Friday 14 March 2014

Pesawat MH370 Dirampas, Pengumuman Tengah Hari Ini?


Pesawat Malaysia Airlines MH370 dikatakan dirampas, demikian menurut satu aporan berita.

Menurut AP, seorang pegawai kerajaan Malaysia berkata rampasan itu bukan hanya lagi satu teori tetapi ia adalah 'konklusif'.

Menurut Malaysiakini, pegawai tersebut, yang terlibat dalam penyiasatan itu, berkata mereka telah menentukan bahawa salah seorang juruterbang atau orang lain yang mempunyai pengalaman terbang, telah merampas pesawat itu.

Bagaimanapun, motifnya belum diketahui dan juga tidak jelas ke mana pesawat itu berada. Spekulasi bertiup kencang bahawa kerajaan Malaysia akan mengumumkan perkara itu dalam sidang akhbar yang dijadual pada 1 tengah hari ini.


Semalam, pada hari ketujuh operasi mencari dan menyelamat (SAR) pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Hussein tidak menolak kemungkinan pesawat itu dirampas. "Saya tidak boleh menolak kemungkinan itu," kata beliau yang juga merupakan menteri pertahanan dan menambah kesemua maklumat daripada sumber tidak dinamakan dari Amerika Syarikat (AS) sedang dikaji.

"Terdapat banyak komen daripada sumber tidak dinamakan dari AS. Kita tidak akan keluarkan maklumat yang belum disahkan atau disokong pihak berkuasa yang relevan. Kita juga tidak mahu memberikan komen yang dilaporkan media memetik sumber tidak dinamakan."

Misteri kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370 Sabtu lepas bertambah mendebarkan apabila Operasi SAR pesawat yang membawa 239 penumpang itu kini diperluaskan ke sebelah timur Laut China Selatan dan kawasan barat Lautan Hindi, meskipun kemungkinan untuk menyelamat semakin tipis.

Apapun, Hishammuddin menegaskan, kerajaan tidak menoleh ke belakang dalam usaha itu supaya perkembangan baharu dapat disampaikan kepada anggota keluarga yang terlibat.

 "Saya sendiri susah nak berdepan dengan keluarga terlibat, lebih-lebih lagi tiada maklumat dan perkembangan yang boleh dimaklumkan kepada mereka," katanya pada sidang media harian mengenai perkembangan kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370 di Sepang semalam.

Ditanya mengapa kawasan pencarian diperluas, Hishammuddin berkata: "Kami tidak menemui pesawat itu dalam kawasan yang diliputi."

Sebelum ini, operasi SAR memberi tumpuan kepada dua kawasan iaitu Selat Melaka dan Laut China Selatan. Hishammuddin berkata Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) dan Lembaga Keselamatan Pengangkutan Nasional (NTSB), yang membantu menganalisis data kasar daripada pihak ketenteraan, memberitahu bahawa Malaysia telah membuat keputusan yang betul untuk memberi tumpuan kepada kedua-dua kawasan itu.

Menjawab soalan mengenai kebanjiran maklumat yang bercanggah mengenai insiden itu sejak hari pertama kejadian, Hishammuddin menegaskan pihak berkuasa Malaysia akan hanya mengeluarkan maklumat yang boleh dipercayai.

"Maklumat (bercanggah) itu bukannya datang daripada kami tetapi daripada spekulasi. Sebab itulah kami mengadakan sidang akhbar setiap hari untuk menyangkalnya," kata beliau.

Sambil memberi contoh mengenai laporan berita berhubung satelit China yang didakwa merakam kemungkinan imej serpihan di Laut China Selatan, beliau berkata perkara itu bukan sahaja disangkal oleh Malaysia malah kerajaan China juga. "(Ia adalah satu) perkembangan normal (untuk memperluaskan kawasan pencarian).

Untuk kawasan berkenaan (yang diliputi kini), kami belum menemui apa-apa, kami meningkatkannya dari semasa ke semasa...buat masa ini, secara harian," kata Hishammuddin yang juga Menteri Pertahanan. Hishammuddin yang juga Menteri Pertahanan berkata pasukan SAR bersama-sama dengan rakan antarabangsa kini menggiatkan pencarian itu di bahagian timur Laut China Selatan serta di Lautan Hindi.

Dalam pada itu, Hishammuddin menyatakan rasa terharunya dengan sokongan padu rakyat Malaysia, selain bantuan daripada pelbagai negara dengan peralatan yang canggih.

"Bagi saya, itu memberi semangat untuk teruskan usaha mencari sehingga dapat maklumkan kepada keluarga perkembangan yang lebih positif," katanya.

Hishammuddin berkata 57 kapal dan 48 pesawat dari 13 negara kini terlibat dalam operasi SAR pesawat itu, yang hilang setelah sejam berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 12.41 pagi pada 8 Mac lepas, semasa menuju ke Beijing.

"Keutamaan kami adalah untuk mencari pesawat ini. Kami menggerakkan usaha mencari berdasarkan semua petunjuk dan terus bekerjasama rapat dengan rakan-rakan antarabangsa.

"Kami bersyukur dengan bantuan diberikan rakan-rakan dan jiran-jiran, yang terus membantu kami dengan berkongsi data dan sumber mereka dalam usaha kami mencari MH370," katanya pada satu sidang media di Hotel Sama-Sama, Sepang petang semalam.

Turut memberi jaminan untuk tidak berputus asa dalam usaha pencarian itu ialah Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam Malaysia (DCA) Datuk Azharuddin Abdul Rahman dan Ketua Pegawai Eksekutif MAS Ahmad Jauhari Yahya.

Azharuddin berkata pihaknya akan terus mencari pesawat itu dengan menggunakan apa sahaja kaedah, apatah lagi usaha itu turut menerima bantuan daripada pakar antarabangsa termasuk Amerika Syarikat dan United Kingdom. Ahmad Jauhari pula berkata: "Warga MAS masih tabah untuk menolong waris para penumpang dan anak kapal.

Tak pernah berputus asa dan akan lebihkan pertolongan kepada waris penumpang dan anak kapal." Hishammuddin juga memberi jaminan untuk menjaga kebajikan keluarga penumpang termasuk yang berada di China, di mana beliau berhubung setiap hari dengan para pemimpin China manakala MAS pula menghantar kira-kira 100 pekerjanya ke China untuk tujuan itu.

No comments:

Post a Comment