Showing posts with label Bantah. Show all posts
Showing posts with label Bantah. Show all posts

Tuesday, 13 June 2017

PAS Tuduh UMNO Terengganu 'Perkudakan' SPR Negeri

Ganbar kiri ialah premis tempat pengundi dipindahkan dan kanan ialah  rumah Datuk Mohd Sobri Alwi
UMNO dan Barisan Nasional (BN) didakwa cuba 'memperkudakan' Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) Terengganu bagi menjamin kemenangan mereka dan terus memerintah negeri itu.

Yang Dipertua PAS Kawasan Kuala Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, terdapat beberapa bukti kes pihak SPR sendiri melanggar syarat dan undang-undang daftar pemilihnya.

Katanya dalam keadaan terdesak seolah-olah UMNO-BN cuba campur tangan dalam urusan daftar pemilih SPR yang tidak sewajarnya berlaku kerana SPR merupakan pemegang amanah rakyat bagi menentukan kepimpinan negara dan negeri ini.

“SPR ini agensi kerajaan dan kita (PAS) percaya apa yang dilakukan oleh pihak SPR hari ini campur tangan UMNO-Barisan Nasional (BN). UMNO Terengganu sekarang ini sangat terdesak untuk hendak menang di DUN Ladang.


“Sebab itu, proses perpindahan yang sangat besar dan luar biasa itu berlaku di Dun Ladang sekarang ini. Apabila pihak SPR sendiri kita (PAS) lihat tidak mengikut prosedur yang ditetapkan oleh pihak mereka sendiri.

“Bagaimana kita boleh mempercayai SPR untuk menguruskan satu urusan pemilihan yang akan menentukan siapa yang akan mentadbir, mengurus negeri dan negara serta rakyat jelata di negeri mahu pun di negara ini.

“Apa yang saya lihat, UMNO sekarang ini benar-benar menggunakan talian hayat terakhirnya iaitu SPR.

“Saya harap SPR tidak sama sekali merelakan diri mereka diperalatkan oleh UMNO-BN. Bahkan, mereka kena ingat bahawa mereka (SPR) memegang amanah daripada rakyat negara ini,” tegasnya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang medianya di Pejabat Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu (BPPNT), Taman Sri Intan, Jalan Sultan Omar, Kuala Terengganu pada Ahad, 11 Jun. 

Sehubungan itu, katanya isu daftar pemilih SPR Suku Keempat 2016 bagi kawasan pilihan raya Dewan Undangan Negeri (Dun) Ladang amat meragukan serta berlaku perkara luar biasa.

Menurutnya, hasil semakan yang dilakukan oleh pihak jentera PAS peringkat kawasan Kuala Terengganu dan di peringkat Dewan Undangan Negeri (Dun) Ladang menemui beberapa perkara yang pelik.

“Pertama berlaku pertambahan pengundi agak pelik di Dun Ladang pada Suku Pertama 2017 iaitu seramai 860 orang dan ini adalah angka tertinggi dalam negeri Terengganu dan pada Suku Keempat 2016 lalu seramai 513 orang.


“Pihak MTD (Majlis Tindakan Dun) Ladang telah membuat bantahan daripada 513 orang nama-nama yang telah didaftarkan itu seramai 58 orang dibantah oleh 12 orang pembantah pada 20 Februari 2017.

 “Kita (PAS) buat itu mengikut prosedur dan syarat-syarat yang dikemukakan oleh SPR,” ujarnya.

Selepas dua minggu, kata beliau pihak SPR meminta tambahan bukti dan PAS telah mengemukakan maklumat tambahan itu.

Menurutnya, pada hari siasatan atau pendengaran awam bertarikh 17 April 2017, semua pembantah hadir ke pejabat SPR.

Namun, kata Ustaz Wan Sukairi, Orang Kena Bantah (OKB) semuanya tidak hadir yang jumlahnya seramai 22 orang.

“Amalan biasa SPR, kebiasaannya apabila OKB tidak hadir perbicaraan pihak SPR akan membuat keputusan pada hari tersebut.

“Hasil daripada perbicaraan yang tidak dihadiri oleh  oleh OKB itu SPR kemudiannya mengeluarkan satu surat keputusan perbicaraan bahawa bantahan diterima daripada 22 orang yang dibantah, 18 orang OKB itu diterima SPR,” ujarnya.

