Tuesday, 28 January 2014

Siapa Memanipulasi Media - Aktivis Media ProPAS Atau Pejabat Menteri Besar?


Pembetulan siaran akhbar perbuatan memanupulasi media?

Siapa cuba memanipulasikan media, Pejabat Menteri Besar atau kumpulan aktivis media proPAS? 

Setiausaha Akhbar Menteri Besar Terengganu, Rosli Zakaria sudah menyatakan dengan jelas dan mengakui kesilapan apabila menyebut: Selain itu, beliau menjelaskan perubahan hanyalah pada Yayasan Penyelidikan Antartika Sultan Mizan, bukan Yayasan Diraja Sultan Mizan.

Kata beliau: “Lawatan ini tiada kena mengena dengan YDSM dan ia dikendalikan melalui inisiatif Yayasan Penyelidikan Antartika Sultan Mizan di bawah Kementerian Sains Teknologi dan Alam Sekitar (Mosti).

“Kesilapan siaran media yang mengatakan lawatan itu dianjurkan YDSM sehingga menimbulkan salah faham adalah tidak disengajakan dan amat dikesali.” katanya.

Jelas dan tepat! Rosli mengakui kesilapan pihaknya dan sudah memperbetulkan fakta.

Jadi apa yang dimaksudkan manipulasi oleh Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI) seperti yang disiarkan melalui blog proPAS itu?

Kenyataan hanya berbeza pada nama sahaja, bukan isi dan maksud.


Apakah Dr Azman Ibrahim (atas) mempunyai niat yang tersembunyi dan tidak baik apabila mengatakan “saya bimbang ada pihak yang berdolak dalih tentang suatu kenyataan sebenarnya berhubung isu pemergian Menteri Besar ke benua Antartik…yang paling teruk adalah pejabat MB sendiri seolah-olah memanupulasi pihak media terutama agensi Bernama, agensi rasmi negara.”?

Amat nyata yang cuba memanipulasikan kenyataan ialah Dr Azman. Sebagai pemimpin Dr Azman jangan cuba menangguk di air keruh!

Untuk makluman, Rosli yang pernah menjadi wartawan dan Ketua Biro New Straits Times lebih mengetahui dan bertanggungjawab mengenai kerjanya.

Sedangkan apakah pengalaman Dr Azman sebagai pengamal media yang memboleh dan melayakkannya dari segi pengalaman sebagai Pengerusi aktivis berkenaan?

Baca apa yang dinyatakan oleh Rosli Zakaria melalui pembetulan kenyataan akhbar berkenaan:




Lawatan ke Antartika yang diketuai Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said sebenarnya dikendalikan Yayasan Penyelidikan Antartika Sultan Mizan, di bawah Kementerian Sains Teknologi dan Alam Sekitar (Mosti).
Setiausaha Akhbar kepada Menteri Besar, Rosli Zakaria berkata, lawatan itu tiada kaitan dengan Yayasan Diraja Sultan Mizan (YDSM) sebagaimana yang dilaporkan media sebelum ini.
“Lawatan ini tiada kena mengena dengan YDSM dan ia dikendalikan melalui inisiatif Yayasan Penyelidikan Antartika Sultan Mizan di bawah Kementerian Sains Teknologi dan Alam Sekitar (Mosti).
“Kesilapan siaran media yang mengatakan lawatan itu dianjurkan YDSM sehingga menimbulkan salah faham adalah tidak disengajakan dan amat dikesali,” katanya.
Ahmad dijadualkan pulang ke Terengganu pada 2 Februari ini selepas menamatkan lawatan kerja selama 15 hari di sana.
Terdahulu, YDSM melalui kenyataan medianya menafikan menganjurkan lawatan Menteri Besar Terengganu ke Antartika.
Katanya, yayasan hanya menjalankan kerja amal bagi memberi sumbangan ke arah meningkatkan taraf sosioekonomi, kesejahteraan hidup dan pendidikan rakyat selain melakukan program penyelidikan sejarah, pembangunan seni warisan serta pemulihan alam sekitar negeri.
Bandingkan dengan apa yang disebut oleh Dr Azman: 

Isu Antartika; Pejabat Menteri Besar Jangan Berdolak Dalih, Memanupulasi Media

KUALA TERENGGANU – Pengerusi Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI) Dr Azman Ibrahim melahirkan kebimbangan terhadap kenyataan baru yang dikeluarkan oleh pejabat Menteri Besar Terengganu berhubung isu pemergian Dato’ Seri Ahmad Said ke Antartika.

