Sunday, 19 March 2017

Tidak Sertai PPBM, Ahmad Said Tetap Mahu Jadi 'Singa UMNO'


Terang lagi bersuluh, hanya UMNO di hati Ahmad Said.

Tiada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), tiada yang lain bagi dirinya.

Jangan sekali-kali cuba kaitkan diri Ahmad Said dengan parti lain. Mungkin dia terkhilaf sedikit kerana isytihar dirinya keluar UMNO pada Mei 2014.

Selepas menyepikan diri seketika apabila menyertai `perkasa, Ahmad Said muncul malam kelmarin dengan pendiriannya yang tegas.

Sebelum ini banyak spekulasi mengenainya sejak laporan media pada 13 Mei 2014, menyebut, beberapa jam selepas meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar Terengganu pada Isnin, Datuk Seri Ahmad Said telah mengumumkan keluar dari parti UMNO.

"Dimaklumkan bahawa saya dengan ini meletakkan jawatan saya dalam parti berkuatkuasa serta-merta,” katanya sambil menegaskan mulai tarikh itu beliau adalah ADUN bebas.


Namun kemudiannya beliau buat U-Turn dan kembali kepada UMNO.

Perbuatan itu mungkin kerana emosi tetapi kini sudah stabil.

Kerana itu selepas tiga tahun, bekas menteri besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said akhirnya kembali untuk merasmikan mesyuarat agung cawangan berkelompok UMNO Bahagian Kemaman di Kemaman, malam semalam (Sabtu 18 Mac 2017).

Kepada yang masih mengharapkan Ahmad Said tidak usah berharaplah. Pintu sudah tertutup rapat bagi PPBM untuk Ahmad Said.

Juga yang masih bernostalgia dengan Ahmasd Said kononnya beliau akan menyertai PPBM lupakan semua itu.

Sah sudah Ahmad Said tidak bersama PPBM dan akan menjadi 'Singa UMNO'.

Selaku  Ketua UMNO Bahagian Kemaman, sebelum ini beliau hanya mewakilkan kepada timbalannya, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, untuk merasmikan mesyuarat bahagian itu.

Beliau melahirkan  kesyukuran kerana masih mendapat sokongan kuat daripada perwakilan berkelompok yang masih mahu beliau menerajui bahagian itu.

Beliau turut menegaskan akan terus bekerja keras memastikan kemenangan UMNO di negeri itu khususnya di Parlimen Kemaman pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.

"Ketika berucap tadi, saya tanya ahli UMNO Kemaman, mahu saya masih berada dalam UMNO atau di pihak pembangkang, ternyata mereka masih mahu saya memimpin UMNO Bahagian Kemaman.

"Inilah amanah dan suara perwakilan untuk kita memastikan UMNO tidak kalah lagi pada pilihan raya akan datang," katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kijal.

Dr Ahmad Zahid di Kuala Terenggaanu, Jumaat lalu.
Ditanya mengenai pujian Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengenai dirinya yang terus menyokong kepimpinan UMNO Terengganu yang kini dipengerusikan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman meskipun terdapat perselisihan faham sebelum ini, beliau berkata:

"Prinsip saya mudah sahaja, jika orang berlembut dengan saya, saya akan lebih baik dengan mereka dan begitulah sebaliknya," katanya.

Mengulas mengenai senarai calon PRU14, Ahmad berkata beliau mahu UMNO Bahagian Kemaman memilih sendiri calon sesuai untuk memastikan kemenangan parti itu.

"Kami akan berbincang dahulu, bila sudah ada senarai. Saya akan usahakan untuk menyerahkannya sendiri kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak)," katanya.

Senarai berkenaan akan diputuskan UMNO Bahagian Kemaman menerusi perbincangan yang akan dibuat dan selepas itu beliau sendiri akan berjumpa dengan Najib untuk berbincang mengenainya.

"Bila kita dapatkan senarai itu daripada perbincangan kita, saya akan berusaha untuk bertemu perdana menteri sendiri dan serahkannya.

