Friday, 9 October 2015

Bekas YB Alor Limbat Ditembak Mati Dari Jarak Dekat


Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Limbat, Alias Abdullah, 51, mati ditembak di rumahnya di Kampung Alor Limbat di sini, selepas solat Jumaat tadi.

Difahamkan, mayat mangsa kini berada di Klinik Kesihatan Bukit Payung sebelum dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk bedah siasat.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Rosli Abd Rahman, ketika dihubungi, mengesahkan kejadian kira-kira jam 2 petang itu.

Bekas ADUN Pengkalan Berangan, Yahya Khatib Mohamad, berkata beliau dimaklumkan oleh isteri bekas wakil rakyat Barisan Nasional itu, Noriha Muhammad, suaminya ditembak di kepala dalam jarak dekat di rumah mereka.

Beliau berkata, Allahyarham yang baru pulang daripada solat Jumaat dipercayai ditembak selepas membuka pintu rumah yang diketuk individu tidak dikenali.

"Mengikut apa yang dimaklumkan oleh isteri Allahyarham, tidak lama selepas pulang dari solat Jumaat, ada individu mengetuk pintu rumah dan arwah kemudian membuka pintu sebelum ditembak.

"Tembakan daripada jarak dekat itu dikatakan terkena pada kepala sebelum arwah rebah. Arwah kemudian dikejarkan ke Klinik Kesihatan Bukit Payong sebelum disahkan meninggal dunia," katanya.

Allahyarham Alias yang turut memiliki firma guaman Alias Abdullah & Co dipilih sebagai ADUN Alor Limbat dari 2004 hingga 2008.

Allahyarham yang dilahirkan di Kampung Alor Limbat, pernah menjadi Timbalan Ketua UMNO Bahagian Marang dari 2004 hingga 2013 dan Ahli Jawatankuasa UMNO Negeri dari 2011 hingga 2013.

Terdahulu, beliau pernah bertugas sebagai Ketua Unit Pendakwaan Terengganu; Timbalan Pendakwa Raya Kelantan; Majistret Kanan, Mahkamah Majistret Kota Bharu, Kelantan di samping menjadi Penasihat Undang-undang di Bank Islam Malaysia Berhad dan Bank Pembangunan Malaysia Berhad.

Alias meninggalkan seorang isteri, Noriha Muhammad dan empat orang anak iaitu Anis Afeeqah Alias, Anis Areesha, Ahmad Afeef dan Anis Ameeda.

Sumber - BH Online, Utusan Online & SH Online

Thursday, 8 October 2015

Transgender: Keputusan Mahkamah Persekutuan Wajar Dihormati, Dipatuhi


Masyarakat, khususnya yang beragama Islam jangan ambil mudah dalam kes transgender.

Keputusan Mahkamah Persekutuan bahawa Mahkamah Rayuan tidak mempunyai bidang kuasa mengisytiharkan peruntukan dalam Enakmen Jenayah Syariah Undang-Undang Negeri Sembilan sebagai tidak berperlembagaan, perlu diterima dan dihormati oleh semua pihak.

Seperti kata Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan, “Semoga keputusan dibuat oleh Mahkamah Persekutuan itu akan menjadi panduan kepada semua rakyat Malaysia berbilang kaum dan agama, dan sedar betapa pentingnya keutuhan Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri masing-masing perlu dihormati.”

Beliau bersyukur mengulas berhubung keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini, bagi mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan, sebelum ini.

Mahkamah Persekutuan, semalam memutuskan Mahkamah Rayuan tidak mempunyai bidang kuasa untuk mengisytiharkan peruntukan dalam Enakmen Jenayah Syariah Undang-undang Negeri Sembilan sebagai tidak berperlembagaan.

Ini bermakna keputusan Mahkamah Rayuan sebelum ini yang mengisytiharkan peruntukan enakmen syariah Negeri Sembilan yang menghukum lelaki Islam berpakaian wanita sebagai tidak sah.

Keputusan itu diketepikan atas alasan teknikal.


Dengan itu, undang-undang negeri yang dipersoal, Seksyen 66 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Sembilan yang melarang lelaki berpakaian wanita, kekal sah.

Walaupun kes ini di Seremban, negeri lain sewajarnya mengucapkan kesyukuran yang sama.

Diharapkan ia menjadi satu precedent dalam kes serupa jika berlaku di tempat lain, termasuk di negeri Pantai Timur – Kelantan, Terengganu dan Pahang.

