Monday, 19 November 2012

UPSR - Terengganu Terus Ungguli Pencapaian Cemerlang

Zakaria mengumumkan pencapaian pelajar Terengganu dalam peperiksaan UPSR - Gambar Haris Fadzillah
Terengganu terus mengekalkan kesinambungan kecemerlangan dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2012 apabila pencapaian calon di seluruh negeri berdasarkan Gred Purata Negeri (GPN) mengatasi Gred Purata Nasional sebanyak 0.10.


Calon Berkerperluan Khas ( CBK ) Nor Azira Nawa gembira menunjukkan keputusan 5A dalam peperiksaan UPSR 2012 di Sekolah Kebangsaan Durian Mas II Dungun di Kuala Terengganu hari in.
Pencapaian minimum gred C dan cemerlang semua A bagi semua mata pelajaran turut mengatasi nasional, masing-masing mencatat 0.17 peratus dan 4.28 peratus.

Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT), Zakaria Hussin, berkata enam mata pelajaran berjaya mengatasi pencapaian nasional berdasarkan perbandingan Gred Purata Mata Pelajaran Negeri dengan Gred Purata Mata Pelajaran Nasional.


“Enam mata pelajaran yang mengatasi pencapaian nasional adalah bahasa Melayu (Pemahaman) (SK) (0.06), bahasa Melayu (Penulisan) (SK), bahasa Melayu (Pemahaman) (SJKC) (0.04), bahasa Inggeris (SK)(0.06), bahasa Inggeris (SJKC) (0.08) dan Sains (0.17).

“Walaupun pencapaian negeri merosot sedikit dengan GPN menurun 0.07 daripada 2.14 (2011) kepada 2.21 tahun ini, peratusan calon yang memperolehi pencapaian baik dengan minimum Gred C, iaitu tidak termasuk semua A bagi semua subjek meningkat sebanyak 1.57 peratus daripada 55.54 peratus pada tahun lalu kepada 57.11 peratus tahun ini,” katanya..

Beliau menyatakannya demikian mengumumkan analisis keputusan UPSR 2012, di JPNT, Kuala Terengganu, pagi ini. Hadir sama, Ketua Sektor Akademik JPNT, Zubir Embong. Zakaria berkata, pencapaian calon cemerlang yang mendapat semua A menurun sebanyak 2.34 peratus, iaitu daripada 15.56 peratus pada 2011 kepada 13.22 peratus pada tahun ini.

Bagaimanapun katanya, peratusan calon yang memperolehi pencapaian semua mata pelajaran di bawah tahap pencapaian minimum meningkat sebanyak 1.16 peratus, daripada 2.35 peratus (2011) kepada 3.51 peratus (2012).


Seramai 23,196 murid merangkumi 22,887 (98.67 peratus) calon sekolah Kementerian Pelajaran Malaysia dan 309 (1.33 peratus) calon sekolah swasta yang menduduki UPSR seluruh Terengganu tahun ini .

teganuku

Wednesday, 14 November 2012

Awas - Rakyat Rhu Rendang, Parlimen Marang Sedang Memerhatikan Hadi

 www.hambali1.blogspot.com  (14 Nov 2012)
 
 
Apakah Hadi sendiri menunaikan tanggungjawab terhadap pengundinya di Parlimen Marang dan DUN Rhu Rendang? Apakah Hadi sebagai pemimpin nombor wahid dalam PAS menunaikan amanah kepada perjuangan parti dan umat Islam?

Maka berkatalah Tok Guru Hadi Awang bahawa kita perlu berubah dengan meletak tanggungjawab memimpin negara kepada individu amanah.

Individu ini bukan sahaja mampu bangunkan negara, tetapi juga amanah dalam pemerintahan dan adil kepada rakyat.

Maka berkata lagi Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bahawa rasuah dan jenayah merosakkan negara sehingga boleh menjadikan rakyat mundur walau sudah lebih setengah abad merdeka.

Alhamudlilah dan kita berdoa kepada perkara yang sama.

Namun, satu sahaja persoalan mahu ditujukan kepada Hadi – ‘apakah erti amanah sebenar?’

