Thursday, 30 March 2017

Dalam Hal Islam Pun, UMNO Tidak Mampu – PAS Terengganu


PAS Terengganu menganggap UMNO tidak mampu menguasai rakan mereka dalam BN dalam hal agama Islam sendiri.

Berikutan itu PAS mendakwa hanya mereka sahaja yang komitmennya sangat tinggi dan boleh diharap dalam perjuangan memartabatkan Islam di Malaysia.

Pesuruhjaya PAS negeri, Satiful Bahri Mamat berkata amat nyata UMNO takut kepada parti komponen Barisan Nasional (BN), termasuk MCA.

“Kalau kita tengok, BN macam takut pada MCA dan parti komponen lain. BN pun flip flop (berdolak dalik)... sekali nak angkat, sekali tak jadi.

“Kita harap, ahli parlimen Islam yang lain termasuk yang bukan Islam itu sendiri, menyokong pindaan ini kerana ia berkait dengan mahkamah syariah, tak berkait pun dengan orang bukan Islam.

Jadi, sepatutnya mereka beri ruang dan sokongan supaya RUU355 ini dibentangkan,” katanya.

Ketika ditanya usaha BN sebelum ini yang ingin membentangkan RUU355 itu sebagai tanda sokongan PM, beliau bagaimanapun mempersoalkan kenapa ia tidak diteruskan.

Beliau menyatakannya selepas Sidang DUN Terengganu di Kuala Terengganu berhenti rehat semalam,

Ketua Penerangan PAS Terengganu, Mohd Nor Hamzah pula kelmarin berkata PAS menerima pelawaan Umno-BN dalam isu pindaan RUU355 ini bukan kerana mereka dikenali sebagai kumpulan yang boleh dipercayai.

Namun PAS menerimanya diatas sebab DAP dan sekutunya telah jelas menolak, manakala Umno-BN belum menolaknya walaupun diragui akan menolak.

“Oleh itu langkah PAS adalah tepat kerana Umno-BN ketika itu adalah sedikit lebih baik daripada DAP,” katanya dalam kenyataan hari ini.


Berikutan itu beliau menyeru agar kita semua tetap istiqamah di jalan Islam ini.

Biarpun kita bukan sebagai watak utama penjulang syariat Allah tetapi sekurang-kurangnya tidak menjadi watak utama penentang syariat Allah, Katanya.

Lantas beliau mengajak ahli  Umno dan pencinta Islam agar leh melihat dengan jelas betapa dhaifnya Umno sehingga tidak mampu menguasai rakan mereka dalam BN dalam hal agama Islam sendiri.

“Rakyat Islam kini melihat hanya PAS sahaja yang komitmennya sangat tinggi dan boleh diharap dalam perjuangan memartabatkan Islam di Malaysia,” katanya.

Baca seterusnya kenyataan Mohd Nor:

PAS Tetap Istiqamah Perjuangkan Islam
  
Bismillah


Semalam negara dikejutkan dengan berita berkaitan cadangan pindaan RUU355 yang telah dibawakan oleh Presiden PAS ke Parlimen, telah diputuskan oleh Umno-BN untuk tidak akan membantu PAS membawanya. Sudah ribut di seluruh negara dengan kejian, makian dan sindiran golongan-golongan yang sememangnya membenci PAS diatas berita ini, walaupun tersangat jelas apa yang cuba PAS bawakan ini adalah demi kebaikan Islam.

Sebagai seorang muslim yang dibesarkan dalam persekitaran Islam yang sering dicabar dan dikaderkan bagi menghadapinya, kami sangat suka melihat hal ini dari sudut pandangan positif. Keadaan ini sebenarnya telah dijangka oleh PAS dan insyaAllah Islam tetap menang. Kami kongsikan pandangan kami dalam isu ini.

1-Dengan penolakan Umno-BN dalam membantu PAS membawa isu pindaan RUU355 ini, jelas kepada semua manusia yang waras bahawa tiada hubungan antara PAS dan Umno-BN sebagaimana UG yang diratib saban waktu oleh pembenci-pembenci PAS.