"Saya tak nak orang buat spekulasi (mengenai senarai calon), buat pilihan macam-macam dan akhirnya ia akan menjejaskan parti apatah lagi dalam keadaan politik ketika ini," katanya selepas menyempurnakan majlis perasmian mesyuarat berkelompok cawangan, Wanita, Pemuda dan Puteri Umno Bahagian Kemaman di Pejabat Umno Bahagian Kemaman, malam kelmarin.

Bagaimanapun setakat ini, Ahmad berkata, senarai nama calon itu masih belum dibincangkan jawatankuasa UMNO Bahagian Kemaman.

Ditanya sama ada beliau berhasrat untuk bertanding lagi dalam PRU14 nanti, Ahmad bagaimanapun enggan mengulas lanjut.

"Saya tak mahu komen apa-apa...tapi apa-apa boleh terjadi, dalam politik tak ada perkara mustahil," katanya.

Benar seperti kata Ahmad Said itu kerana beliau sendiri boleh keluar sekejab daripada UMNO dan kembali semula kemudiannya.


Dan sehingga kini tumpuan Ahmad Said hanya kepada UMNO.

Tuesday, 14 March 2017

Ketakutan Ahmad Razif Di DUN Seberang Takir Makin Terserlah...


PAS mendakwa Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman mula ‘menabur wang’ untuk menjinakkan pengundi terutama di kampungnya sendiri, Kampug Baru yang beliau kalah sebanyak 44 undi pada pilihan raya umum (PRU) Kali Ke-13.

Kebimbangan dan ketakutan Ahmad Razif di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir, yang dianggap kubu kuat UMNO Terengganu, jelas mempunyai asasnya.

Memetik  sumber yang tidak mahu dikenali, media rasmi PAS melaporkan, Ahmad Razif – ADUN Seberang Takir - pada Januari lalu, memberikan wang sebanyak RM4,000 kepada orang kampung, sebagai belanja untuk program bakar ayam atau ‘BBQ’.

Namun begitu, tidak ramai yang hadir pada program yang di taja olehnya itu.

Ahmad Razif, Ketua UMNO Bahagian Kuala Nerus yang juga Menteri Besar Terengganu itu amat bimbang apabila tidak ramai hadir pada majlis itu.

“Tak ramai….adalah tiga, empat puluh orang yang datang,”ujar sumber tersebut, yang menambah, dengan belanja sebesar tu, ‘tak padan’ berbanding jumlah yang orang.

PRU lalu mencatat sejarah, walaupun masih tidak mampu mencipta sejarah, PAS Seberang Takir bersyukur dan berpuas hati dengan perubahan yang berlaku.

Pengerusi Majlis Tindakan DUN (MTD) Zakaria Dagang berkata, perbezaan yang ketara ialah, kempen PAS berjaya mengurangkan undi ‘orang lama’ kepada BN.

Bakar ayam yang tidak dapat sambutan.
“Selain itu…….kita menokok undi orang muda! PAS berjaya memenangani empat daripada daripada enam Unit Peti Undi (UPU),

“Berbanding BN yang hanya memenangi dua UPU sahaja walaupun majoriti PAS terlalu kecil berbanding majoriti BN,” ujarnya ketika dihubungi.

Ketakutan Razif juga terserlah apabila beliau diberi kuasa sebagai MB, ‘melonggokkan’ semua projek ‘mega’ di Seberang Takir.

Antaranya ialah, projek ‘INDAH KHABAR DARIPADA REALITI’ yang dipanggil, ‘Projek Akuapolitan Kuala Nerus’.

Semasa melancarkannya pada pulan Mei tahun lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ‘bercakap besar’ dan berkata, projek menelan kos RM180 juta itu, memberi fokus menaik taraf sosio ekonomi masyarakat nelayan.

“Kerajaan BN (Barisan Nasional) dan UMNO sudah berjaya membuat sesuatu yang orang lain gagal buat.

