Tuesday 13 June 2017

PAS Tuduh UMNO Terengganu 'Perkudakan' SPR Negeri

Ganbar kiri ialah premis tempat pengundi dipindahkan dan kanan ialah  rumah Datuk Mohd Sobri Alwi
UMNO dan Barisan Nasional (BN) didakwa cuba 'memperkudakan' Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) Terengganu bagi menjamin kemenangan mereka dan terus memerintah negeri itu.

Yang Dipertua PAS Kawasan Kuala Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, terdapat beberapa bukti kes pihak SPR sendiri melanggar syarat dan undang-undang daftar pemilihnya.

Katanya dalam keadaan terdesak seolah-olah UMNO-BN cuba campur tangan dalam urusan daftar pemilih SPR yang tidak sewajarnya berlaku kerana SPR merupakan pemegang amanah rakyat bagi menentukan kepimpinan negara dan negeri ini.

“SPR ini agensi kerajaan dan kita (PAS) percaya apa yang dilakukan oleh pihak SPR hari ini campur tangan UMNO-Barisan Nasional (BN). UMNO Terengganu sekarang ini sangat terdesak untuk hendak menang di DUN Ladang.


“Sebab itu, proses perpindahan yang sangat besar dan luar biasa itu berlaku di Dun Ladang sekarang ini. Apabila pihak SPR sendiri kita (PAS) lihat tidak mengikut prosedur yang ditetapkan oleh pihak mereka sendiri.

“Bagaimana kita boleh mempercayai SPR untuk menguruskan satu urusan pemilihan yang akan menentukan siapa yang akan mentadbir, mengurus negeri dan negara serta rakyat jelata di negeri mahu pun di negara ini.

“Apa yang saya lihat, UMNO sekarang ini benar-benar menggunakan talian hayat terakhirnya iaitu SPR.

“Saya harap SPR tidak sama sekali merelakan diri mereka diperalatkan oleh UMNO-BN. Bahkan, mereka kena ingat bahawa mereka (SPR) memegang amanah daripada rakyat negara ini,” tegasnya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang medianya di Pejabat Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu (BPPNT), Taman Sri Intan, Jalan Sultan Omar, Kuala Terengganu pada Ahad, 11 Jun. 

Sehubungan itu, katanya isu daftar pemilih SPR Suku Keempat 2016 bagi kawasan pilihan raya Dewan Undangan Negeri (Dun) Ladang amat meragukan serta berlaku perkara luar biasa.

Menurutnya, hasil semakan yang dilakukan oleh pihak jentera PAS peringkat kawasan Kuala Terengganu dan di peringkat Dewan Undangan Negeri (Dun) Ladang menemui beberapa perkara yang pelik.

“Pertama berlaku pertambahan pengundi agak pelik di Dun Ladang pada Suku Pertama 2017 iaitu seramai 860 orang dan ini adalah angka tertinggi dalam negeri Terengganu dan pada Suku Keempat 2016 lalu seramai 513 orang.


“Pihak MTD (Majlis Tindakan Dun) Ladang telah membuat bantahan daripada 513 orang nama-nama yang telah didaftarkan itu seramai 58 orang dibantah oleh 12 orang pembantah pada 20 Februari 2017.

 “Kita (PAS) buat itu mengikut prosedur dan syarat-syarat yang dikemukakan oleh SPR,” ujarnya.

Selepas dua minggu, kata beliau pihak SPR meminta tambahan bukti dan PAS telah mengemukakan maklumat tambahan itu.

Menurutnya, pada hari siasatan atau pendengaran awam bertarikh 17 April 2017, semua pembantah hadir ke pejabat SPR.

Namun, kata Ustaz Wan Sukairi, Orang Kena Bantah (OKB) semuanya tidak hadir yang jumlahnya seramai 22 orang.

“Amalan biasa SPR, kebiasaannya apabila OKB tidak hadir perbicaraan pihak SPR akan membuat keputusan pada hari tersebut.

“Hasil daripada perbicaraan yang tidak dihadiri oleh  oleh OKB itu SPR kemudiannya mengeluarkan satu surat keputusan perbicaraan bahawa bantahan diterima daripada 22 orang yang dibantah, 18 orang OKB itu diterima SPR,” ujarnya.

Manakala, katanya empat orang lagi daripada 22 orang itu pihak SPR tidak mampu membuat keputusan selepas selesainya sesi perbicaraan, tidak seperti 18 orang yang lain itu.

Menurutnya, selepas dua bulan kemudian pada 8 Jun 2017 lalu, pembantah menerima keputusan SPR yang menyatakan bahawa daripada empat orang yang pending itu dua orang berjaya dibantah dan dua lagi gagal dibantah.

“Salah seorang yang SPR terima bantahan kita (pembantah) ialah Datuk’ Mohd Sobri Alwi iaitu Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu.

“Perkara yang pelik berlaku dalam kes ini terdapat tiga adik-beradik yang dipindahkan ke alamat yang sama dan pembantah juga memberikan alasan yang sama kepada SPR. Dua orang berjaya dibantah dan seorang lagi gagal.

“Kes keduanya, terdapat alamat rumah yang dipindahkan itu mempunyai jumlah pengundi yang tidak munasabah. Rumah kayu kampung yang beralamat 677 Kampung Bukit Besar dengan pengundi sedia ada 13 orang dan ditambah seorang lagi Dato’ Mohd Sobri Alwi.

“SPR telah melakukan kesalahan iaitu syarat mendaftar yang ditetapkan SPR ialah bermastautin di mana-mana bahagian pilihan raya (mengikut alamat dalam kad pengenalan). Sedangkan, alamat rumah yang digunakan oleh Dato’ Mohd Sobri Alwi itu, dia tidak bermastautin di rumah tersebut.

“Dua alasan jawapan SPR iaitu pertama, siasatan dilapangan SPR mendapati bahawa pemilik rumah telah memberikan kebenaran untuk OKB (Orang Kena Bantah) termasuk kepada Dato’ Mohd Sobri untuk bermastautin di alamat tersebut dan premis sesuai dihuni dengan satu surat kebenaran mendiami turut diberikan oleh pemilik (tuan rumah).

“Kedua, pembantah dan saksi hanya memberikan keterangan berasaskan faktor logik tanpa mengemukakan apa-apa bukti lain yang menunjukkan kemunasabahan nama OKB patut dikeluarkan dari daftar pemilih SPR. Ini juga pihak SPR telah langgar peraturan yang dia buat sendiri,” jelasnya.

Justeru, beliau mengingatkan pihak SPR agar tidak menjadi alat kepada pemimpin UMNO-BN yang kerakusan kuasa.

“Kita (PAS) tidak mahu SPR ‘merelakan’ diri mereka menjadi alat kepada kerakusan kuasa oleh pimpinan-pimpinan UMNO-BN.

“Kita mahu SPR berdiri teguh berdasarkan kepada undang-undang yang telah ditetapkan oleh kerajaan kepada mereka, bukannya menjadi alat kepada UMNO-BN,” tegasnya.

Hadir sama pada sidang media itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ladang, Dato’ Tengku Hassan Tengku Omar, Pengerusi Lajnah Undang-undang dan Hak Asasi Manusia (Luham), Zabidi Yusuf dan Pengarah MTD Ladang, Ustaz Ahmad Kamal Ali.

Sumber - BuletinOnline


No comments:

Post a Comment