2-PAS masih mempunyai peluang dengan kebenaran Speaker untuk membawa cadangan pindaan ini kerana bukannya usul ini ditolak, tetapi tidak dibantu oleh pihak lain. Jika dengan izin Allah ianya diluluskan, kejayaan ini akan lebih manis dan bermakna kerana PAS sendiri yang memajukannya tanpa bantuan besar pihak lain.

3-PAS kini tidak perlu mengharapkan orang lain kecuali berharap sepenuhnya kepada Allah bagi membantu agamaNya. Ini menguatkan lagi kebergantungan kita kepada Allah kerana kejayaan Islam bukan kerana jumlah yang ramai tetapi kerana ketaqwaan kita. Sebagaimana bencinya rasulullah saw kepada golongan yang berbangga dengan jumlah yang ramai dalam Perang Hunain, sedangkan kemenangan itu datangnya dari Allah.

4-Tipu daya didalam politik ini akan terkena kepada sesiapa juga walaupun kepada pejuang-pejuang Islam. Ujian ini akan mematangkan kita dan menjadi tapisan kepada jemaah.

5- Ahli Umno dan pencinta Islam boleh melihat dengan jelas betapa dhaifnya Umno sehingga tidak mampu menguasai rakan mereka dalam BN dalam hal agama Islam sendiri. Rakyat Islam kini melihat hanya PAS sahaja yang komitmennya sangat tinggi dan boleh diharap dalam perjuangan memartabatkan Islam di Malaysia.

6-PAS menerima pelawaan Umno-BN dalam isu pindaan RUU355 ini bukan kerana mereka dikenali sebagai kumpulan yang boleh dipercayai, tetapi PAS menerimanya diatas sebab DAP dan sekutunya telah jelas menolak, manakala Umno-BN belum menolaknya walaupun diragui akan menolak. Oleh itu langkah PAS adalah tepat kerana Umno-BN ketika itu adalah sedikit lebih baik daripada DAP.

Saya menyeru agar kita semua tetap istiqamah di jalan Islam ini. Biarpun kita bukan sebagai watak utama penjulang syariat Allah tetapi sekurang-kurangnya tidak menjadi watak utama penentang syariat Allah.

Kita sedang bergerak ke akhirat. Julanglah Islam walau di mana kita berada. PAS tetap istiqamah dalam jatuh bangun PAS untuk menegakkan syariat Allah. Kita akan menuai hasil usaha kita bagi membantu agama Allah tanpa ditanya adakah kita menang atau kalah.

Jika benar pindaan RUU355 ini ditolak suatu hari nanti, maka pastikan mereka yang menolaknya tidak akan mendapat sehelaipun undi kita.

Ayuh kita teruskan perjalanan demi kerana Allah, kesampingkan kekecewaan, berusaha, berdoa dan bertawakkal, insyaAllah diberikan kejayaan oleh Allah.

YB Mohd Nor Hamzah
Ketua Penerangan PAS Terengganu
(2 Rejab 1438 bersamaan 30 Mac 2017)

Wednesday, 29 March 2017

Perbelanjaan LPT2 - BN/UMNO Tidak Akan Pejuangkan Wang Rakyat


Tidak perlu diratap dan ditangisi lagi.

Wang Kerajaan Negeri Terengganu yang diguna bina Lebuh Raya Pantai Timur Fasa Dua (LPT2) tidak akan pernah kembali lagi kepada rakyat negeri ini.

Rakyat Terengganu tidak perlu meratapinya lagi.

Selagi Barisan Nasional (BN) dan UMNO menjadi pemerintah Terengganu, jangan harap ada usaha untuk menuntutnya.

Kerajaan pimpinan Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman tidak akan berani dan bagai tiada tenaga dan political will menuntut perkara berkenaan.

Malah sebahagian yang sudah dikembalikan dibelanjakan pula kepada projek jalan persekutuan yang sewajarnya dipohon daripada kerajaan Pusat.

Harapkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN/UMNO untuk menimbulkan isu pada persidangan Dewan Undangan Negeri kali ini?

Jauh sekali!

Hishamuddin membela kepentingan rakyat.
Ketakutan mereka seperti takutnya Ahmad Razif kepada Datuk Seri Najib Razak. Pangkat dan kedudukan mengatasi segala-galanya.