Manakala, katanya empat orang lagi daripada 22 orang itu pihak SPR tidak mampu membuat keputusan selepas selesainya sesi perbicaraan, tidak seperti 18 orang yang lain itu.

Menurutnya, selepas dua bulan kemudian pada 8 Jun 2017 lalu, pembantah menerima keputusan SPR yang menyatakan bahawa daripada empat orang yang pending itu dua orang berjaya dibantah dan dua lagi gagal dibantah.

“Salah seorang yang SPR terima bantahan kita (pembantah) ialah Datuk’ Mohd Sobri Alwi iaitu Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu.

“Perkara yang pelik berlaku dalam kes ini terdapat tiga adik-beradik yang dipindahkan ke alamat yang sama dan pembantah juga memberikan alasan yang sama kepada SPR. Dua orang berjaya dibantah dan seorang lagi gagal.

“Kes keduanya, terdapat alamat rumah yang dipindahkan itu mempunyai jumlah pengundi yang tidak munasabah. Rumah kayu kampung yang beralamat 677 Kampung Bukit Besar dengan pengundi sedia ada 13 orang dan ditambah seorang lagi Dato’ Mohd Sobri Alwi.

“SPR telah melakukan kesalahan iaitu syarat mendaftar yang ditetapkan SPR ialah bermastautin di mana-mana bahagian pilihan raya (mengikut alamat dalam kad pengenalan). Sedangkan, alamat rumah yang digunakan oleh Dato’ Mohd Sobri Alwi itu, dia tidak bermastautin di rumah tersebut.

“Dua alasan jawapan SPR iaitu pertama, siasatan dilapangan SPR mendapati bahawa pemilik rumah telah memberikan kebenaran untuk OKB (Orang Kena Bantah) termasuk kepada Dato’ Mohd Sobri untuk bermastautin di alamat tersebut dan premis sesuai dihuni dengan satu surat kebenaran mendiami turut diberikan oleh pemilik (tuan rumah).

“Kedua, pembantah dan saksi hanya memberikan keterangan berasaskan faktor logik tanpa mengemukakan apa-apa bukti lain yang menunjukkan kemunasabahan nama OKB patut dikeluarkan dari daftar pemilih SPR. Ini juga pihak SPR telah langgar peraturan yang dia buat sendiri,” jelasnya.

Justeru, beliau mengingatkan pihak SPR agar tidak menjadi alat kepada pemimpin UMNO-BN yang kerakusan kuasa.

“Kita (PAS) tidak mahu SPR ‘merelakan’ diri mereka menjadi alat kepada kerakusan kuasa oleh pimpinan-pimpinan UMNO-BN.

“Kita mahu SPR berdiri teguh berdasarkan kepada undang-undang yang telah ditetapkan oleh kerajaan kepada mereka, bukannya menjadi alat kepada UMNO-BN,” tegasnya.

Hadir sama pada sidang media itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ladang, Dato’ Tengku Hassan Tengku Omar, Pengerusi Lajnah Undang-undang dan Hak Asasi Manusia (Luham), Zabidi Yusuf dan Pengarah MTD Ladang, Ustaz Ahmad Kamal Ali.

Sumber - BuletinOnline


Sunday, 19 January 2014

Ahmad Said Ke Antartika - Ke Arah Merealisasikan Stesen Kajian Sains Khutub Berskala Besar


Penglibatan kerajaan Terengganu dalam misi ini menggambarkan sokongan padu terhadap usaha yang dijalankan di peringkat Pusat dan global dan lebih penting untuk melahirkan kumpulan penyelidik yang berwibawa dan dihormati...Memorandum Persefahaman antara INACH dan YPASM membuka laluan kerjasama ke arah menubuhkan sebuah stesen kendalian bersama Malaysia-Chile di Antartika."

Daripada hambali1

What business does the Terengganu Menteri Besar have in Antarctica which justifies a jolly cruise to the Antartica?

