Friday 22 June 2012

Usaha Terengganu Tarik Pelabur Swasta, Asing Menampakkan Kejayaan

Daripada teganuku 
 
Kerajaan Terengganu berusaha terus menarik pelabur asing dan swasta datang ke negeri ini bagi merancakkan ekonomi dan paling penting menyediakan peluang pekerjaan untuk anak tempatan.

Usaha ini bukan mudah kerana persaingan begitu kuat khususnya daripada negeri Pantai Barat terutamanya Selangor, Pulau Pinang, Johor dan Melaka.

Selain itu Sabah dan Sarawak juga membuktikan mereka negeri yang bersedia menerima pelabur asing dan swasta dengan infrastruktur yang lebih hebat daripada Terengganu.

Bagaimanapun, ternyata usaha menarik pelaburan swasta dan asing termasuk melalui lawatan kerja Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said ke luar negara mendatangkan hasil yang memuaskan.

Kejayaan Terengganu dalam konteks menarik pelaburan swasta dan asing ini menampakkan kejayaan apabila Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir pada 13 Jun lalu berkata Terengganu antara negeri menerima pelaburan swasta tertinggi pada suku pertama tahun ini.

Walaupun tidak dapat mengatasi Sabah yang mampu menarik pelaburan swasta sebanyak RM10 bilion atau Johor dengan RM2.6 bilion dan Sarawak pula sebanyak RM2.3 bilion, keupayaan Terengganu menarik pelaburan swasta sebanyak RM1.4 bilion adalah permulaan yang membanggakan.

Dengan kedudukan itu, Terengganu membuktikan bahawa ia kini mampu bersaing dengan negeri-negeri yang terlebih dahulu menjadi tumpuan pelabur swasta dan asing di negara ini.

Malah kejayaan Terengganu, Sabah, Johor dan Sarawak membuktikan bahawa negeri dalam pentadbiran Barisan Nasional juga mempunyai prestasi tinggi dalam menarik pelaburan.

Mukhriz ketika menjawab soalan tambahan ADUN Gombak dari pembangkang iaitu Azmin Ali pada persidangan Dewan Rakyat Rabu lalu, berkata adalah tidak menghairankan sekiranya Pinang dan Selangor menjadi antara negeri memperoleh pelaburan terbanyak di Malaysia.


Ini kerana kedua-dua negeri itu memiliki infrastruktur yang lengkap dan dibangunkan kerajaan Barisan Nasional di kedua-dua negeri itu sebelum jatuh ke tangan pembangkang.

Berbanding dengan negeri lain, khususnya Terengganu, kedua-dua negeri itu menjadi destinasi pelaburan sejak lama kerana infrastruktur sempurna seperti pelabuhan, jalan raya, universiti dan utiliti yang diusahakan kerjaan Barisan Nasional sebelum ini.

Di sebalik angka RM1.4 bilion yang disebut oleh Mukhriz sebagai jumlah tarikan pelaburan swasta oleh Terengganu itu, Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) sebelum ini mengumumkan kejayaan kerajaan Terengganu meraih nilai pelaburan asing tertinggi pada awal Mac lalu melalui projek akuakultur sebanyak RM1 bilion yang mampu menyumbang kepada nilai projek berimpak tinggi.

Projek yang dilaburkan oleh syarikat dari China di daerah Marang itu dijangka akan membantu mempercepatkan lagi usaha kerajaan negeri menjadi negeri maju.

Usaha kerajaan negeri dengan kerjasama syarikat swasta iaitu Ocean Aquatic Marine (M) Sdn Bhd dan syarikat negara China, Zhanjiang Guolian Aquatic Products Co Ltd, dimuktamadkan dalam mesyuarat ECER yang disaksikan sendiri oleh Perdana Menteri, Dattk Seri Najib Tun Abdul Razak pada 1 Mac lalu.

Bagi projek yang akan diusahakan di Marang itu, pelaburan di kawasan berkeluasan 1,000 hektar itu akan membuka peluang pekerjaan kepada 1,000 penduduk tempatan apabila mula beroperasi kelak.

Projek industri akuakultur ternakan udang berkenaan adalah yang kedua seumpamanya di Terengganu selepas Ladang Akuakultur Udang Bersepadu (iSHARP) Setiu melibatkan peruntukan kira-kira RM200 juta.

Dengan komitmen syarikat dari China dan syarikat swasta tempatan untuk kadang ternakan udang itu bermakna pada suku pertama tahun ini sahaja, kerajaan Terengganu berjaya menambah lagi RM1 bilion untuk nilai pelaburan asing ke negeri ini.

Sebelum ini Kerajaan Pusat mengumumkan sehingga akhir Oktober tahun lalu, Terengganu mendapat pelaburan langsung asing sebanyak RM1.4 bilion dan menduduki tempat ketujuh berbanding Kelantan yang hanya menerima RM129 juta sahaja.

Ternyata Terengganu kini pilihan syarikat luar negara untuk mengembangkan pelaburan mereka, kerana sebelum ini, persetujuan dicapai bagi pembinaan kilang keluli Eastern Steel Sdn Bhd (Eastern Steel) dari Cina di Taman Perindustrian Berat Kemaman di Teluk Kalong, dengan kos keseluruhan RM3.8 bilion.

Menerusi usahasama itu, dianggarkan 2,000 peluang pekerjaan baru akan diwujudkan dengan 60 peratus daripadanya terdiri daripada anak tempatan Terengganu.

Sebelum itu Polimer Park Kerteh menarik pelaburan Korea dan Perancis dengan nilai pelaburan RM2 bilion mulai tahun depan di Kawasan Perindustrian Berat Kemaman yang dibangunkan oleh Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur.

Apa yang diharapkan, selain menjana ekonomi Terengganu dan mewujudkan peluang pekerjaan, melalui pelaburan asing dan swasta berkenaan akan wujud industri hiliran dan yang bekaitan diusahakan penduduk setempat bertujuan menyokong industri berat di kawasan mereka.

Jika ini berlaku, akan semakin berkembanglah kawasan sekitar dan akan memacukan lagi ekonomi setempat yang pastinya akan menepis dan menjawab segala kritikan dan tuduhan pembangkang bahawa kerajaan negeri tidak berupaya menarik pelabur swasta dan asing ke negeri ini.

No comments:

Post a Comment