Friday 9 March 2012

PAS Sudah Halakan 'Meriam' Untuk Bedil PKR

 “Kita minta dia (PKR) ukur baju di badan sendiri. Dengan suasana yang ada hari ini, mereka tidak patut bercakap sebebasnya, lebih-lebih lagi perlu mengambil kira pandangan Pas yang menjadi tunggak parti pembangkang di negeri ini...”  - Azman Shapawi.


Semakin terserlah sudah PKR dan PAS yang berusaha ‘tidur sebantal’ tetap gagal dan masing-masing juga terus bermimpi lain-lain.


Malah masing-masing juga kini saling tuduh menuduh bahawa di kalangan mereka ada yang mahu ‘makan banyak sedangkankan benda yang diidamkan itu tidak boleh dimakan’.


 PAS melihat PKR bernafsu besar sementara PAS pula dilihat ‘terlalu tamak’ dan mahu memegang kuasa ‘bersendirian’.

Kalau di Kedah, PAS sama PAS ‘bertembung’ sesama sendiri dan sehingga kini ‘kemelut politik’ PAS Kuala Kedah yang membawa krisis kepada pentadbiran negeri belum selesai-selesai.
Penstrukturan semula barisan Exco dan jawatan yang akan diagihkan akan menyebabkan Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Razak akan pening sekali lagi


Malah Jawatankuasa Pemandu yang akan ditubuhkan pun dipersoalkan oleh banyak pihak termasuk sekutu pakatan pembangkang iaitu PKR dan DAP yang melihat seolah-olah PAS Pusat mahu mendominasi pentadbiran negeri.

Apa yang berlaku di Kedah itu tidak mungkin reda hinggalah pilihan raya umum ke 13 nanti.




Di Terengganu pula, PAS dan PKR kini mula ‘menyinsing lengan’ gara-gara kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen yang mahu ditandingi mereka.

PAS sudah menghalakan ‘meriamnya’ kepada PKR berkaitan siapa wajar bertanding di kerusi mana?


Pesuruhjaya PAS Terengganu menganggap pengumuman PKR untuk bertanding di 11 kerusi DUN dan 3 kerusi Parlimen sebagai ‘terlalu awal’ pada ketika proses perundingan belum selesai.

Terengganu mempunyai 32 DUN (UMNO dan MCA menguasai 24 kerusi) dan 8 Kerusi Parlimen (6 BN dan 2 PAS).


Wajah PKR yang tamak dan tidak menghiraukan perasaan komponen lain sewajarnya menyedarkan penyokong PAS bahawa inilah wajah sebenar PKR.

Dengan parti seperti ini pun PAS terus mahu bekerjasama.

Sementara PAS yang juga ‘tamak’ dan bercita-cita tinggi menawan semula Terengganu berkeyakinan penuh dan meremehkan PKR apabila menyuarakan suara sumbangnya apabila mengatakan PKR perlu ‘mengukur baju di badan sendiri’.


 Apakah maknanya ini?


Jawapannya, jika belum menang atau memerintah lagi pakatan pembangkang sudah tidak sepakat, selepas pilihan raya, jika mereka menang, kerajaan yang dibentuk tidak akan stabil dan kelak akan menyusahkan rakyat.


Pandangan PAS terhadap kemampuan PKR begitu rendah sehinggakan hasratnya untuk hanya bertanding di 11 kerusi DUN dan 3 Parlimen sahaja diselar dan dikecam termasuk oleh Timbalan Ketua Penerangan Pas Terengganu, Azman Shapawi (gambar kanan) yang meminta parti itu "mengukur baju di badan sendiri."


PKR diminta sedar dengan suasana dan perkembangan politik semasa yang dikuatiri boleh menjejaskan usaha pembangkang menawan Terengganu.


“Kita minta dia (PKR) ukur baju di badan sendiri. Dengan suasana yang ada hari ini, mereka tidak patut bercakap sebebasnya, lebih-lebih lagi perlu mengambil kira pandangan Pas yang menjadi tunggak parti pembangkang di negeri ini,” kata Azman.


Malah, Azman Shapawi dalam nada sinis berkata, jika parti itu mengikut apa yang diidamkan, sudah tentu mereka mahu ‘makan banyak walaupun benda yang diidamkan itu tidak boleh dimakan’.


“Kalau tanya kita mahu idam berapa kerusi, sudah tentu kita mahukan 32 kerusi DUN tetapi dalam budaya persahabatan kita tidak boleh berlaku begitu dan perlu mengambil kira semua keadaan. Kita harap PKR mengambil kira juga perkara itu,” katanya.


Kenyataan PKR itu dianggap membelakangkan kedudukan PAS yang begitu ‘kuat’ di Terengganu dan sewajarnya dalam perkara seperti ini PAS perlu dirujuk terlebih dahulu sebagai rakan pakatan dan yang lebih berpengalaman di negeri ini.


Malah, pemimpin PAS di Terengganu menyatakan terang-terangan mereka terkilan dengan pendedahan PKR berkata, parti itu perlu memikirkan banyak perkara sebelum mendedahkan hasrat mereka kerana ia mungkin menimbulkan tanggapan kurang selesa terutama di kalangan petugas-petugas parti.

No comments:

Post a Comment