Panel lima hakim diketuai Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Md Raus Sharif berkata ia kerana tiga transgender telah menggunakan prosedur perundangan yang salah untuk memulakan tindakan mereka.

Mahkamah Rayuan tidak mempunyai bidang kuasa untuk mengisytiharkan peruntukan dalam Enakmen Jenayah Syariah Undang-undang Negeri Sembilan sebagai tidak berperlembagaan, demikian diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan, semalam.

Panel lima hakim diketuai Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Md Raus Sharif berkata ia kerana tiga transgender menggunakan prosedur perundangan yang salah untuk memulakan tindakan mereka.

Sehubungan itu, mahkamah memutuskan permohonan semakan kehakiman yang difailkan 3 pak andam itu, Muhamad Juzaili Mohd Khamis, 28; Shukor Jani, 29; dan Wan Fairol Wan Ismail, 30, selaku responden, untuk mencabar kesahan Seksyen 66 enakmen tersebut tidak sesuai kerana gagal mematuhi kaedah prosedur.

Mengikut Seksyen 66 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992, lelaki berlagak seperti perempuan dan memakai pakaian perempuan di tempat awam adalah melakukan satu kesalahan dan hendaklah apabila disabitkan dikenakan hukuman denda maksimum RM1,000 atau penjara maksimum 6 bulan, atau kedua-dua sekali.

Raus berkata transgender tersebut seharus memohon kebenaran daripada seorang hakim Mahkamah Persekutuan untuk memulakan petisyen kerana mereka mencabar kuasa perundangan badan perundangan negeri yang menggubal undang-undang syariah dan bukan cara melalui semakan kehakiman.

Berikutan keputusan itu, Seksyen 66 enakmen tersebut adalah berperlembagaan dan sah.

Dalam penghakiman 23 muka surat itu, Raus berkata kesahan atau keperlembagaan undang-undang itu tidak boleh dipersoalkan dengan cara prosiding semakan kehakiman di depan Mahkamah Tinggi.

Beliau berkata tindakan mencabar seperti itu hanya boleh dilakukan menerusi prosedur tertentu di bawah Perkara 4 Perlembagaan Persekutuan di mana transgender tersebut gagal melakukannya.

"Hakim yang arif di Mahkamah Rayuan serta Mahkamah Tinggi melakukan kesilapan besar dalam melayan permohonan pihak responden (transgender) untuk mempersoalkan kesahan atau keperlembagaan Seksyen 66 dengan cara semakan kehakiman.

"Bidang kuasa mahkamah bawahan ini tidak dirampas untuk berbuat demikian. Adalah perkara biasa untuk mana-mana prosiding didengar tanpa bidang kuasa adalah tak sah ab initio," katanya.

Katanya, permohonan trio itu untuk pengisytiharan sepatutnya dibatalkan Mahkamah Tinggi atas alasan mahkamah tersebut tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar perkara itu.

Raus berkata penghakiman majoriti dalam kes Gereja Roman Katolik menentang Kementerian Dalam Negeri yang meletakkan prosedur dalam Perkara 4 Perlembagaan Persekutuan hendaklah diikuti apabila persoalan kesahan atau keperlembagaan undang-undang yang sepatutnya melalui prosedur tertentu dan bukan dengan cara serangan kolateral dalam prosiding semakan kehakiman.

Menurutnya, trio tersebut mencabar kesahan dan keperlembagaan Seksyen 66.

Mahkamah itu sebulat suara membenarkan bantahan awal kerajaan Negeri Sembilan, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan, pengarahnya, ketua pegawai penguat kuasa syariah dan ketua pendakwa raya syariah.

Mahkamah mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan yang mengisytiharkan Enakmen Syariah Negeri Sembilan yang menghukum lelaki berpakaian wanita tidak melanggar perlembagaan.

Panel hakim Mahkamah Persekutuan turut dianggotai hakim Tan Sri Ahmad Maarop, Tan Sri Hasan Lah, Datuk Azahar Mohamed dan Datuk Zaharah Ibrahim.

Pada 7 November, 2014 Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan transgender itu dan memutuskan Seksyen 66 adalah tidak sah selepas Mahkamah Tinggi Seremban pada 11 Oktober, 2012 menolak permohonan semakan kehakiman mereka bagi mencabar undang-undang itu yang menghalang mereka berpakaian seperti wanita.

Wednesday, 7 October 2015

1MDB – Putrajaya, Najib Perlu Bertindak Segera, Jangan Membisu Seribu Bahasa….