Ini pertanyaan Tony Phua. Apa pula yang mengatakan : ‘Ahmad Said Tukar Bidang Baru’, ada mengatakan ‘Mat Said Belanja Jutaan Ringgit Berlayar ke Antartika, Rakyat Makan Kangkung’, "Mungkin Ahmad Said Akan Bawa Balik Seekor Beruang ‘Polar’?" dan ramai mengatakan lawatan itu hanya ‘membazir’.

Tony turut mempersoalkan lawatan kerja Menteri Besar Terengganu itu dan menganggapnya suatu pembaziran besar.

Menurutnya, ia ia tidak bertepatan dengan keadaan rakyat yang sering diingatkan untuk mengikat perut selain mempersoalkan rasional di sebalik lawatan 15 hari itu.

Katannya: Beliau bukan Menteri Sains dan Teknologi atau Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar. Ahmad tidak boleh berkata tujuan ke sana untuk misi pelaburan asing atau menarik pelancong melainkan hanya melihat penguin di sana.

Ahmad juga tidak boleh memberi alasan meragukan seperti mana bekas Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohd Khir Toyo ke Disneyland bagi mengkaji taman tema dengan mengunjungi Mickey Mouse dan rakan-rakan,” katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Batu Burok yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi berkata Ahmad Said tiada hak menyalahgunakan wang rakyat dengan alasan ianya “lawatan saintifik” kerana Terengganu merupakan antara negeri termiskin dan ramai di kalangan rakyatnya yang hidup dalam serba kedaifan.

"Beliau seharusnya mengenepikan kesombongan dan keangkuhan sebagai menteri besar yang berkuasa sebelum rakyat Terengganu menurunkan beliau dengan kuasa rakyat.

“Saya menggesa Ahmad segera membatalkan ekspedisi ke Antartika dan kembali memberi tumpuan kepada kemelut rakyat yang berdepan dengan kenaikan kos hidup,” katanya dalam satu kenyataan.

Presiden Gerakan Anak Terengganu Insaf (Ganti) Ahmad Amzad Hashim berkata, Ahmad Said bukan saintis yang mempunyai kepakaran dalam bidang berkenaan.

Beliau berpendapat, penglibatan ‘orang politik’ akan merencatkan kelancaran misi yang dianggap besar oleh kerajaan itu.

“Saya rasa kalau betul pun ekspedisi ini nak dibuat, hantar saja ahli-ahli sains dan mesti dibiayai oleh Kementerian yang berkenaan."

Pemuda Parti Sosialis Malaysia (PSM) mempersoalkan peranan Menteri Besar Terengganu itu dalam mengetuai delegasi Malaysia ke Antartika.

Ketua Pemuda PSM Edwin Michael berkata Terengganu berdepan dengan pelbagai isu alam sekitar, seperti hakisan pantai dari Besut hingga ke Kemaman dan pembalakan haram

 Selain itu, katanya, rakyat Malaysia berdepan dengan peningkatan kos sara hidup dan hutang negara, sedangkan manfaat daripada lawatannya nampaknya "meragukan" .

Kenyataan-kenyataan di atas adalah sebahagian yang menentang pemergian Ahmad Said ke Antartika.

Walaupun pelbagai kritikan, sindirian dan kata-kata nista terhadapnya, Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said sudah berlepas dari KLIA kira-kira jam 10.40 malam kelmarin (18 Januari 2014) bagi mengetuai lawatan ke Antartika anjuran Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi melalui inisiatif Yayasan Penyelidikan Antartika Sultan Mizan (YDSM).

Dalam kenyataannya Rabu lalu, menteri besar itu sudah menegaskan bahawa lawatan kerja selama 15 hari bertujuan membuka laluan untuk membantu kerajaan menubuhkan sebuah stesen penyelidikan bersama Instituto Antartico Chileno (INACH).

Chile akan menjadi tuan rumah kepada delegasi Malaysia yang akan dibawa melawat stesen penyelidikan yang dikendalikan oleh INACH di Antartika.

Kesediaan dan sokongan Kerajaan Negeri Terengganu kepada penyelidikan di Antartika besar maknanya dari segi penyelidikan untuk mengesan dan memantau fenomena alam sekitar di peringkat global seperti penipisan ozon atmosfera, pemanasan global serta perubahan paras laut.