Apakah pemimpin apabila dipilih oleh rakyat untuk berkhidmat kepada rakyat dia berkhidmat sepenuhnya?

Apakah Hadi sendiri menunaikan tanggungjawab terhadap pengundinya di Parlimen Marang dan DUN Rhu Rendang?

Apakah Hadi sebagai pemimpin nombor wahid dalam PAS menunaikan amanah kepada perjuangan parti dan umat Islam?

Mari kita teliti laporan Bernama ini (saya lakukan sedikit editing untuk kesesuaian):

Rhu Rendang Tetap Dapat Perhatian Kerajaan Negeri Walau Dikuasai Pembangkang

MARANG, 23 Sept (Bernama) - Walaupun Rhu Rendang dikuasai pembangkang, namun kerajaan negeri Terengganu di bawah pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said tidak pernah meminggirkan penduduk di kawasan itu. Antara projek pembangunan yang dapat dimanfaatkan oleh penduduknya ialah pembinaan 1,000 unit rumah mampu milik di Kampung Bukit Gasing dengan keutamaan diberi kepada penduduk Rhu Rendang untuk membelinya. Sehingga kini 600 unit rumah sudah siap manakala bakinya dijangka siap dalam masa terdekat yang diharap mampu memberi peluang kepada penduduk untuk memiliki kediaman sendiri dengan harga berpatutan.

Apakah maknanya daripada kenyataan itu?

Usahkan pembinaan rumah, masjid pun kerajaan PAS tidak buat ketika memerintah Terengganu antara 1999 dan 2004.

Sedangkan Hadi menyebut bahawa masjid adalah tempat membangunkan manusia untuk bertakwa kepada ALLAH SWT dan menghubungkan manusia sesama mereka, manakala pasar pula sebagai pusat kegiatan ekonomi yang kedua penting bagi membangunkan negara.

Hadi sendiri sebenarnya terlalu sibuk ‘mengejar Putrajaya’ selain kurang memberikan tumpuan kepada kawasannya di Marang. 

Lihat apa yang saya tulis sebelum ini.  Bahagian Pertama; Bahagian Kedua; Bahagian Akhir


Melalui tiga siri itu saya buktikan bahawa Hadi tidak 'menjalankan kerjanya sebagai wakil rakyat' dan Rhu Rendang serta Parlimen Marang membangun kerana keprihatinan kerajaan negeri dan Pusat yang ditadbir Barisan Nasional.

Perkara kedua yang wajar diketengahkan untuk menilai sejauh mana ‘amanah’ yang laksanakan oleh Hadi, ialah melalui komennya berhubung isu Nurul Izzah Anwar yang membangkitkan kebebasan orang Melayu memilih agama.

Walaupun kenyataan Nurul Izzah amat berbahaya dan terkait rapat dengan faham liberalisme dan pluralisme agama.

Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyatakan kenyataan Nurul Izzah itu celaru tapi mencari dalih menyalahkan pihak lain dan Dr. Mohd Asri Zainul Abidin menyatakan kenyataan Nurul Izzah itu mungkin disalah tafsir.

Hadi pula nyata sekali bermain perkataan untuk tidak menyakitkan hati bapa Nurul Izzah, Anwar Ibrahim agar kerjasama pakatan pembangkang tidak tergencat.

Hadi Awang menganggap ia isu remeh dan tumpuan harus diberikan kepada Pilihan Raya Umum Ke-13. Bagi Hadi isu yang diperkatakan Nurul Izzah itu tidak penting.


Sedangkan dua kenyataan oleh pemimpin PAS sendiri menggambarkan sebaliknya. Pertama ialah kenyataan Pemuda PAS pada 6 November 2012 yang menempelak Hadi dan keduanya ialah kenyataan bekas Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa pada 11 November 2012 melalui Mingguan Malaysia bahawa ‘Nurul Izzah Perlu Bertaubat’.

Amat jelas dalam konteks apa yang diperkatakan oleh Nurul Izzah, Hadi tidak menyatakan yang sebenar walaupun hatinya ‘berkata lain’.

