Friday 7 February 2014

Ahmad Said - Pasukan T-Team Tidak Bodoh...


Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Said berkata pasukan T-Team bukanlah bodoh untuk menarik diri sesuka hati pada perlawanan dengan Johor Darul Takzim (JDT) pada perlawanan pusingan kedua Piala FA minggu lepas.

Berikutan itu beliau mempersoal tindakan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang didakwa gagal mengambil kira isu keselamatan dalam insiden membabitkan pasukan T-Team.

Beliau mengulas tindakan FAM yang memberi kemenangan percuma 3-0 kepada JDT pada Mesyuarat Jawatankuasa Pertandingan Tempatan di Wisma FAM, Kelana Jaya pada Khamis.


Menurutnya, FAM sepatutnya meneliti lebih mendalam perkara berkenaan, bukannya membuat keputusan berdasarkan laporan pengadil dan pegawai terbabit semata-mata.

"Kalau tidak kerana faktor keselamatan, kerana apa? Saya dimaklumkan pasukan Terengganu terpaksa diiringi keluar oleh polis, dan mereka diiring hingga ke sempadan Mersing serta diminta jangan pakai jersi. "Apakah itu bukan kerana soal keselamatan?," kata Ahmad Said kepada pemberita ketika melawat kawasan Dewan Undangan Negeri Telemong, Jumaat.

Beliau diiringi Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri Rozi Mamat, yang merupakan Anggota Dewan Undangan Negeri Telemong.

Ahmad Said mendakwa keputusan FAM itu tidak wajar kerana pengadil dan pegawai perlawanan tidak melihat apa yang berlaku dalam terowong sewaktu perlawanan berhenti rehat pada separuh masa pertama. 

"Ya, saya memang kecewa dengan sikap FAM, inilah sebenarnya yang menyebabkan bola sepak negara ini tidak ke mana berbanding Korea dan Jepun, yang menjadi saingan Malaysia suatu ketika dahulu.

"Korea dan Jepun kini sudah mara ke separuh akhir Piala Dunia tetapi Malaysia masih 'terkial-kial' kerana pengurusan yang tidak berwibawa, tidak bertanggungjawab dan tidak berkebolehan," katanya.

Beliau meminta pemain dan pegawai T-Team yang menyaksikan kejadian di terowong Stadium Tan Sri Datuk Haji Hassan Yunos, Larkin, Johor baru-baru ini, termasuk pemain pertahanan pasukan itu, Mohd Irfan Abdul Ghani, bersumpah menggunakan Al-Quran bagi menegakkan kebenaran.

Ahmad Said berkata beliau tidak akan campur tangan dalam urusan bantahan kepada FAM.

"Itu terpulang kepada pengurusan bola sepak. Tapi yang pastinya, saya tahu pihak pengurusan tidak akan cakap banyak sebab bola sepak di Malaysia ini kalau cakap banyak, akan kena gantung.

"Malah sebab itu juga saya tidak mahu pegang Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) walaupun didesak ramai orang. Saya tahu kalau saya pegang jawatan Presiden, paling kuat enam bulan kot, lepas itu kena gantunglah," Ahmad Said menyindir.

No comments:

Post a Comment