Tuesday, 25 September 2018

APA DILAKUKAN OLEH RAJA BAHRIN UNTUK PELAN TINDAKAN NEGERI?



Pakatan Harapan (HARAPAN) Kelantan sudah membuatkan kerajaan PAS Kelantan tidak tidur lena  apabila mengumumkan penubuhan Majlis Tindakan Pembangunan Kelantan (MTPK) .

Majlis  itu yang akan menyelaras, memantau dan mencadangkan pembangunan negeri, dianggap oleh PAS Kelantan sebagai pengekalan dasar dasar “kerajaan dalam kerajaan” yang diamalkan oleh Barisan Nasional (BN) sebelum ini.

Kebimbangan PAS ditunjukkan melalui amaran yang dikeluarkan oleh PAS Kelantan yang menganggap MTPK itu tidak ubah seperti Jabatan Pembangunan Persekutuan - agensi pusat yang menyelaras, memantau dan mengawal rapi pelaksanaan projek pembangunan persekutuan di negeri itu.

Setiausaha Perhubungan PAS Kelantan Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata pada 19 September lalu, tindakan HARAPAN ini sesuatu yang tidak membawa kebaikan untuk rakyat Kelantan, apa lagi kerajaan negeri.

Tetapi bagaimana dengan HARAPAN Terengganu?

Apakah mereka melakukan perkara yang sama?

Tidak sama sekali. Malah, pemimpin PAS Terengganu tidak bimbang langsung dengan kepimpinan HARAPAN Terengganu kerana Pengerusinya, Datuk Raja Kamarul Bahrin Raja Ahmad tidak berbuat apa-apa.

Bukan sahaja tidak pernah berfikir atau berbincang mengenai perkara ini dengan pemimpin PKR dan BERSATU, malah beliau sudah ‘menghadap’ Menteri Besar Terengganu, kononnya untuk menjadi ‘jambatan antara Posit dan negeri’.

Bertemu untuk mencari peluang atau cuba mencari popularity, namun ternyata beliau silap. Ia dengan pembangkang, bukan dengan sekutu seperti PKR dan BERSATU.

Siapa beri mandat kepada beliau untuk melakukan demikian? Dia sendiri!

Jadi tidak pelik sekiranya HARAPAN Terengganu dilihat lemah, berbanding HARAPAN Kelantan di mana pemimpin PAS Kelantan terpaksa mengungkit dengan mengatakan,  “Pemimpin PH Kelantan, khususnya AMANAH, semasa bersama PAS menentang kewujudan JPP.”


Kebimbangan dan kemarahan PAS Kelantan kepada usaha HARAPAN Kelantan itu menyebabkan Che Abdullah (gambar atas) mengatakan “Mereka tidak mahu gangguan semasa berada dalam kerajaan negeri tapi menjadi pendokong bila mereka tidak berada dalam kerajaan negeri.”

Beliau mengecam langkah HARAPAN di mana dilaporkan Majlis Presiden PH bersetuju dengan cadangan penubuhan MTPK  dan cadangan itu akan diangkat kepada perdana menteri.

Menurut Timbalan Pengerusi PH Kelantan, Wan Rahim Wan Abdullah, “JPP akan menjadi urusetia majlis ini.”

Sebagai rekod, JPP Kelantan ditubuhkan pada 1 Januari 1991 selepas kerajaan BN tewas di negeri itu pada pilihan raya umum 1990, dan bertanggungjawab secara langsung kepada unit penyelarasan pelaksanaan di Jabatan Perdana Menteri.

Menteri besar Kelantan ketika itu, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan JPP sebagai membazir dan perlu ditutup kerana kewangan boleh disalurkan terus kepada kerajaan negeri.

JPP juga bukan perkara baru di Terengganu kerana selepas kekalahan BN pada 1999, Wang Ehsan disalurkan melalui agensi berkenaan selepas Kerajaan Posit membayar sekali sahaja royalty kepada kerajaan Terengganu.

Dengan tiadanya hala tuju dan pelan  pembangunan daripada HARAPAN untuk Terengganu menyebabkan penyokong tertanya-tanya, apa sebenarnya peranan gabungan itu di negeri Terengganu?

Malah mereka yang mula tertarik dengan HARAPAN - khususnya BERSATU dan PKR kini bingung dengan sikap HARAPAN yang disebabkan oleh tindak tanduk Raja Bahrin itu.

Di pihak Raja Bahrin pula, apakah sekadar mendapat jawatan Pengerusi Negeri untuk membolehkan beliau dilantik sebagai senator dan kini TImbalan Menteri?

Jawatan untuk diri dan partinya semata-mata dan membiarkan PKR dan BERSATU terkapai-kapai?

Friday, 14 September 2018

KERAJAAN PAS TERENGGANU TIDAK MAMPU BAYAR GAJI PENJAWAT AWAM?


Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak mempunyai sebarang jawatan dalam kerajaan Terengganu tetapi beliau yang bercakap mengenai isu pembayaran royalti petroleum oleh kerajaan Pusat. 

Kenapa hari ini tiba-tiba Hadi bercakap sedemikian? Sedangkan Menteri Besarnya sendiri seperti nampak putus asa?

Apa yang sedang berlaku di Terengganu, khususnya kerajaan negeri yang
ditadbir oleh PAS sejak memenanginya daripada Barisan Nasional pada PRU ke-14 lalu?

Benarkah jika royalti tidak diterima bulan ini  akan mendatangkan masalah kepada perbendaharaan negeri Terengganu yang kini kering kontang?

Hadi tiada lagi tempat bergantung seperti sebelum ini di mana bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sedia membantu ‘at any cost’.

Malah, diberitahu, sekiranya wang royalti sekurang-kurangnya RM400 juta tidak dibayar pertengahan bulan ini (September 2018), kerajaan negeri mungkin tidak boleh bayar gaji kakitangan pentadbiran negeri akhir bulan ini atau akhir Oktober 2018.

Sudah tersebar luas, wang jabatan-jabatan kerajaan negeri kini kering kontang sehinggakan tuntutan sebanyak RM50 oleh kakitangan jabatan tertentu di Terengganu pun tidak mampu dilunaskan.

Petty cash di jabatan-jabatan penting kerajaan negeri tertentu kini kering. 

Tiada dana masuk untuk jabatan-jabatan. Kerajaan Negeri terpaksa mendahulukan yang benar-benar perlu untuk menjaga ‘air muka kerajaan PAS ketika ini’.

Mereka bimbang rakyat akan bangkit mempersoalkan keupayaan kerajaan negeri mentadbir yang selama ini memberitahu rakyat mereka mampu mencari wang sendiri. 

Beberapa pemimpin mereka mendabik dada sebeum ini mengatakan tidak perlu mengharapkan kerajaan Pusat.

Untuk rekod Menteri besar Terengganu sekarang ialah Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang juga bekas setiausaha politik Abdul Hadi. 


Isu royalti minyak banyak diperkatakan oleh pembangkang ketika BN menjadi kerajaan sehingga 9 Mei lalu dan dituntut oleh Kelantan dan Terengganu.

Hadi hari ini begitu yakin apabila berkata Kerajaan Terengganu akan menerima royalti petroleum sebanyak lima peratus daripada Putrajaya dan keputusan berkenaan disampaikan kepada pihaknya baru-baru ini.

"Kita dimaklumkan dia (Pusat) akan bagi ikut perjanjian asal iaitu 5 peratus, dan sudah ada keputusan kabinet mengenainya," kata Hadi hari ini.

Beliau yang juga anggota parlimen Marang ditemui selepas merasmikan konvensyen Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) di Gong Badak, Kuala Terengganu.


"Dan saya percaya perdana menteri akan menunaikan janji dia," katanya.

Pengumuman oleh Hadi itu mungkin melegakan pemimpin kerajaan PAS Terengganu tetapi apakah pula keputusan Putrajaya yang dibebani dengan berbagai usaha membayar hutang negara dan membiayai pentadbiran pembangunan negara ketika ini?

Apapun, daripada kedudukan ini yang terserlah ialah, pentadbiran baru tidak mampu mencari sumber pendapatan baharu ketika ini apabila tidak mengumumkan rancangan mencari sumber baharu yang boleh dijanakan untuk membiayai pembangunan negeri.

Soal penting ialah, apakah akan jadi jika gaji dan tuntutan kakitangan kerajaan negeri sendiri tidak boleh dibayar sepenuhnya akhir bulan ini?

Monday, 4 June 2018

'Jambatan' Mungkin Tidak Perlu DiBina, Raja Bahrin Tersungkur?


Apa akan jadi jika ‘jambatan’ Kerajaan Negeri Terengganu pimpinan PAS dan Kerajaan Pusat tidak akan pernah terbina?

Apakah pemimpin Pakatan Terengganu akan kecewa, apa lagi yang ‘gila-gila melobi’ untuk menjadi ‘jambatan’ itu?

Sudah pasti ‘jambatan yang mahu dibina itu’ perlu ada persetujuan Kerajaan Pusat, Kerajaan Negeri dan satu lagi institusi penting yang tidak boleh diipandang sebelah mata  iaitu ISTANA.

Ini bermakna, ‘jika ‘jambatan’ itu mahu dibina, walaupun istana tidak campur tangan, individu yang mahu dilantik sebagai ‘jambatan’ itu perlu mendapat restu istana untuk pentadbiran yang licin dan bersefahaman.

Mentelaah pertemuan antara Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Perdana Menteri kelmarin, pastinya meresahkan pemimpin PH Terengganu yang mengharapkan mereka dijadikan ‘jambatan’ antara negeri berkenaan dan Putrajaya.