“Terbukti kita berjaya cetuskan satu lagi idea baharu iaitu pembangunan nelayan ala FELDA yang kali ini bersandarkan sumber laut,” ujarnya.

Gambar yang paling popular Tun Abdullah Ahmad Badawi, ketika musim ‘Monsoon Cup’ memuncak.
Namun, mungkin Najib juga termasuk kepada ‘golongan Melayu yang mudah lupa’, kerana hanya beberapa tahun lalu, pendahulunya Tun Abdullah Ahmad Badawi, juga pernah berjanji begitu, ketika melancarkan perlumbaan perahu layar Piala Monsun (Monsoon Cup).
“Dekad dulu pernah diadakan Pertandingan Kapal Layar peringkat dunia atau ‘Monsoon Cup’
 ,
“Kononnnya projek ini untuk membantu meningkatkan pendapatan rakyat khususnya kaum nelayan dengan perbelanjaan mencecah beratus-ratus juta ringgit.

“Semua itu adalah sejarah pembaziran mega UMNO dan BN Terengganu,” tegas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tunggal, Dr Alias Razak.

Sehingga kini, Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu itu, nelayan tetap misikin, masih ‘kais pagi makan pagi’ dan pergi pagi ke laut, untuk mencari rezeki keluarga waktu petang.

Apa yang menyedihkan ialah, ketika tinjauan dibuat ke Pusat Latihan Dan Kemahiran Akuapolitan di Taman Permint Perdana, Kampung Batin, Seberang Takir, tidak ada satu pun kursus yang ditawarkan adalah berkait dengan ‘Sea Felda’ iaitu yang mirip dengan skim Felda sebagaimana kata Najib, disesuaikan dengan masyarakat nelayan.

“Kursus percuma yang ditawarkan adalah seperti berikut, Membaiki Telefon Bimbit, Dandanan Rambut, Kursus Pemandu Pelancong, Pendawaian Elektrik dan Perpaipan Asas, Kulinari, Jahitan dan Rekaan Fesyen,” menurut poster yang disebarkan kepada orang ramai.

Lebih malang lagi, atas projek ratusan juta ringgit itu, hanya 43 orang peserta yang diambil pada tahun 2016, dengan dua kursus sahaja yang dibuka iaitu, kulinari dan jahitan.

Sehingga kini, setelah tiga bulan berlalu tahun 2017, belum ada seorang pun peserta yang diambil untuk menyertai pelbagai kursus yang di war-warkan!

“Kursus kulinari dan jahitan memang ada ‘sokmo’ doh bawah Yayasan Pembagunan Keluarga (YPK) tak perlu bawah ECRE atau UMT……..membazir je,” kata Dr Alias Razak, spontan.


Saturday, 4 March 2017

UMNO Hulu Terengganu Semakin Bergelora, PPBM Semakin Menyerlah?

Pemimpin PPBM dari bahagian penaja lain turut datang ke Hulu Terengganu bertemu pemimpin setempat menjelaskan tujuan Dr Mahathir datang ke Ajil, 16 Mac depan.
“Jangan terlalu memikirkan siapa yang akan jadi calon untuk PRU14 kelak kerana mulai sekarang kita semua perlu bekerja sebagai satu pasukan.”

Ini kenyataan Timbalan Menteri KKMM, Datuk Jailani Johari yang juga Ketua UMNO Bahagian Hulu Terengganu.

Beliau yang juga Timbalan Ketua PerhubunganUMNO Negeri Terengganu kelmarin menasihatkan seluruh ahli UMNO di Terengganu dan Hulu Terengganu supaya jangan terlalu fikir siapa calon PRU14.

Apa yang berlaku di Hulu Terengganu sehingga Jailani terpaksa menasihatkan pemimpin dan ahli UMNO Hulu Terengganu supaya tidak memikirkan isu calon?

Malah beliau menasihatkan UMNO Terengganu supaya mengubah cara kerja agar sentiasa terkini dan bersesuaian dengan kemahuan rakyat sekarang.

