Friday 24 February 2012

Saman Kerajaan Terengganu Terhadap Dr Syed Azman Di Mahkamah 23 Julai

IMBAS KEMBALI...Ahmad Said menunjukkan kepada wartawan tulisan Syed Azman dalam kolumnya yang disiarkan akhbar Harakah.

Daripada  teganuku

Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur semalam menetapkan tiga hari bermula 23 Julai ini untuk mendengar saman fitnah yang difailkan oleh kerajaan Terengganu terhadap Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Batu Buruk Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi dan tiga yang lain berhubung artikel berkaitan bekalan pakaian seragam sekolah dan alat tulis.

Hakim Amelia Tee Hong Geok Abdullah menetapkan tarikh itu selepas bertemu kedua-dua pihak dalam kamar apabila kes itu dikemukakan untuk pengurusan kes.

Peguam Edynoor Hiefnee Razali mewakili plaintif manakala Azhana Mohd Khairudin pula bagi pihak defendan.

Kerajaan Terengganu, Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said, Mek Hawa Abdul Rahman dan Hamie Azreen Ami Nordin, yang diberi kontrak untuk membekalkan pakaian seragam sekolah dan alat tulis, memfailkan saman itu pada 15 Dis tahun lepas berhubung artikel yang disiarkan oleh Harakah, lidah rasmi PAS.

Mereka menamakan Dr Syed Azman, pemilik permit Harakah, Datuk Mustafa Ali, ketua editor Ahmad Lutfi Othman dan pencetak, Angkatan Edaran Enterprise Sdn Bhd sebagai defendan.

Dalam pernyataan tuntutan mereka, plaintif menyatakan bahawa Syed Azman telah memfitnah mereka menerusi artikel bertajuk "Seleweng RM30 juta Bantuan Sekolah?' yang disiarkan dalam Harakah keluaran 11 hingga 13 Nov,2011.

No comments:

Post a Comment