Hadi bermain kata-kata indah apabila mengatakan “…agihan ekonomi negara juga dilihat tidak adil kerana yang kaya dalam kalangan kroni berterusan jadi kaya dan miskin terus miskin walaupun berusaha keras…perkara itu tidak tepat dengan kehendak Islam.”

Saya mendoakan Hadi supaya mengotakan katanya untuk amanah dan kalaupun kini tidak lagi menjadi Menteri Besar untuk memperbetulkan kesilapan lalu, kata-kata dan tindak tanduknya memimpin PAS atau menjaga pegundinya biarlah ‘amanah’.

Dengan bermain kata-kata Hadi tidak menunjukkan beliau seorang yang ‘amanah’ kepada pengundi dan rakyat Marang.

Dua perkara yang ditimbulkan ini belum berkait dengan Amanat Hadi yang menyebabkan sehingga ini ada lagi kejadian sembahyang berasingan dan mendapat teguran Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.


Juga, kalau mahu amanah, Hadi sepatutnya tarik balik Amanat Hadi yang memecah-belahkan umat Islam. Terpulanglah kepada beliau kerana Hadi bukan sekadar ‘Tok Guru’ namun dia juga berkelulusan tinggi dalam bidang pengajiannya hingga ke Madinah.

Apapun rakyat Marang dan Rhu Rendang sedang memerhatikan beliau. Pada PRU 12 lalu, Hadi memenangi kerusi Rhu Rendang dengan mengalahkan calon BN, Razali Idris dengan majoriti 1,435 undi.

Di Parlimen ‘giant killer’ Datuk Abdul Rahman Bakar menyatakan kesediaannya untuk melawan Hadi semula selepas beliau digugurkan oleh Datuk Seri Idris Jusoh sebagai calon Parlimen pada PRU12 lalu.

Sunday, 7 October 2012

Terengganu Cetus Projek Bio-Metionina Pertama Di Dunia

Daripada Teganuku
 "Saya bangga disebabkan projek ini juga merupakan pelaburan utama pertama oleh syarikat industri bioteknologi antarabangsa dalam negara, yang akan meletakkan Malaysia setanding pengeluar dan pengeksport suapan lain serta membuktikan bahawa sudah muncul sebagai penggiat utama dalam forum inovasi global,"
 - Datuk Sri Mohd Najib Razak
 
Malaysia masih berada pada landasan yang teguh dalam menerima pelaburan langsung asing (FDI) walaupun persekitaran ekonomi global dilihat tidak menentu.

Bagi suku pertama tahun 2012, negara mencatat kemasukan FDI bernilai RM13 bilion.

Datuk Seri Najib Tun Razak berkata jelas terbukti bahawa para pelabur asing mempunyai keyakinan terhadap negara kita sebagai destinasi pelaburan pilihan utama.

Perdana Menteri menyatakan demikian berucap pada majlis Pecah Tanah Loji Biometionina dan Tiokimia bersepadu di Taman Biopolimer Kerteh, di Kemaman, semalam.

Mengenai projek bio-metionina, Najib berkata loji itu merupakan kemudahan pertama seumpamanya di dunia yang memproses penapaian dalam menghasilkan L-metionina.

"Saya bangga disebabkan projek ini juga merupakan pelaburan utama pertama oleh syarikat industri bioteknologi antarabangsa dalam negara, yang akan meletakkan Malaysia setanding pengeluar dan pengeksport suapan lain serta membuktikan bahawa sudah muncul sebagai penggiat utama dalam forum inovasi global," katanya.

Pokok Petai Belalang Untuk Loji Bio-Metionina.
Malah negeri Terengganu, khususnya Kertih, amat bertuah kerana ia akan turut  terpahat di peta dunia dalam sektor industri bioteknologi dengan terbinanya loji bio-metionina pertama di dunia.

Bagi rakyat negara ini, khususnya di Kerteh dan Terengganu amnya, tidak pernah terfikir bahawa suatu hari nanti negeri ini  mampu mempunyai projek sebesar ini (dengan pelaburan RM2 bilion) yang akan membawa Terengganu sebaris dengan pengeluar dan pengeksport global.

