berkata, anak syarikat Terengganu Inc itu masih dalam proses mengenal pasti wakil francaisi induk di luar negara.

“Kami mahu melebarkan sayap ke India, Australia dan China,” kata Ahmad Said  yang juga Pengerusi Terengganu Inc.

Chicken Cottage turut dimiliki oleh Global Food Brands dengan pegangan saham sebanyak 30 peratus.

Ahmad Said berkata, pengambilalihan itu dijangka menyediakan platform kukuh meraih satu lagi sumber pendapatan stabil kepada Terengganu Inc, sekali gus terus dapat memberikan pulangan berdaya saing kepada pendepositnya.

“Istimewanya, produk makanan Chicken Cottage adalah produk halal, sekali gus memudahkannya untuk berkembang kerana boleh dinikmati hampir setiap masyarakat dunia tanpa mengira kaum atau agama.

"Selain membuka cawangan di Malaysia khususnya Terengganu, produk itu akan dikembangkan ke pasaran China dan negara-negara Timur Tengah," katanya.

Ahmad Said menegaskan, syarikat terbabit akan menumpukan kepada pasaran antarabangsa terlebih dulu sebelum jenama makanan segera halal itu memasuki pasaran tempatan akhir tahun ini.

Beliau berkata, cadangan pengambilalihan itu juga sebahagian daripada strategi syarikat seperti terkandung dalam Pelan Strategik TISB 2014 hingga 2018.

Menerusi pelan lima tahun itu, syarikat mengunjurkan memperoleh nilai aset bersih kepada RM2 bilion selain mengekalkan pendapatan terkumpul sekurang-kurangnya sebanyak RM100 juta menjelang 2018.

Nilai aset bersih syarikat itu kini hampir RM1 bilion.

Hadir sama, Yang Dipertua DUN, Mohd. Zubir Embong; Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mazlan Ngah; Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Inc, Datuk Wan Ahamad Wan Muda dan Pengarah Global Food Brands Inc., Datuk Mohamed Shaheen Mohd Sidek.

No comments:

Post a Comment