Tuesday 11 March 2014

MH370: Dua Pasport Dicuri Tiada Dalam Senarai Suspek Interpol


Pasport curi yang digunakan oleh dua lelaki untuk menaiki penerbangan Malaysia Airlines MH370 yang hilang pada 8 Mac lepas tidak termasuk dalam 'senarai suspek' (SL) Polis Antarabangsa (Interpol).

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata faktor itu menyebabkan pegawai Jabatan Imigresen yang bertugas sewaktu hari kejadian tidak mempunyai sebarang kecurigaan ketika melepaskan kedua-dua lelaki itu ke dalam penerbangan.

"Jika Interpol meletakkan tanda 'SL' dalam pasport yang hilang itu, semua kaunter Imigresen di seluruh negara diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga.

Namun dua pasport berkenaan tidak termasuk dalam senarai berkenaan.

"(Oleh itu) saya amat yakin dengan kebolehan pegawai Imgiresen yang berada di kaunter penyemakan sebelum kejadian berlaku," katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan di Taman Kota, di Kajang,

Awal Selasa, polis mengesahkan telah mengenal pasti warganegara Iran, Pouria Nour Mohd Mehdad, 19, sebagai seorang daripada dua penumpang yang menaiki penerbangan itu dengan menggunakan dokumen curi.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata lelaki itu menggunakan pasport warga Austria yang sebelum ini dilaporkan hilang di Thailand oleh pemiliknya Christian Kozel.

Terbaharu Interpol turut mengesahkan seorang lagi penumpang yang menggunakan pasport curi dikenali sebagai Delavar Seyed Mohammad Redza, 29, juga warga Iran, yang menggunakan pasport milik warga negara Itali Luigi Maraldi.

Setiausaha Agung Interpol Ronald K.Noble pada sidang akhbar di Lyon, Perancis turut mengesahkan kedua-dua suspek itu masuk ke Malaysia dari Doha menggunakan pasport sendiri sebelum menggunakan identiti individu lain untuk menaiki pesawat malang itu.

Pesawat Boeing 777-200er dari Kuala Lumpur ke Beijing itu dilapor hilang dari radar kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) pada 12.41 tengah malam Jumaat. Pesawat itu yang membawa 227 penumpang dari 14 negara selain 12 anak kapal, sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi Sabtu.

Media kemudian melaporkan dua daripada penumpang MH370 didapati menggunakan pasport curi setelah ia dilaporkan hilang di Thailand, Kedua-dua pemilik asal dokumen berkenaan disahkan tidak menaiki pesawat itu.

Ditanya mengenai laporan media China yang bersifat negatif terhadap kerajaan Malaysia dalam menangani isu itu, Ahmad Zahid berkata mereka seharusnya lebih bersabar kerana Malaysia sedang berusaha bersungguh-sungguh.

"Dalam soal ini kita tak boleh lakukan sebarang tuduhan, sebab Air France mengambil masa untuk ditemui.

Kerajaan Malaysia telah berusaha dengan secepatnya apabila satu kenyataan dibuat pada pukul 11 pagi," katanya.

No comments:

Post a Comment