Malah penyelidikan yang amat rapat dengan kehidupan kita seharian - tidak kiralah sama ada di Terengganu atau Malaysia amnya - adalah sesuatu yang amat dibanggakan.

Kesediaan Kerajaan Terengganu melalui kepimpinan Ahmad Said membuka mata banyak pihak kerana Terengganu kini bersama-sama kerajaan.


Malaysia dan rakyat negara ini untuk membongkar misteri saintifik yang tersembunyi di benua sejuk itu. Ia bukan sahaja akan mambawa kebaikan kepada negara tetapi dengan keyakinan Kerajaan Negeri melalui Universiti Malaysia Terengganu (UMT)  untuk menyertai penyelidikan ini membawa suatu era baru dalam bidang akademik dan saintifik di Terengganu.

Kita berharap dengan lawatan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said kira-kira 10 hari ke Antartika itu akan memberikan kefahaman saintifik yang berguna kepada beliau.

Pepatah Inggeris mengatakan ‘seeing is believing’ pastinya akan memberikan suatu pendedahan dan kefahaman yang lebih mendalam kepada Ahmad Said.

Pemergiannya ditemani bekas Naib Canselor UMT, Profesor Aziz Deraman dan pastinya akan memudahkan
Menteri Besar untuk mengetahui dengan lebih jelas isu berkaitan Antartika ini.

Mungkin perjalanan agak jauh iaitu Kuala Lumpur – Amsterdam – Santiago (Chile) – Antartika kemudian kembali. Namun kita yakin ia akan mendatangkan manfaat kepada Menteri Besar dan rakyat Terengganu yang jelas akan lebih dekat dengan misteri saintifik di Antartika itu.

Lebih memudahkan usaha ini kerana pada Oktober tahun 2011, Malaysia menandatangani Antarctic Treaty System (ATS) 1959 dan menjadi ahli Madrid Protocol yang memberi rangka kerja bagi pengurusan dan pentadbiran Antartika serta kerjasama antara semua pihak dan ahli ATS.

Penyertaan Malaysia dalam ATS 1959 itu memberi peluang yang sangat luas kepada saintis negara ini untuk menyertai komuniti penyelidikan antarabangsa dalam sains Antartika melalui Badan Bertindak Antartika dan Pusat Penyelidikan Antartika Nasional bertempat di Universiti Malaya sebagai pusat rujukan penyelidikan saintis Malaysia.

Sejak ia dimulakan pada 1999 hingga kini lebih 31 projek penyelidikan dalam beberapa bidang termasuk sains atmosfera, polar mikrobiologi, ekologi, remote sensing, geo sains, dasar dan pengurusan Antartika berjaya dilaksanakan oleh penyelidik negara.

Manakala sebanyak 151 penerbitan saintifik telah dihasilkan dan 105 graduan dan graduan lanjutan telah mendapat latihan dalam program ini. Mungkin ramai daripada belum faham dan mengerti kenapa penyelidikan di Antartika itu penting dan kaitan dengan kehidupan kita seharian, tidak kiranya sama ada di Malaysia atau Terengganu khususnya.

Sedangkan, benua Antartika di Khutub Selatan merupakan makmal asli yang penting dan membolehkan penyelidik untuk mengesan dan memantau fenomena alam sekitar di peringkat global seperti penipisan ozon atmosfera, pemanasan global serta perubahan paras laut.

Untuk lebih meyakinkan bahawa usaha penyelidikan ini memang sesuatu yang akan membawa kebaikan kepada kehidupan manusia khususnya dalam hubungan antara Tropika dan Antartika, inisiatif menubuhkan Yayasan Penyelidikan Antartika Sultan Mizan adalah sesuatu yang dinanti-nantikan.

Ketua Pegawai Eksekutif Akademi Sains Malaysia (ASM) Dr Ahmad Ibrahim berkata pada 5 Julai 2012, sebuah yayasan akan ditubuhkan bagi mengumpul dana bagi membantu saintis tempatan menjalankan penyelidikan berskala besar di benua Antartika.