Beliau mempersoalkan bagaimana dalam masa dua minggu pejabat yang menjadi pusat pentadbiran negeri boleh mengeluarkan kenyataan berbeza berhubung isu tersebut. “saya bimbang ada pihak yang berdolak dalih tentang suatu kenyataan sebenarnya berhubung isu pemergian Menteri Besar ke benua Antartik, “yang paling teruk adalah pejabat MB sendiri seolah-olah memanupulasi pihak media terutama agensi Bernama, agensi rasmi negara,”ujarnya.

Beliau berkata demikian merujuk kepada kenyataan terbaru pejabat Menteri Besar yang membuat ‘pusingan U’ berhubung penglibatan Yayasan Diraja Sultan Mizan (YDSM) dalam ekspedisi yang dianjurkan oleh Kementerian Sains, Tenologi dan Inovasi. Menurutnya pada minggu lalu, bertarikh 15 Januari, 2014, pejabat MB dan Ahmad Said sendiri mendakwa perjalanannya adalah inisiatif bersama YDSM.

Pada 24 Januari, Bernama melaporkan, pejabat YDSM sebaliknya menafikan penglibatan Yayasan tersebut dan menjelaskan ia hanya terlibat kerja amal bagi memberi sumbangan ke arah meningkatkan taraf sosioekonomi, kesejahteraan hidup dan pendidikan rakyat, selain melakukan program penyelidikan sejarah, pembangunan seni warisan serta pemuliharaan alam sekitar negeri.

Setelah penafian itu, barulah pejabat MB khasnya Setiausaha Akhbar kepada Menteri Besar, Rosli Zakaria tiba-tiba mengakui pula, ia silap dilaporkan oleh pihak media. “ia adalah sesuatu yang amt serius, dan memalukan pejabat Menteri Besar Terengganu, bahkan sekiranya dakwaan Rosli benar bahawa ia adalah kesilapan siaran media.

“Rosli selaku Setiausaha Akhbar kepada MB perlu menyatakan dengan jelas, adakah pihak pejabat MB yang melakukan kesilapan atau pihak media yang silap,”jelasnya.

Katanya, selaku seorang aktivis media, beliau terpanggil untuk mengenengahkan isu tersebut bagi melindungi semua penggiat media, agar tidak diperkotak katikkan oleh orang politik.

“kalau silap, mengaku silap dan minta maaf, kalau pihak media silap atau kedua-dua silap, minta maaf kepada rakyat, “supaya rakyat tidak hilang kepercayaan kepada media dan agar rakyat tidak dipersalahkan sekiranya membuat sebarang komen yang ‘tajam’ dalam media sosial,”tambahnya.
Amat nyata apa yang cuba dispinkan oleh Dr Azman ini tidak menjadi kerana yang ikhlas menyatakan kesilapan dan memperbetulkan kenyataan akhbar adalah di pihak Rosli.

Yang kita nampak pemimpin pembangkang atau juga NGO PAS berusaha menpersoalkan lawatan Menteri Besar ke Antartika untuk memesongkan pemikiran rakyat dengan harapan rakyat mempersoalkan Menteri Besar.

Cara murahan mendapatkan sokongan politik seperti ini akan menyebabkan rakyat pula mempersoalkan mereka balik, 'apakah niat dan kerja baik Datuk Seri Ahmad Said wajar dipersoal, dicerca dan diperhodohkan sedemikian rupa?"

Friday, 24 January 2014

Lawatan ke Antartika - Ahmad Said Tidak Amanah, Berbohong Kepada Rakyat Terengganu?