Hasrat Pengerusi AMANAH Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad  yang begitu kuat melobi untuk menjadi ‘jambatan’, antara kerajaan PAS Terengganu dan Putrajaya, khususnya dalam konteks pembangunan negeri itu, kini mungkin tergugat.

Penerimaan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap perimintaan untuk bertemu beliau oleh pemimpin PAS Terengganu menggambarkan kerajaan PH amat bersikap terbuka.

Ini kerana sejauh ini belum ada pertemuan Perdana Menteri dengan Menteri Besar lain, kecuali kunjungan hormat Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abang Johari Openg minggu lalu.

Raja Bahrin tentu tertanya-tanya apakah masih ada peluang untuknya dilantik sebagai wakil Putrajaya, termasuk Menteri dalam urusan pembangunan dan membina semula Terengganu.

Yang pasti Dr Mahathir memberikan ruang untuk berbincang banyak perkara dalam konteks memperkukuh hubungan kerajaan negeri dengan kerajaan Persekutuan.


Hasrat  dan bayangan impak positif itu dilihat akan mampu memperkukuh hubungan Kuala Terengganu dengan  Putrajaya yang berbeza pendekatan politik  selepas Pilihan Raya Umum Ke-14.

“Apa yang penting perbincangan keperluan untuk memperkukuhkan hubungan antara negeri dan Pusat mendapat respons positif daripada Perdana Menteri,” katanya.


Pertemuan yang berlangsung di Yayasan Kepimpinan Perdana itu turut dihadiri Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan tokoh veteran parti itu, Datuk Mustafa Ali.

Walaupun ia pertemuan tidak rasmi dan tiada agenda khusus dibincangkan namun sedikit sebanyak, sudah ada persefahaman tertentu antara kerajaan negeri PAS dan Putrajaya yang dipimpin PH.

Jika hasil pertemuan yang impaknya dilihat positif, pasrtinya ia suatu cabaran besar bukan sahaja kepada hasrat Raja Bahrin tetapi juga Pengerusi PPBM, Datuk Razali Idris yang baru-baru ini dilaporkan oleh media, turut berhasrat menjadi ‘jambatan’.

Apakah jambatan itu tidak akan pernah terbina hasil kunjungan Menteri Besar Terengganu ini?

Apakah kerajaan PAS Terengganu memerlukan Raja Bahrin dan Razali bagi tujuan ini sedangkan hubungan boleh dibuat secara terus?

Usaha untuk menjadi ‘jambatan’ dilakukan dengan bersungguh-sungguh dan lobi Raja Bahrin dapat dilihat dengan jelas apabila beliau ‘berani untuk menunjukkan muka kepada Menteri Besar Terengganu barubaru ini.

Beliau sevara terbuka menyatakan hasratnya untuk jadi ‘jambatan’ itu.

Pemimpin AMANAH dan pemimpin parti  itu sebelum PRU14 dilabelkan sebagai ‘pengkhianat’ dan kehadirannya pada PRU14 ditolak mentah-mentah oleh pengundi yang memberikan kemenangan kepada PAS.

Raja Bahrin menggunakan Pemuda Pakatan Harapan (Ketuanya adalah daripada AMANAH) untuk melobi, termasuk menganggotai Kabinet, Malah  turut menggunakan Dewan Perniagaan Cina Terengganu bagi tujuan itu.

Sebagai rekod, AMANAH mendapat ‘telur’ di semua tiga kerusi Parlimen dan 12 DUN yang ditandinginya walaupun mengatakan begitu positif mulanya, sekurang-kurangnya di kerusi Parlimen Kuala Terengganu yang disertai Raja Bahrin sendiri.

Pada ketika Raja Bahrin dan beberapa pihak di Terengganu melihat PAS Terengganu akan berada dalam keadaan sukar untuk rapat dengan Putrajaya, jalan yang dirintis oleh Dr Ahmad Samsuri jangan terlalu jauh perbezaannya.

Beliau sedar bahawa biarpun keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14 agak unik apabila pentadbiran negara bertukar daripada Barisan Nasional (BN) kepada Pakatan Harapan, selain ada negeri diperintah PAS dan BN, soal hubungan negeri dan Pusat harus diperkukuhkan.

Baginya apa yang penting hubungan kerajaan negeri dan Persekutuan harus terjalin erat demi kebajikan dan kesejahteraan masyarakat Malaysia.

Mengenai soal tuntutan royalti minyak Dr Ahmad Samsuri apabila ditanya apakah beliau turut timbulkan dalam pertemuan itu, enggan mengulas mengenainya dengan menyifat pertemuan dengan Perdana Menteri adalah di atas kapasiti peribadi.

Malah menurutnya selepas ini ada lagi pertemuan dan pada 7 Jun nanti iaitu satu Mesyuarat Majlis Kewangan yang akan dipengerusikan oleh Perdana Menteri dan dihadiri semua menteri besar.