Yayasan itu yang dinamakan 'Yayasan Penyelidikan Antartika Sultan Mizan' yang merupakan kerjasama antara kerajaan dengan ASM akan mengumpul dana bagi membina fasiliti penyelidikan negara di Antartika yang akan digunakan saintis tempatan. berkata saintis

Malaysia telah mula menjalankan penyelidikan di Antartika sejak 1999, tetapi terpaksa menumpang fasiliti dan kelengkapan penyelidikan di Pangkalan Scott yang dikendalikan oleh New Zeland.

"Kita telah menyertai Triti Antartika pada 2011 dan kita memerlukan pusat penyelidikan sendiri agar dapat memudahkan saintis negara menjalankan kajian dan penyelidikan khusus untuk kepentingan sains negara," katanya selepas ditemu bual dalam rancangan terbitan Radio 24 di Kuala Lumpur. Katanya sejak 1999 hingga 2010, 62 ekspedisi saintifik telah dilakukan melibatkan 60 penyelidik.



Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin pada 19 Julai 2012  melancarkan yayasan berkenaan di UMT yang turut dihadiri Ahmad Said serta bekas Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Panglima Dr. Maximus Johnity Ongkili (Dr Maximus kini Menteri Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air ). Turut berangkat, Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah.

Pada majlis pelancaran yayasan berkenaan, Sultan Mizan turut berkenan menyampaikan Anugerah Penyelidikan Antartika Sultan Mizan kepada tiga orang penyelidik iaitu Dr. Wan Mohd Rauhan Wan Hussin (UMT); Dr Chong Chur Wie (Internasional Medical Universiti) dan Abiramy a/p Krishnan (UMT).

Sultan Mizan mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Malaysia di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak yang telah meluluskan penubuhan YPASM berkenaan selain menghargai sokongan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkenaan.

Sultan Terengganu menyatakan kegembiraannya kerana yayasan itu dapat dilancarkan setelah genap tujuh bulan selepas lawatan Baginda ke Antartika iaitu pada November 2011.

Ini membuktikan bahawa wujudnya komitmen serta sokongan ikhlas daripada kerajaan terhadap program penyelidikan Antartika oleh rakyat Malaysia sambil menggesa sektor swasta dan pihak-pihak tertentu menyokong dan bekerjasama dengan yayasan itu dalam usaha untuk meningkatkan penyertaan Malaysia dalam penyelidikan saintifik di Antartika.

Bagi Sultan Terengganu, kewujudan yayasan ini akan memberi ruang bagi pembiayaan penyelidikan di Antartika di samping menyediakan peluang untuk menjalankan penyelidikan saitifik yang bermanfaat kepada manusia.

Malah dalam titahnya, Sultan Mizan berharap lebih ramai lagi terutama penyelidik muda menyertai usaha ini. Lebih menggembirakan apabila yayasan berkenaan turut menerima suntikan dana lebih RM12 juta bagi membiayai penyelidikan Antartika serta aktiviti yayasan itu.


Kerajaan Malaysia telah menyumbangkan RM10 juta dan dana sepadan dengan jumlah maksimum sebanyak RM500,000 setiap tahun manakala kerajaan Terengganu sebanyak RM2 juta dan selebihnya daripada Universiti Teknologi Malaysia (UMT) RM100,000 dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) RM50,000. 

Pembabitan UMT dan kesediaan kerajaan Terengganu menaja penyelidikan di Antartika ini adalah era baru bagi negeri ini kerana ia akan mengembang dan mempertingkatkan lagi penyelidikan sains di Antartika serta pembangunan sains global di negara ini.

Keputusan UMT itu sangat dialu-alukan lebih-lebih lagi bersedia menubuhkan unit penyelidikan Tropika-Antartika di bawah Institut Oseanografi dan Sekitaran atau INOS.

Sejauh ini UMT sentiasa memberi perhatian yang serius terhadap pembangunan penyelidikan bagi menyokong perkembangan akademik yang mapan.

Dengan penubuhan INOS oleh UMT itu, ia akan memudahkan kerja menyelaras program penyelidikan melibatkan perbandingan dan interaksi antara tropika dan Antartika.

Selain itu, penubuhan INOS secara tidak langsung menunjukkan komitmen tinggi daripada penyelidik tempatan dan Terengganu dalam menjayakan program berkaitan Antartika selaras dengan pelbagai usaha termasuk Kerajaan Pusat dalam bidang ini.