"Menteri Besar bukan milik UMNO dan Barisan Nasional (BN) semata-mata tetapi juga kepada ketua pentadbir negeri dan semua penjawat awam. Lainlah kalau ada pentadbir negeri dan penjawat awam ‘benci atau anti Menteri Besar’, mereka akan berdiam diri atau mengambil sikap ‘lantak kaulah’ atau ‘pergi mampuslah’!"

Penafian oleh Yayasan Diraja Sultan Mizan (YDSM) semalam bahawa ia tiada kena mengena dengan lawatan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said ke Antartika memang sewajarnya diumumkan.

Ini kerana YDSM memang tidak terlibat dengan sebarang program atau rancangan di luar negara.

Sebaliknya YDSM hanya menjalankan kerja amal bagi memberi sumbangan ke arah meningkatkan taraf sosioekonomi, kesejahteraan hidup dan pendidikan rakyat, selain melakukan program penyelidikan sejarah, pembangunan seni warisan serta pemuliharaan alam sekitar negeri itu.

Apakah Ahmad Said selaku Menteri Besar bercakap bohong dan menipu rakyat Terenggnu mengenai lawatannya ke khutub selatan itu?

Apakah Ahmad Said sebagai Menteri Besar sudah melanggar etika beramanah dan bercakap benar di mana pembohongan tidak sepatutnya menjadi akhlak pemerintah?

Ahli Parlimen Kuala Terengganu Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah menyifatkan tidak wajar Ahmad Said menyalahgunakan nama Yayasan Diraja Sultan Mizan sebagai ‘justifikasi’ kepada lawatan beliau ke Antartika.

Beliau menegaskan, lawatan tersebut tidak ada kena mengena dengan negeri dan rakyat Terengganu.

Ketua Penerangan PAS Terengganu Mohd Nor Hamzah memohon penjelasan daripada Menteri Ahmad Said bagi merungkai kekeliruan berkenaan penjelasan beliau mengenai program lawatan ke Antartika dan juga penafian penglibatan oleh YDSM melalui Setiausaha Kerjanya Mohd Azrul Ismail semalam.

Persoalan-persoalan yang perlu dijawab ialah bagaimana berlaku percanggahan kenyataan ini sedangkan didalam laporan akhbar pada 15 Januari 2014, jelas dilaporkan bahawa lawatan ini adalah anjuran Kementerian Sains Teknologi dan Inovas melalui inisiatif dari YDSM, kata Mohd Nor.

Sultan Terengganu melancarkan Yayasan Penyelidikan Antartika Sultan Mizan pada 19 Julai 2012 di Universiti Malaysia Terengganu. 
Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Dr Kahiruddin Aman Razali pula , berkata penafian oleh Yayasan DiRaja Sultan Mizan berhubung penglibatan mereka dengan lawatan oleh Menteri Besar Terengganu ke Antartika mewajarkan mempertikaikan kedudukan beliau.

“Penafian oleh Yayasan DiRaja Sultan Mizan tentang penglibatan mereka dengan lawatan oleh Menteri Besar Terengganu ke Antartika memerlukan penjelasan daripada pihak kerajaan negeri dan Menteri Besar,” kata Khairuddin.

Tegasnya, pemerintah melibatkan etika beramanah dan bercakap benar dan pembohongan tidak sepatutnya menjadi akhlak pemerintah.

Penafian oleh Setiausaha Kerja YDSM, Mohd Azrul Ismail memang tepat dan wajar untuk menjaga nama baik YDSM yang apabila memperkatakan yayasan berkenaan sudah pasti akan menarik sama nama Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.

Nama YDSM dan Sultan Terengganu tidak wajar dipergunakan sewenang-wenangnya, apa lagi jika YDSM dan Sultan Terengganu tidak terlibat langsung dengan lawatan itu.

Datuk Seri Haji Ahmad Said di majlis MoU antara National Antartic Research Center of Malaysia dengan Institut Antartico Chileno.
Bagaimanapun, oleh kerana YDSM dan Yayasan Penyelidikan Antartika Sultan Mizan (YPASM) adalah dua entity berbeza, Mohd Azrul tidak menyebut langsung mengenai pembabitan YPASM dalam isu lawatan itu.

