Tuesday, 19 April 2016

Mesyuarat Agong Tergempar PBSNT - Rozi Akan Mengotakan Kata-Katanya?


Terengganu FA terus dirundung malang semalam apabila tewas 2-3 kepada Perak pada aksi tunggal Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak.

Kekalahan kelima daripada lapan perlawanan dicatat skuad Penyu itu tidak mengubah kedudukan mereka di tangga kelapan carta Liga Super dengan kutipan sembilan mata.

Kekalahan ini mungkin mengundang tindakan drastik kerajaan negeri selepas Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia Negeri, Datuk Rozi Mamat  berkata minggu lalu bahawa Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) diberi peluang terakhir untuk membuktikan kemampuan sebenar mereka ketika bertemu Perak, lebih-lebih lagi di gelanggang sendiri semalam.

Menurutnya, jika prestasi pasukan masih sama sebagaimana mana ketika skuad Penyu dibelasah Felda United dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) maka pihaknya tidak teragak-agak mengesa PBSNT mengadakan Mesyuarat Agung tergempar atau melalukan rombakan yang dirasakan perlu bagi memastikan prestasi pasukan dapat segera dipulihkan.

Apakah Rozi akan mengotakan kata-katanya? Apakah aka nada perubahan dalam pucuk pimpinan PBSNT selepas ini?

Rozi sebelum ini berkata: “Kita (kerajaan negeri) memandang serius berhubung kemerosotan prestasi skuad Penyu dan permasalahan  itu (prestasi) masih juga berlaku. Kita bukannya tidak boleh menerima kekalahan tetapi corak permainan yang ditonjolkan amat mengecewakan.

"Saya tidak tahu sama ada mereka ada masalah di peringkat dalaman atau sebaliknya, tetapi kita mahu mereka mengambil tindakan segera menangani apa jua yang berlaku dalam pasukan dan ini adalah peluang terakhir buat PBSNT untuk memulihkan kembali reputasi skuad Penyu,” katanya.

Rabu lalu, Rozi tidak dapat menyembunyikan kekecewaan dengan apa yang berlaku terhadap pasukan Terengganu itu.

Menurutnya, beliau bukannya mahu masuk campur di dalam pengurusan PBSNT tetapi keadaan memaksa beliau untuk berbuat demikian kerana ia melibatkan peruntukan yang dikeluarkan kerajaan negeri.

Beliau sekadar mahu pihak pengurusan PBSNT segera memperbaikinya sebelum ia menjadi lebih parah sekaligus terlepas daripada merangkul sebarang piala musim ini.


Pada aksi malam tadi,  Perak mendahului menerusi rembatan kencang Mohd Fazrul Hazli Mohd Kadr pada minit ke-22, sebelum Issey Nakajima-Farran menyamakan kedudukan untuk Terengganu FA, selang empat minit kemudian melalui sepakan penalti setelah beliau dijatuhkan pemain pelawat.

Perak kembali mendahului perlawanan menerusi sepakan penalti yang disempurnakan Elias Fernandes pada minit ke-56 sebelum beliau menjaringkan gol peribadi kedua, selang tujuh minit kemudian.

Pasukan tuan rumah menjaringkan gol kedua pada minit ke-74 menerusi tandukan Juan Jose Morales, namun tidak disahkan pengadil kerana beliau dikesan menolak pemain pelawat terlebih dahulu.

Terengganu FA akhirnya berjaya meraih gol kedua menerusi Issey Nakajima, namun ia tidak memberi sebarang makna kepada skuad Penyu.

Monday, 18 April 2016

Sultan Mizan Rangkul Tempat Ketiga Kejohanan Kuda Lasak Antarabangsa


Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin merangkul tempat ketiga dalam Kejohanan Kuda Lasak Antarabangsa Piala Sultan Mizan 2016 yang berlangsung di Taman Endurance Antarabangsa Terengganu (TIEP) di Lembah Bidong semalam (pagi Ahad).


Sultan Mizan yang menggunakan nombor sembilan dan mewakili Royal Terengganu Endurance Stable (RTES) mencatatkan purata kelajuan 16.257 kilometer per jam (km/j).

Sementara itu, Rebecca Radny juga dari RTES yang mencatatkan 16.258 km/j mendapat tempat kedua dan tempat pertama dirangkul pelumba yang memegang nombor 60 dari pasukan State of Terengganu Endurance Team (STET), Muhammad Fuad Hashim dengan catatan 17.949 km/j.

Juara perlumbaan membawa pulang hadiah wang tunai RM20,000, sebuah jam tangan jenis Amaswiss, piala berserta medal manakala naib juara menerima RM15,000 berserta medal dan tempat ketiga menerima RM10,000 dan medal.

Turut berangkat, Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah serta Yang Dipertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman dan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia negeri, Datuk Rozi Mamat turut hadir pada majlis itu.

Sultan Mizan turut berkenan berangkat menyempurnakan majlis penyampaian hadiah bagi kejohanan tersebut.

Sultan Terengganu itu berkenan menyertai Kejohanan Kuda Lasak Antarabangsa Piala Sultan Mizan 2016 berlangsung di Taman Endurance Antarabangsa Terengganu (TIEP) di Lembah Bidong, Sabtu malam.

Kejohanan edisi ketiga tersebut disertai 28 peserta termasuk lima peserta antarabangsa dari dua negara iaitu Australia dan Brazil. Acara pelepasan bagi kategori 120 kilometer tersebut disempurnakan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman pada pukul 8.30 malam.