Begitulah juga dengan ADUN BN/UMNO ketika ini yang menikus seribu bahasa dalam isu kepentingan rakyat seperti ini.


Kerana itu wajar disokong dan dihargai apabila ADUN PAS Tepoh,  Hishamuddin Abd Karim menyatakan kebimbangan mengenai perkara itu.

Ini kerana wang kerajaan negeri yang digunakan oleh kerajaan persekutuan untuk membina LPT2 dibimbangi tidak kembali ‘ke pangkuan’ rakyat.

Katanya, jawapan yang diberikan oleh Menteri Kerja Raya pada 19 Januari 2016 mengatakan bahawa duit itu disalurkan untuk menaiktaraf dan membaiki jambatan.

“Beliau (Menteri kerja raya) menyatakan tentang kesediaan kerajaan menyalurkan peruntukan menaiktaraf dua jalan dan tiga jambatan negeri ini melalui bajet pembinaan LPT2 seperti dipohon Terengganu,

“Saya bimbang tuntutan (wang LPT2) berlaku tetapi balik kepada projek-projek ‘federal’ (kerajaan persekutuan) melalui jalan raya, jalan persekutuan tapi bukan masuk kepada kepentingan kerajaan negeri,” soal beliau.

Beliau berkata demikian ketika sesi soal jawab pada Persidangan Dewan Undangan Negeri di Wisma Darul Iman pagi kelmarin 28 Mac 2017.

Ketika menjawab pertanyaan beliau, Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman mengakui kedudukan itu.

Beliau berkata, kerajaan negeri telah menerima sebahagian pemulangan wang LPT2 sebanyak RM1.85 bilion tetapi digunakan pula untuk menaik taraf jalan persekutuan.

“Kita sebenarnya sudah menerima sebanyak RM118 juta yang telah dipulangkan kepada kerajaan negeri dan duit ini telah digunakan menaiktaraf jalan (persekutuan) dari dua lorong kepada empat lorong,

“Di kawasan Kijal, Chukai, Kemaman untuk menyambung (projek) yang kita laksanakan di kawasan Marang dan Dungun,” ujarnya.

Malah, berkaitan ini isu kutipan tol juga masih belum dapat diselesaikan cara pembahagiannya dan Ahmad Razif akur sahaja dengan keadaan yang berlaku sekarang.

Tuesday, 28 March 2017

Iskandar Bukan Sekadar Memujuk Tetapi Jadi ‘Batu Api’....


Suara siapa yang Mohd Iskandar Jaafar (Ahli Dewan Undangan Negeri – ADUN – Jabi) bawa apabila mengatakan kerjasama antara parti UMNO dengan PAS penting bagi mempertahankan kedaulatan Islam dan bangsa Melayu di Malaysia.

Iskandar – yang namanya tenggelam timbul – dalam senarai calon yang ditularkan sejak beberapa bulan ke belakangan ini - semalam menganggap kerjasama antara dua parti yang mendominasi politik Terengganu itu amat diharapkan.

Katanya, kerjasama itu bagi mengukuhkan perpaduan dan mewujudkan kerjasama di kalangan pemimpin di negeri ini, katanya.

Daripada kata-katanya itu jelas Iskandar sangat bimbang dengan kemaraan Pakatan pembangkang –  khususnya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), AMANAH dan  PKR di Terengganu.

Malah dengan menyebut bahawa  PAS dan UMNO adalah dua parti yang telah berupaya memenangi hati rakyat di negeri ini sebagai tidak relevan lagi.

Kata-katanya, “Kalau sebut di Terengganu, datanglah parti mana pun rakyat akan ingat dua parti sahaja iaitu PAS dan UMNO,” hanya analogi yang tidak berpijhak di bumi nyata.

Mengatakan dua tiga parti lagi datang secara bermusim dan bukan berkepentingan untuk beri perkhidmatan kepada rakyat hanyalah propaganda UMNO.

Pastinya Iskandar akan menghadapi laluan sukar untuk pertahankan kerusinya kali ini walaupun mungkin berlaku pertandingan tiga penjuru.