Selepas Raja-Raja Melayu ‘bersuara’ mengenai isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Putrajaya, semua mata kini tertumpu kepada Putrajaya, khususnya Perdana Menteri yng juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Mohd Najib Razak.

Dengan kata lain, semua pihak menyokong Raja-Raja Melayu agar isu ini ditangani segera dan mengambil serius titah berkenaan.

Apakah 1MDB akan mengeluarkan kenyataan untuk membidas pendapat raja-raja Melayu dan Kementerian Kewangan pula akan terus membisu terhadap saranan baik daripada raja-raja Melayu?

Pada ketika pemimpin UMNO membisu, Menteri Besar Selangor Mohamed AzminAli yang menyokong titah Majlis Raja-raja Melayu semalam.

Azmin berkata kerajaan Selangor mengambil serius dan mengalu-alukan kenyataan raja-raja Melayu itu, yang menurutnya penting kerana melibatkan kepentingan seluruh rakyat Malaysia.


"Kami berpandangan bukan sahaja pemimpin tapi seluruh negara patut mengalu-alukan dan mengambil serius pandangan yang dinyatakan dalam kenyataan tersebut," kata Azmin merujuk kenyataan Majlis Raja-raja Melayu semalam.

Semalam, Penyimpan Mohor Besar Raja-raja, Datuk Seri Syed Danial Syed Ahmad mengeluarkan kenyataan Majlis Raja-Raja Melayu yang mahu kerajaan menyelesaikan secepat mungkin siasatan berkaitan 1MDB dan mengambil tindakan tegas sewajarnya terhadap pihak yang terlibat.

Sekiranya tidak ditangani segera isu 1MBD, Azmin berkata ia dibimbangi akan menjejaskan ekonomi negara dan masa depan rakyat keseluruhannya.

PAS pula menggesa Putrajaya menghidupkan semula pasukan petugas khas untuk menyiasat syarikat sarat hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Menurut Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, PAS menyokong penuh saranan raja-raja Melayu yang mendesak agar siasatan 1MDB diselesaikan dengan cepat.

“Dengan saranan raja-raja Melayu, diharap kerajaan jangan berlengah lagi untuk menghidupkan pasukan siasatan khas 1MDB yang terdiri daripada Jabatan Peguam Negara, Polis Diraja Malaysia, Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Tuan Ibrahim turut mempersoal bidasan 1MDB terhadap Gabenor Bank Negara Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz, sejurus beliau menyatakan nilai ringgit akan pulih jika masalah syarikat sarat hutang itu diselesaikan secepat mungkin.

Timbalan presiden PAS itu berkata, Kementerian Kewangan langsung tidak menyambut cadangan gabenor mahupun menegur 1MDB.

Disebabkan itu, PAS mahu pasukan petugas khas 1MDB yang dihidupkan semula melibatkan Tan Sri Abdul Gani Patail, meskipun beliau sudah bersara sebagai peguam negara, dan Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang.

"Tan Sri Dr Zeti pula diberi kuasa penuh mendedahkan hasil siasatan dari semasa ke semasa seperti ketika pasukan siasatan aktif sebelum dibenamkan," kata Tuan Ibrahim.

Parti Amanah Negara (Amanah) turut membat kenyataan dengan mendakwa teguran Majlis Raja-Raja Melayu supaya kerajaan segera menyelesaikan isu berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebagai isyarat pihak istana supaya Datuk Seri Najib Tun Razak berundur.

Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub menganggap, tindakan Raja-Raja Melayu itu kerana perdana menteri masih gagal membuktikan ketelusan dan keyakinan semua pihak berkaitan isu 1MDB.

"Boleh diterjemahkan, lenggok bahasa, keluhuran budi, adat dan budaya bangsa Melayu dari kenyataan Majlis Raja-Raja Melayu tersebut bertujuan menasihatkan Datuk Seri Najib Tun Razak berundur sebagai Perdana Menteri kerana gagal menyelesaikan isu 1MDB dengan segera dan turut menjejaskan ekonomi negara," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Salahuddin berkata, teguran itu juga memastikan pentadbiran Putrajaya menumpukan pembangunan negara, dalam masa yang sama memulihkan kembali ekonomi negara berikutan kejatuhan nilai mata wang.

Katanya, banyak pihak telah menyuarakan kebimbangan berhubung isu 1MDB ini termasuk masyarakat kampung, ahli Umno dan terkini, pegawai-pegawai tinggi kerajaan seperti Dr Zeti Akhtar Aziz dan Abdul Gani Patail.