Menteri Besar menanam pokok Petai Belalang.
“Tapi hari ini, ianya terbukti menjadi kenyataan, hasil daripada perancangan yang teliti serta pelaksanaan yang baik oleh Kerajaan Barisan Nasional (BN),” katanya ketika berucap pada majlis Pecah Tanah Loji Pembuatan Bio-Metionina dan Platform Tiokimia Bersepadu di Taman Biopolimer Kertih, Kertih, semalam.

Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Haji Mazlan Ngah; Ketua Pegawai Eksekutif CJ Cheiljedang, Encik Kim Chul Ha dan Naib Presiden Eksekutif Arkema, Encik Marc Schuller.

Projek pembinaan loji bio-metionina tersebut diusahakan CJ Cheiljedang dari Korea dan Arkema dari Perancis, akan memulakan operasi pada akhir tahun depan.

Loji pengeluaran 80,000 tan metrik bio-metionina dan platform tiokimia itu akan dibina di atas tapak seluas 70 hektar dan turut memberi manfaat kepada ramai penduduk sekitarnya yanag akan membekalkan petai belalang sebagai bahan utama kilang.

Perdana Menteri berkata, pihaknya berharap projek tersebut juga akan turut memanfaatkan penduduk di negeri lain di mana mereka juga boleh mengusahakan tanaman petai belalang untuk dijual ke kilang berkenaan. 

Perdana Menteri berkata Taman Biopolimer Kertih merupakan antara projek penting di zon ekonomi khas ECER, penumpuan projek berimpak tinggi dari Kertih di Terengganu ke Kuantan Pahang, yang akan menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi di ECER.

"Saya difahamkan bahawa usaha sama antara CJ dan Arkema sahaja diunjur menjana pendapatan negara kasar (PNI) sebanyak RM11.1 bilion menjelang 2020 dan RM20 bilion nilai jualan, selain menyediakan 500 peluang pekerjaan, kebanyakannya untuk penduduk tempatan," kata Najib.

Perdana Menteri berkata kompleks biopenapisan itu dijadualkan beroperasi tahun depan, menggunakan tenaga boleh baharu daripada biojisim.

"Projek ini dijangka menjana PNI kumulatif sebanyak RM20.4 bilion menjelang 2020 dan menyediakan 2,500 pekerjaan untuk Malaysia.

Dengan unjuran FDI sebanyak RM7 bilion, kompleks seluas 1,000 hektar itu dijangkakan diduduki lapan pengusaha bioteknologi global menjelang 2015," katanya.

Projek bernilai RM2 bilion yang terletak di kawasan seluas 70 hektar itu merupakan projek kerjasama antara CJ CheilJedang dari Korea dan platform biokimia Arkema dari Perancis, yang bakal beroperasi pada Disember 2013.

Fasiliti bersepadu adalah yang pertama di dunia menggunakan proses penapisan dalam menghasilkan L-metionina, sejenis asid amino yang biasa digunakan dalam pembuatan makanan haiwan.

Majlis Pembangunan Ekonomi Wilayah Pantai Timur (ECERDC) dan Perbadanan Bioteknologi Malaysia (BiotechCorp) merupakan rakan kerjasama dalam menarik pelaburan itu ke Malaysia dan merealisasikan pelaksanaannya di Taman Biopolimer Kertih.

Najib berkata pelaburan itu membuktikan keyakinan mereka terhadap negara ini sebagai destinasi pelaburan pilihan utama.

"Apabila kerajaan menerima pelaburan asing masuk ke negara ini, selain daripada meningkatkan ekonomi negara, kerajaan juga akan juga menimbangkan bagaimana pelaburan yang diterima ini dapat memberi limpahan manfaat kepada rakyat.

"Manfaat dari segi peluang pekerjaan, perniagaan, peningkatan taraf ekonomi dan tanggungjawab sosial korporat kepada rakyat setempat," katanya.

Sumber - Bernama & Teganukita