Malah dengan komitmen dan sokongan kerajaan negeri terhadap penyelidikan sains di Antartika, kita yakin hasil penyelidikan melalui yayasan dan UMT akan menghasilkan pengetahuan baru selaras dengan aspirasi negara untuk menjadi masyarakat berilmu.

Sultan Terengganu sendiri menyatakan bangganya kerana yayasan ini adalah yang pertama seumpamanya ditubuhkan di negara ini bagi membantu aktiviti-aktiviti penyelidikan sains kutub.

Dr. Maximus turut menyarankan kerajaan-kerajaan negeri,sektor swasta dan individu untuk tampil kehadapan dan bekerjasama dengan yayasan ini bagi menjamin penyelidikian melibatkan perbandingan dan interaksi antara tropika dan Antartika dijayakan dengan jaya dan berkesan.

Amat nyata, saranan Menteri berkenaan diberikan perhatian mendalam apabila lawatan kerja Menteri Besar dan rombongannya itu menjurus kepada Malaysia sebagai sebuah negara yang dapat menyumbang kepada penyelidikan perubahan cuaca dunia yang semakin tidak menentu.

"Lawatan yang bersifat eksplorasi saintifik itu merupakan susulan daripada lawatan Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin ke Antartika pada Oktober 2011 yang mahu melihat lebih banyak universiti tempatan melibatkan diri dalam penyelidikan di benua sejuk itu," kata kenyataan Pejabat Menteri Besar, Rabu (16 Januari 2014) lalu.

Kenyataan itu berkata UMT yang akan mengikuti ekslorasi itu telah meletakkan seorang penyelidik di sebuah stesen di Antartika yang dikendalikan Korea Selatan selama tiga bulan.

Ahmad Said turut memberitahu sidang media pada Rabu lalu, adalah menjadi hasrat kerajaan untuk menyediakan platform kepada saintis dan penyelidik untuk menjalin kerjasama strategik dengan Chile. 

Penglibatan kerajaan Terengganu dalam misi itu menggambarkan sokongan padu terhadap usaha yang dijalankan di peringkat pusat dan global dan lebih penting ia merupakan usaha untuk melahirkan kumpulan penyelidik yang berwibawa dan dihormati.

Menteri Besar dijangka menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman antara INACH dan YDSM bagi membuka laluan kerjasama dalam bidang penyelidikan di benua itu.

Dengan termeterai memorandum persefahaman itu, diharapkan akan menjadi kenyataan ke arah menubuhkan sebuah stesen kendalian bersama Malaysia-Chile di Antartika.

Ia akan membolehkan lebih ramai pertukaran pelajar dan kakitangan akedemik terlibat dalam penyelidikan di sana," katanya.

Memanglah sesuatu yang di luar jangkawan minda ramai, akan menimbulkan pelbagai pertanyaan. Lebih buruk jika pemimpin pembangkang cuba spin isu ini tetapi menunjukkan 'kurangnya pengetahuan mereka' mengenai isu Antartika ini.

Namun sekiranya apa yang dilakukan itu akan mendatangkan lebih banyak kebaikan kepada rakyat, selain untuk tujuan akademik dan penyelidikan sains, negeri Terengganu dan Malaysia amnya, ia sepatutnya disokong.

Tidak wajar kita menghentam secara melulu mengenai tujuan sebenar ekspedisi Menteri Besar Terengganu itu yang kadangkala menyebabkan kita pula tertanya-tanya, “apakah sesetengah pemimpin dan rakyat kita tidak boleh menerima sesuatu perubahan atau pembaharuan?”

Tidakkah usaha ke Antartika ini membawa Terengganu ke suatu bentuk transformasi pemikiran dan akademik yang menjangkau pemikiran kita, lebih-lebih Antartika yang sering terlindung daripada pemandangan kita, walaupun kita melihat sebuah 'globe'?

Memanglah perbelanjaan untuk ekspedisi dan penyelidikan mahal tetapi sekiranya ia menyumbang kepada kebaikan akademik, penyelidikan dan negara, ia bukan lagi berbentuk  'pengembaraan menjejak seekor peguin atau beruang Polar' sebaliknya menjadi sumbangan besar Terengganu kepada penyelidikan saintifik yang begitu penting kepada alam dan manusia!