Apakah Jailani dan pemimpin UMNO Hulu Terengganu khususnya dan Terengganu amnya, kini bimbang dengan kehadiran Tun Dr Mahathir Mohamad ke Terengganu 16 Mac ini?

Apakah kedatangan Dr Mahathir akan menyemarakkan lagi api perjuangan penduduk di Hulu Terengganu untuk berubah dan meninggalkan Barisan Nasional (BN) dan UMNO?

Jailani kelmarin menyeru agensi di bawahnya agar lebih proaktif menjawab segala tohmahan tidak berasas dan isu negatif pihak pembangkang.

Menurutnya,  Jabatan Penerangan, Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) haruslah pantas dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) kelak.

“Agensi ini merupakan kunci kepada kestabilan politik dan keharmonian negara kita. Serangan bertubi-tubi pembangkang tidak harus dibiarkan begitu sahaja,” katanya ketika berucap pada majlis penyampaian hadiah sempena pertandingan Pusat Daerah Mengundi (PDM) Peringkat Hulu Terengganu kelmarin.

Beliau juga menyeru agar tidak terlalu memikirkan siapa yang akan jadi calon untuk PRU14 kelak kerana mulai sekarang kita semua perlu bekerja sebagai satu pasukan.

Apakah keadaan di Hulu Terengganu kini bekerja bukan dalam satu pasukan sehingga menyebabkan Jailani terpaksa mengingatkan demikian?

Umum tahu apa yang sedang berlaku di peringkat kepimpinan peringkat Parlimen apabila berlakunya ‘pelanggaran’ Jailani terhadap Ketua Bahagian UMNO yang juga Exco Kerajaan Negeri, Datuk Tengku Putera Tengku Awang.

Sudah bebaik atau bertautkan penyokong mereka?

Rakyat di Ajil juga tahu perselisihan antara ADUN sekarang, Ghazali Taib dengan bekas ADUN, Datuk Rosol Wahid.

Malah rakyat juga tahu kenapa Rosol yang dilantik sebagai Pengarah Unit Komunikasi Negeri (UKOM) tiba-tiba terpelanting daripada jawatan itu.

Angkara siapa dan kenapa Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman bertindak sedemikian terhadap Rosol?

Malu pun ada dan kecewa pun ada di kalangan penyokong Rosol gara-gara bos mereka diperlakukan sedemikian.

Di DUN Kuala Berang pula, banyak cerita dikaitkan dengan pemimpin di DUN berkenaan yang dikatakan mementingkan keluarga dan anak beranaknya.

Malah Tengku Putera dikhabarkan tidak akan bertanding lagi dalam PRU14 dan nama yang berslilih ganti dalam beberapa senari calon menunjukkan Tengku Putera bukan lagi pilihan UMNO Negeri.

Kecuali di Telemong, Datuk Rozi Mamat nampaknya tenang sedikit.

Sudah pasti kedatangan Dr Mahathir ke Pekan Ajil melalui program BICARA NEGARAWAN – BERANI BERUBAH akan menguji sejauh mana penduduk Hulu Terengganu dan sekitarnya termasuk Marang akan selama-lamanya menyorokkan diri daripada Parti Primbumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang sedang berkembang pesat di Hulu Terengganu.

Dengan keadaan dalam UMNO Hulu Terengganu yang bergelora, kedatangan Dr Mahathir akan menyerlahkan sikap rakyat yang ‘meluat’ dengan apa yang sedang berlaku di daerah atau Parlimen itu.

Ini belum lagi ditambah dengan berbagai isu yang diperkatakan oleh penduduk di Hulu Terengganu membabitkan wakil rakyat mereka, dan tidak terkecuali Jailani dan Tengku Putera sendiri.


Bolehkah Jailani dengan kerjasama Tengku Putera, Ghazali serta Rosol menyekat api kemaraan pengaruh dan sokongan rakyat di Ajil dan Kuala Berang kepada parti ‘Bunga Raya’ itu?