Thursday, 22 October 2015

Kanak-Kanak Lelaki Mangsa Dera Di Taska Kuala Terengganu


Masih ada lagi kejadian seperti ini?

Selepas diberi amaran dan diminta simpati untuk tidak menganianya kanak-kanak kejadian ini nampaknya masih berulang.

Dilaporkan, seorang kanak-kanak lelaki berusia 13 bulan menjadi mangsa dera ketika ditinggalkan sementara di sebuah Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) di Kuala Terengganu, sejak lebih seminggu lepas.

Video mengenai kanak-kanak malang itu turut menjadi viral di laman sosial sejak beberapa hari lepas, dan dikongsi oleh pengguna di Facebook, sejak tengah hari semalam.

Kesal dengan tindakan pengasuh berusia awal 20-an itu, anggota keluarga mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu kira-kira 8.30 malam tadi.

Datuk mangsa, Ruslee Bidi, 55, berkata beliau hanya mengetahui mengenai berita itu petang semalam, selepas menonton video berkenaan daripada seorang kenalannya.

"Tergamak mereka perlakukan begitu? Lagipun cucu saya ini anak yatim (bapa mangsa meninggal dunia kira-kira enam bulan lepas akibat masalah jantung).

"Sekarang, kami sekeluarga menyerahkan perkara ini kepada polis untuk mengambil tindakan lanjut kerana laporan telah dibuat dan kami tidak mahu perkara sama terjadi kepada orang lain," katanya ketika ditemui di kediamannya di Kubang Parit di Kuala Terengganu semalam.

Dalam video berdurasi 43 saat itu, kanak-kanak malang itu ditampar di muka beberapa kali oleh pengasuh terbabit kerana tidak henti-henti menangis.

Pada masa sama, pengasuh tersebut bersama-sama seorang pengasuh lain turut menutup muka kanak-kanak itu dengan sehelai tuala supaya dia berhenti menangis, sambil memicit-micit bahagian muka mangsa termasuk hidung.

Difahamkan, selepas insiden itu, kanak-kanak berkenaan demam dan dibawa ke hospital, sebaik sahaja laporan polis dibuat.

Bagaimanapun, berdasarkan maklumat daripada pihak hospital, mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan fizikal akibat insiden itu.

Sementara itu, ibu mangsa yang enggan dikenali memberitahu beliau tidak menyangka pengasuh terbabit sanggup berbuat demikian terhadap anaknya, memandangkan dua kakak kepada kanak-kanak itu yang kini berusia enam dan sembilan tahun, pernah dihantar ke pusat asuhan tersebut, sebelum ini.

Wanita berusia 40 tahun itu yang bekerja sebagai pembantu di sebuah butik, berkata selepas kejadian, pengasuh berkenaan menghubunginya untuk meminta maaf tetapi tidak menyatakan sebab dia melakukan perbuatan tersebut.

"Bapa mertua ada bertemu dengan pemilik taska tersebut selepas laporan polis dibuat, dan pemilik taska meminta supaya menarik balik laporan itu, tapi kami enggan kerana mahu memberi pengajaran kepada pengasuh terbabit.

"Saya juga dimaklumkan, video tersebut dirakam oleh seorang lagi pengasuh yang telah berhenti kerja sebaik sahaja rakaman video itu tersebar kerana tidak tahan walaupun baru 10 hari bekerja di situ," katanya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Idris Abdul Rafar ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Kita tunggu siasatan dan bakal tindakan jika benar berlaku kejadian sedemikian.

Sumber - Bernama

Wednesday, 21 October 2015

Perdana Menteri Kanada Ada Salasilah Keturunan Malaysia


Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau yang baharu sahaja memenangi pilihan raya negara itu pada Isnin lalu dilaporkan mempunyai salasilah kekeluargaan dengan rakyat Malaysia.

Laporan daripada sebuah program televisyen sebelum ini mendedahkan bahawa pemimpin parti liberal itu yang juga anak kepada bekas perdana menteri, Pierre Trudeau turut mempunyai keturunan dari Singapura.

Menerusi siri televisyen Who Do You Think You Are, salasilah Trudeau, 43, yang dikatakan berasal dari Malaysia dikesan melalui ibunya, Margaret Joan Sinclair.


Margaret adalah seorang penulis, pelakon , jurugambar dan aktivis sosial bagi mangsa gangguan bipolar mempunyai hubung kait dengan salah seorang pengasas awal Singapura, William Farquhar.

Episod siri televisyen CBC itu juga mendedahkan bahawa isteri Farquhar adalah anak perempuan kepada seorang wanita warga Malaysia dan seorang pegawai Perancis.

Anak perempuan Farquhar, Esther Bernard, kemudian berkahwin dengan Francis James Bernard di Singapura dan menetap di sana sehingga kematiannya pada usia 41.

Bagaimanapun, tiada maklumat mengenai nenek Esther, wanita Malaysia.

Pada pilihan raya Isnin lalu, Trudeau mengalahkan penyandang, Stephen Harper daripada parti Konservatif dengan majoriti lebih besar.

Kemenangan itu membawa Trudeau kembali ke kediaman perdana menteri di bandar Ottawa, di mana beliau tinggal selama hampir 12 tahun ketika bapanya adalah perdana menteri.

Trudeau yang mengambil alih parti yang kucar kacir pada 2013, sebelum ini diketepikan pesaingnya dengan mendakwa Trudeau sekadar 'penuh gaya' tanpa memiliki kebijaksanaan sekali gus belum sedia menggalas tugas berat sebagai perdana menteri.

Bagaimanapun, janji Trudeau untuk melaksanakan bajet defisit dengan meningkatkan perbelanjaan kerajaan bagi menyuburkan ekonomi, banyak membantu meningkatkan sokongan terhadapnya.

