Showing posts with label Tembak. Show all posts
Showing posts with label Tembak. Show all posts

Thursday, 5 November 2015

Dua Suspek Kes Tembak Bekas Adun Alor Limbat Melalui Imej CCTV


Polis Terengganu hari ini mendedahkan imej dua suspek (gambar) yang terlibat dalam kes pembunuhan bekas Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Limbat Alias Abdullah pada 9 Oktober lalu.

Ketua Polis Terengganu Datuk Rosli Ab Rahman berkata imej dua lelaki yang sedang menunggang motosikal itu dirakam menerusi kamera litar tertutup (CCTV) dari sebuah kedai, berhampiran lokasi kejadian.



Jelasnya polis yakin kes ini dapat diselesaikan dalam tempoh terdekat dan gerakan memburu kedua-dua suspek yang berusia sekitar 23 hingga 25 tahun ini sedang giat dilakukan. 

"Kami percaya dengan rakaman ini dapat membantu kami mengesan suspek,"katanya.
Menurutnya setakat ini 41 individu terdiri daripada anggota keluarga, rakan perniagaan, pemandu dan saksi bebas dipanggil memberi keterangan. 


"Menerusi rakaman(CCTV) tersebut kami dapati kedua-dua suspek ini menaiki sebuah motosikal jenis EX5 berwarna hitam tanpa nombor pendaftaran.

"Penunggang menggunakan topi keledar berwarna merah dan bervisor manakala pembonceng (penembak) juga mengenakan topi keledar warna yang sama berbaju warna putih dan memakai beg silang.

"Berdasarkan imej ini, pihak polis meminta orang ramai yang melihat dan mengenali suspek tampil membantu siasatan bagi mengenal pasti individu yang terlibat dalam kes tersebut," katanya kepada pemberita dalam sidang media di Kuala Terengganu semalam.


Pada 9 Oktober lalu Alias, 51, maut ditembak pada jarak dekat di rumahnya diKampung Alor Limbat Bukit Payong Marang selepas pulang daripada solat Jumaat.

Dalam kejadian 2 petang itu mangsa yang berada di bahagian dapur rumahnya didatangi seorang lelaki tidak dikenali menaiki motosikal lalu melepaskan satu das tembakan yang mengenai pipi kiri mangsa.


Bernama

Friday, 9 October 2015

Bekas YB Alor Limbat Ditembak Mati Dari Jarak Dekat


Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Limbat, Alias Abdullah, 51, mati ditembak di rumahnya di Kampung Alor Limbat di sini, selepas solat Jumaat tadi.

Difahamkan, mayat mangsa kini berada di Klinik Kesihatan Bukit Payung sebelum dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk bedah siasat.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Rosli Abd Rahman, ketika dihubungi, mengesahkan kejadian kira-kira jam 2 petang itu.

Bekas ADUN Pengkalan Berangan, Yahya Khatib Mohamad, berkata beliau dimaklumkan oleh isteri bekas wakil rakyat Barisan Nasional itu, Noriha Muhammad, suaminya ditembak di kepala dalam jarak dekat di rumah mereka.

Beliau berkata, Allahyarham yang baru pulang daripada solat Jumaat dipercayai ditembak selepas membuka pintu rumah yang diketuk individu tidak dikenali.

"Mengikut apa yang dimaklumkan oleh isteri Allahyarham, tidak lama selepas pulang dari solat Jumaat, ada individu mengetuk pintu rumah dan arwah kemudian membuka pintu sebelum ditembak.

"Tembakan daripada jarak dekat itu dikatakan terkena pada kepala sebelum arwah rebah. Arwah kemudian dikejarkan ke Klinik Kesihatan Bukit Payong sebelum disahkan meninggal dunia," katanya.

Allahyarham Alias yang turut memiliki firma guaman Alias Abdullah & Co dipilih sebagai ADUN Alor Limbat dari 2004 hingga 2008.

Allahyarham yang dilahirkan di Kampung Alor Limbat, pernah menjadi Timbalan Ketua UMNO Bahagian Marang dari 2004 hingga 2013 dan Ahli Jawatankuasa UMNO Negeri dari 2011 hingga 2013.

Terdahulu, beliau pernah bertugas sebagai Ketua Unit Pendakwaan Terengganu; Timbalan Pendakwa Raya Kelantan; Majistret Kanan, Mahkamah Majistret Kota Bharu, Kelantan di samping menjadi Penasihat Undang-undang di Bank Islam Malaysia Berhad dan Bank Pembangunan Malaysia Berhad.

Alias meninggalkan seorang isteri, Noriha Muhammad dan empat orang anak iaitu Anis Afeeqah Alias, Anis Areesha, Ahmad Afeef dan Anis Ameeda.

Sumber - BH Online, Utusan Online & SH Online