UMNO Jabi bertelingkah sesama sendiri dengan nama bekas ADUN Jabi, Ramlan Ali kini turut disebut-sebut sebagai pangganti Iskandar yang menggambarkan kedudukan beliau kini tercabar.

Serangan dalaman akan menyulitkan Iskandar dan belum lagi serangan langsung dari PPBM, AMANAH dan PKR.

Jika pun PAS bertanding, Iskandar jangan anggap boleh menang mudah gara-gara tiga penjuru.

Tidak dinafikan sebelum ini hanya PAS dan UMNO kekal di dalam hati rakyat Terengganu khususnya Melayu Islam, termasuk di Jabi, namun suasana sudah jauh berubah.

Apakah bentuk kerjsama yang Iskandar maksudkan dengan PAS?

Beliau mengharapkan sokongan pengundi PAS dalam pilihan raya akan datang untuk memenangkannya sekali lagi di DUN  Jabi?

Bukankah PAS sendiri sudah mengatakan ia akan bertanding di DUN berkenaan dan akan menumbangkan UMNO dan Barisan Nasional (BN)?

Apakah Iskandar cepat lupa bahawa “Kemenangan Jabi,Kunci ke Wisma Darul Iman” yang disebut oleh PAS pada 8 Januari 2016 apabila PAS menjadikan DUN Jabi sebagai sasaran untuk kemenangannya?


Pengarah Majlis Tindakan DUN (MTD) Jabi Dr Azman Ibrahim menyeru para petugas tempatan agar melipatgandakan usaha bagi membantu PAS negeri merelisasikan kemenangan pada pilihan raya umum yang akan datang.

“Sasaran kerja Unit Peti Undi Jabi Luar adalah berbeza dengan Unit Peti Undi yang lain. Kalau Peti Undi lain bekerja untuk mencapai kemenangan, UPU Jabi Luar bekerja untuk mempertahankan dan mempertingkatkan kemenangan, bagi membantu PAS negeri menawan Wisma Darul Iman,”ujarnya.

 Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Pelancaran Gerak Kerja UPU Jabi Luar dengan pada Jumaat, 8 Januari 2016.

Maknanya PAS sudah bersedia dan bukan mudah untuk PAS serahkan kerusi berkenaan.

Agaknya Iskandar semakin gusar kerana beliau menang di DUN Jabi pun dengan majoriti agak kecil  dan pastinya kerusi ini diintai oleh PAS.

Kata Iskandar ketika membahaskan titah Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin di persidangan penggal kelima, Dewan Undangan Negeri ke-13, di Wisma Darul Iman pada hari kedua, semalam mempelawa PAS menjalinkan hubungan kerjasama politik dengan BN dan UMNO.

Katanya, ini memandangkan kedua-duanya selari dalam memperjuangkan kepentingan rakyat dan agama Islam.

"Seburuk-buruk UMNO pun sebagaimana dakwaan pembangkang, parti inilah yang bantu rakyat dan parti ini jugalah yang kadang-kadang bantu juga pengikut PAS. Jadi apa salahnya dalam mewujudkan kerjasama dan perpaduan, turutlah kita, jangan bersendirian,” demikian katanya.

Iskandar bukan sekadar memujuk PAS tetapi menjadi ‘batu api’ apabila mendesak PAS memutuskan hubungannya dengan PKR.

Kata Iskandar: "Kalau di Pulau Pinang, PAS telah mengusulkan untuk memutuskan hubungan politik dengan parti komponennya sebelum ini (PKR), kita harap di Terengganu lapan bahagian Pas pun akan melakukan perkara sama.

“Marilah bersama-sama dengan kita. Insya-Allah," katanya.

Iskandar tidak payah puji PASlah kononnya parti itu kalau diibaratkan sebagai seorang wanita (janda), sangat laku. “Belum habis idah dah datang orang melamar,” katanya.

Boleh puji tetapi apakah PAS akan menerima lamarannya yang selama ini menjadi musuh ketat dan sering mencacinya?


Bermaruahkah PAS jika ‘menjilat kembali ludahnya’ di mana UMNO pernah dilabelkan sebagai kafir dan memang tidak boleh dipercayai.