Apa yang kita dapat lihat dan baca ialah kritik dan persoalan yang dibuat oleh pemimpin-pemimpin PAS Terengganu khususnya berasaskan kepada mungkin kesilapan pada kenyataan akhbar oleh Pejabat Menteri Besar pada 15 Januari 2014 lalu yang mengarahkan kepada penafian oleh Setiausaha Kerja YDSM itu. Sebaliknya Pejabat Menteri Besar semalam sudah memperbetulkan kenyataan sebelum ini dengan merujuk YDM kepada YPASM. Malah kesilapan itu diakui 'tidak disengajakan dan amaat dikesali'.

Jadi sudah jelas penafian oleh Setiausaha Kerja YDSM itu tepat dan Menteri Besar membuat lawatan itu dikendalikan YPASM di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi.

Amat jelas, tidak wajar isu penafian YDSM dijadikan bahan untuk menghentam Ahmad Said.

Kita sewajarnya menunggu 'tuan badan' pulang dan menjelaskan segala-galanya.

Jangan kita mempergunakan kesilapan kenyataan Pejabat Menteri Besar itu ‘menghodohkan’ kerajaan negeri dan Ahmad Said. Juga jangan buat prasangka melulu dengan pelbagai cemuhan dan tuduhan, lebih-lebih lagi oleh pemimpin yang datang daripada parti yang mendakwa memperjuangankan Islam.

Memetik kenyataan Khairuddin sekali lagi : “Penafian oleh Yayasan DiRaja Sultan Mizan tentang penglibatan mereka dengan lawatan oleh Menteri Besar Terengganu ke Antartika memerlukan penjelasan daripada pihak kerajaan negeri dan Menteri Besar.”

Yang kita hairan ialah kenapa pegawai pentadbir negeri yang mengetahui mengenai lawatan ini, termasuk SUK sesiapa juga tampil memperjelaskan isu ini.

Kenapa mereka terus MENGUNCI MULUT?

Atau apakah SUK, dua timbalannya atau sesiapa sahaja yang maklum mengenai lawatan dan perbelanjaan MERAHSIAKAN SESUATU?

Di mana mereka yang sering mendakwa ‘orang kuat dan yang rapat dengan Menteri Besar’ dalam kekalutan seperti ini? Jika kesemua mereka ‘mendiamkan diri’ akan menyebabkan rakyat tertanya-tanya apakah Ahmad Said ke Antartika ‘melalui PINTU BELAKANG’ tanpa pengerahuan pegawai utama kerajaan negeri?

Di manakah ‘ikatan rapat’ antara Menteri Besar dan penjawat awam negeri Terengganu yang dikatakan rapat selama ini.

Tentunya di waktu seperti inilah mereka yang berkuasa di peringkat Kerajaan Negeri perlu tampil menjelaskan isu ini.

Sidang media Menteri Besar sebelum ke Antartika 15 Januari lalu . Di kanan beliau ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mazlan Ngah.
Kita lihat bagaimana Perdana Menteri dan Ketua Setiausaha Negara (KSN) sering bercakap mengenai isu yang sama dan KSN menjelaskan bagaimana 11 langkah penjimatan yang menjadi kecaman beberapa pihak diperjelaskan dengan begitu baik oleh KSN.

Perlu ada penjelasan yang baik mengenai ‘kemelut lawatan ini’ ini daripada kerajaan negeri kerana serangan yang ditujukan kpada Ahmad Said bukan ke atas dirinya tetapi kepada kedudukannya sebagai Menteri Besar. Menteri Besar bukan milik UMNO dan Barisan Nasional (BN) semata-mata tetapi juga kepada ketua pentadbir negeri dan semua penjawat awam.

Lainlah kalau ada pentadbir negeri dan penjawat awam ‘benci atau anti Menteri Besar’, mereka akan berdiam diri atau mengambil sikap ‘lantak kaulah’ atau ‘pergi mampuslah’!

Kita melihat beberapa Exco Kerajaan Negeri berusaha menjawab isu ini tetapi jawapaan mereka masih kabur.

Mereka juga seolah-oleh tidak diberikan ‘pengetahuan secukupnya’ mengenai lawatan ini?