Siri kempen Trudeau mendapat perhatian ramai sekali gus mengingatkan popularitinya seperti yang diraih keluarga Kennedy dan ketika kempen Presiden AS, Barack Obama.

Trudeau yang dilahirkan pada Krismas 1971, mendapat perhatian ramai sejak kecil hinggalah bapanya berundur pada 1984.

Beliau kembali popular sejak tahun 2000 selepas bapanya meninggal.

Trudeau berkahwin dengan pengacara televisyen, Sophie Gregoire.


mStar Online

Monday, 19 October 2015

LPT2 - Kemalangan Maut Berterusan Berkaitan Unsur Paranormal?


Kemalangan maut di Lebuh Raya Pantai Timur (LPT2) yang semakin menjadi-jadi kebelakangan ini sehingga meragut lebih 80 nyawa dipercayai mempunyai kaitan dengan unsur-unsur paranormal atau mistik.

Menurut sumber, fenomena itu dipercayai wujud berdasarkan beberapa laporan daripada mangsa kemalangan kepada pihak polis.

Difahamkan, dalam aduan itu, ada mangsa mendakwa ternampak objek seperti lembaga sebelum berlaku kemalangan.

Malah turut difahamkan, aduan yang dibuat mangsa telah direkod oleh pihak polis.

Dalam pada itu, kira-kira 300 orang termasuk para pelajar sekolah pondok dan Sekolah Menengah Imtiaz menunaikan solat maghrib dan solathajat diketuai Imam Besar Negeri Terengganu, Aizi Saidi Abd. Aziz di pekarangan Plaza Tol Ajil di Hulu Terengganu malam tadi bagi melindungi para pengguna daripada ditimpa musibah dan gangguan makhluk halus.

Yang turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil, Ghazali Taib; ADUN Kuala Berang, Datuk Tengku Putera Tengku Awang; ADUN Telemong, Datuk Rozi Mamat dan Penolong Pengarah Kanan Lembaga Le­buhraya Malaysia (LLM) Wilayah Timur, Ahmad Iskandar Abdul Kadir.

Sebelum itu, Menteri Besar telah diberi taklimat mengenai punca sebenar kadar nahas jalan raya di LPT2 termasuk kejadian yang mengorbankan enam sekeluarga di Kilometer 258.8 dekat Jabor pada 15 Oktober lalu.

Semalam, LPT2 terus meragut nyawa. Kali ini melibatkan seorang pengawal keselamatan yang maut dalam nahas di Kilometer 317.9 berhampiran Plaza Tol Kerteh.

Dalam kejadian pukul 1.25 pagi semalam, Samsuhaimi Che Mat, 46, yang dalam perjalanan pulang selepas menghadiri Himpunan 60 Fastaqim yang diadakan di Kota Bharu tercampak dari motosikal yang diboncengnya selepas melanggar pembahagi jalan.
 
Ketua Polis Daerah, Superintenden Mohd. Said Ibrahim ketika dihubungi berkata, mangsa yang membonceng motosikal rakannya, Adib Ahmad Amin Abdul Zahar, 18, semasa berkonvoi bersama 10 buah motosikal dalam perjalanan ke Chenor, Pahang.

Berikutan itu, Kerajaan Terengganu akan mengambilbeberapa langkah segera bagi mengelakkan kes kemalangan maut berterusan di LPT2.

Ahmad Razif berkata antara inisiatif yang dilaksanakan termasuk meletakkan pasukan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) di sepanjang laluan tersebut.

Katanya langkah lain yang akan dicadangkan ialah memperbanyakkan papan tanda amaran dan meminta pihak Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) mengenal pasti kawasan berisiko serta mencadangkan pihak polis memasang perangkap had laju.

"Langkah yang dilaksanakan ini bagi memberi peringatan kepada pengguna dan sentiasa berhati-hati ketika menggunakan laluan itu," katanya kepada pemberita selepas mengadakan taklimat di Plaza Tol Ajil semalam.

Menurut Ahmad Razif faktor kelalaian antara punca yang dikenal pasti berlakunya kemalangan maut sehingga meragut banyak nyawa dan kebanyakan kes itu berlaku pada waktu siang.

Katanya laporan LLM dan polis mendapati 70 peratus kemalangan berlaku kerana kecuaian pengguna, 14 peratus aspek persekitaran, sembilan peratus permasalahan kenderaan dan lain-lain kes.

"Kita dapati faktor utama akibat kelalaian dan bukannya faktor jalan serta kebanyakan kes itu berlaku pada jalan yang lurus dan pada waktu siang.

Bagaimanapun kerajaan negeri memberi jaminan laluan sepanjang LPT 2 itu selamat digunakan dan kawasan beralun juga telah diperbaiki.

Ahmad Razif berkata jumlah kenderaan juga bertambah dan hampir 25 ribu kenderaan menggunakan lebuh raya tersebut setiap hari.

Jelas beliau, pihaknya akan memastikan elemen keselamatan terus dipertingkatkan termasuk meminta pihak konsesi membenarkan kiosk di kawasan rawat dan rehat (R&R) beroperasi bagi memberi keselesaan kepada pengguna.

"Kita menolak dakwaan lebuh raya ini tidak selamat digunakan...jika ia ditutup akan menimbulkan kesulitan serta menimbulkan persepsi negatif.

Mengikut statistik PDRM sehingga 16 Okt sebanyak 82 kes kematian telah direkodkan di sepanjang laluan tersebut melibatkan 1,989 kes kemalangan. Jumlah tersebut tidak termasuk 3 kes maut pada 18 dan 19 Okt.