Sultan Mizan yang memakai baju berwarna biru yang memegang nombor sembilan mewakili RTES dan perlumbaan turut disertai Tengku Seri Temenggung Raja, Tengku Datuk Seri Baharuddin Sultan Mahmud yang mewakili Persatuan Ekuin Terengganu.

Kejohanan tersebut dianjurkan kerajaan negeri Terengganu dengan kerjasama RTES.


Pada kejohanan tersebut, Sultan Mizan bersama pasukannya iaitu Malaysia D turut menduduki tempat ketiga bagi kategori berpasukan manakala tempat pertama dan kedua masing-masing dimenangi pasukan Malaysia A dan pasukan gabungan tiga negara iaitu Australia, Brazil dan Malaysia.

Sementara itu, kuda bernama Presk Minuit yang ditunggang Rebecca berjaya merangkul anugerah Kuda Terbaik dan membawa pulang wang tunai RM25,000.

Kejohanan edisi ketiga yang disertai 28 peserta termasuk lima peserta Australia dan Brazil tersebut dianjurkan kerajaan negeri Terengganu dengan kerjasama RTES.

Saturday, 16 April 2016

Ceramah Dr Zakir Di Bukit Jalil – 3 Lagi Peluk Islam

PENJAWAT swasta dan warganegara India, Harinder Pal Singh mengucapkan syahadah selepas menghadiri ceramah Dr Zakir Naik, malam tadi.
Selepas Woo Nina Grace, seorang lelaki Sikh dan seorang wanita tempatan pula terbuka hatinya untuk mengucapkan syahadah, sekali gus memeluk Islam selepas menghadiri ceramah Dr Zakir Naik, malam tadi.

Penjawat swasta dan warga India, Harinder Pal Singh, ketika tampil mengajukan soalan kepada Zakir, tersentuh dengan penjelasan pendakwa ulung antarabangsa itu.

Harinder, 23, kemudian dengan rela hati memeluk Islam selepas Zakir membuktikan wujud persamaan antara al-Quran dan kitab Singh, bahawa Allah hanya satu dan Nabi Muhammad SAW pesuruhnya.

"Sekarang saya jelas bahawa tiada tuhan selain Allah dan Muhammad itu pesuruh Allah," katanya sambil dipeluk hadirin yang membanjiri ceramah Zakir di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, malam tadi.


Dr Zakir turut berkesempatan mendoakan supaya perjalanan Harvinder mendalami ajaran Islam dipermudahkan, selain meminta pelbagai pihak untuk membantunya.

"Apa saja yang anda lakukan sebelum ini akan diampunkan, insya-Allah dan semoga Allah kurniakan anda Jannah," katanya disahut laungan takbir 35,000 orang di stadium berkenaan.

Harinder mengakui dirinya sudah mendalami ajaran Islam daripada rakan dan tokoh agama sejak setahun lalu, namun masih menunggu penjelasan yang akhirnya diutarakan secara jelas oleh Tokoh Maal Hijrah 2013 itu.

"Saya akan terus ikut ceramah Dr Zakir selepas ini dan memasuki kelas agama untuk memahami syariat Islam, selain menguatkan kepercayaan diri terhadap Allah dan rasulnya.

"Kehendak saya untuk memeluk Islam bukan atas paksaan, sebaliknya dilakukan atas penuh kerelaan diri kerana tertarik dengan keindahan dan kesempurnaan agama ini," katanya.

Sementara itu, dua wanita tempatan turut mengucapkan dua kalimah syahadah di hadapan Dr Zakir dan 35,000 pengunjung ceramah.

Sejak tiba di negara ini pada 9 April lepas, ia merupakan ceramah pertama tokoh pendakwah terkenal dari India itu di Kuala Lumpur selepas empat kali mengadakan ceramah di Terengganu.

Beliau dijangka berada di Melaka hari ini bagi meneruskan jelajah ceramahnya di Malaysia.

Orang ramai dilihat tiba seawal 4 petang untuk mendengar ceramah daripada pendakwah Islam itu yang bertajuk 'Is the Quran God's Word?'

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim, Exco Pemuda UMNO Dr Fathul Bari Mat Jahya dan Mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin merupakan antara yang hadir mendengar ceramah berkenaan.

Pasangan kembar beragama Kristian, Darren dan Daryl Cruz, 23, dari Kota Damansara berkata mereka merasa bertuah menghadiri ceramah Dr Zakir pada malam ini selepas mengagumi penceramah itu sejak 2010.

"Kami berdua sering menonton video Dr Zakir di YouTube dan amat kagum dengan hujah beliau yang sememangnya berdasarkan ilmu yang tinggi.

"Malam ini satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan kerana selain dapat melihat sendiri Dr Zakir, kami dapat memahami sedikit berkenaan al-Quran," kata Darren.

Soon Mei Mei, 22, yang hadir bersama dua rakannya yang berbangsa Cina berkata ia merupakan pengalaman pertamanya mendengar ceramah daripada Dr Zakir.

"Sebelum ini ada pelbagai persepsi mengenai Dr Zakir dalam media sosial sejak beliau mula berceramah di Malaysia dan malam ini saya datang bersama rakan untuk mendengar sendiri ceramah beliau.

Ceramah Dr Zakir banyak memetik ayat al-Quran dan saya terkejut beliau hafal setiap baris dengan baik sehingga mendapat tepukan orang ramai," katanya.

Sumber - Berita Harian & Bernama