Rasanya dengan makluman bahawa YPASM yang terbabit dalam lawatan ini ‘mencerahkan sedikit suasana’.
Namun jawapan yang jelas dan tepat tetap diperlukan untuk menafikan tuduhan bahawa Ahmad Said tidak beretika, tidak amanah dan menipu rakyat Terengganu khususnya.

Kita tunggu jawapan Ahmad Said, kerajaan negeri dan mungkin selepas ini akan ada kenyataan daripada YPASM untuk menafi, mematahkan serangan pembangkang selain memberitahu rakyat bahawa lawatan ke Antartika itu sangat BERBALOI untuk kepentingan iklim, kajian khutub, akademik serta penyelidikan untuk rakyat Terengganu dan Malaysia amnya.

Juga Ahmad Said perlu buktikan bahawa pemikiran ke hadapannya perlu disambut oleh rakyat Terengganu dengan sikap dan pemikiran yang se arah dengannya, bukan pemikiran pembangkang yang terus berusaha mencemuh, memperkecil serta mencerca usaha beliau demi memaju dan mengangkat pemikiran dan martabat negeri ke satu tahap yang lebih maju dan ke hadapan berbanding sekarang.




BR1M 3.0 Kepada 7.9 Juta Rakyat Diagihkan Pertengahan Februari


Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 3.0 akan mula diagihkan kepada 7.9 juta rakyat Malaysia yang layak pada pertengahan Februari ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata dengan pemberian BR1M ini ia akan dapat meringankan beban rakyat yang sedang menghadapi kenaikan harga barangan pada masa ini.

"Majlis Tertinggi (MT) Umno mengambil maklum bahawa BR1M akan dilaksanakan dalam masa dua minggu lagi iaitu pada pertengahan bulan Februari, ia akan membantu rakyat dalam menghadapi masalah kenaikan harga barang," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat MT Umno di Kuala Lumpur, semalam.

Ketika mengumumkan Bajet 2014 pada Oktober tahun lepas, Najib yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan memperuntuk sejumlah RM4.6 bilion bagi melaksanakan BR1M 3.0.

Pada tahun ini, pemberian bantuan itu akan dinaikkan daripada RM500 kepada RM650 kepada isi rumah berpendapatan bulanan RM3,000 dan ke bawah, manakala bagi individu bujang berumur 21 tahun dan ke atas yang berpendapatan tidak melebihi RM2,000 sebulan, nilai bantuan dinaikkan daripada RM250 kepada RM300.

Buat pertama kalinya juga, BR1M 3.0 akan diperluaskan kepada isi rumah yang berpendapatan bulanan antara RM3,000 hingga RM4,000 dengan nilai bantuan sebanyak RM450.

Najib berkata tidak dinafikan bahawa rakyat mengalami masalah berhubung kenaikan harga barang dan kerajaan komited untuk menangani perkara itu menerusi pelbagai program serta langkah yang sedang dan akan diambil.

Presiden Umno itu berkata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mempengerusikan Jawatankuasa Khas Menangani Kos Sara Hidup Rakyat juga sedang menunggu hasil kajian daripada makmal khas yang ditubuhkan bagi mengurangkan beban rakyat.

"Di samping itu, kita turut melihat masalah rantaian bekalan yang wujud di mana pihak pemborong yang menaikkan harga pada peruncit bukan pada dasar (harga) yang berpatutan.

"Kita juga mengambil maklum kesan dari musim tengkujuh yang melanda menyebabkan barang naik harga, namun dengan langkah yang diambil kerajaan kita akan bendung perkara ini," katanya.

Najib berkata MT Umno juga memberikan sokongan padu dan sepenuhnya kepada semua dasar kerajaan dan langkah-langkah yang sedang diambil bagi meringankan beban rakyat memandangkan asas ekonomi negara masih teguh

"Dari segi pelaburan, pertumbuhan ekonomi, inflasi, bursa saham ia berada dalam keadaan baik dan meyakinkan, asas ekonomi kita mendapat pengiktirafan bukan sahaja dalam negara malah di luar negara," katanya.