Showing posts with label Sidang DUN. Show all posts
Showing posts with label Sidang DUN. Show all posts

Sunday, 7 August 2016

Provokasi - Polis Terengganu ‘Overacting’ Atau Bernama Yang Berlebih-Lebih?


“...pesanan Perdana Menteri itu sudah disampaikan kepada Ahmad Said dan bekas Menteri Besar itu sangat ‘faham’ dengan pesanan demikian...juga tidak benar kononnya enam ADUN UMNO akan memboikot sidang DUN esok.”

Apakah akan berlaku kekecohan di Kuala Terengganu esok?

Pelik juga apabila Polis Terengganu membuat kenyataan berupa amaran dengan mengatakan “Jangan timbulkan provokasi pada sidang DUN Terengganu.”

Malah, Polis Terengganu mengingatkan orang ramai agar tidak menimbulkan provokasi dan kekecohan semasa Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu ke 14 yang akan berlangsung esok.

Siapa yang akan BUAT KECOH?

Ada sesiapa membuat laporan akan ada kekecohan atau provokasi?

Atau Polis Terengganu pakai sumber ‘hearsay’ dan ramalan-ramalan berupaya khayalan yang dibuat oleh orang tertentu yang takut dengan bayang-bayang?

Kita hormati kerja polis untuk jaga ketenteraman awam tetapi dengan mengeluarkan amaran, ia seolah sesuatu yang buruk akan berlaku.

Semalam pada pertemuan di Putrajaya, Perdana Menteri sudah meminta semua ADUN BN membuat jaminan jangan ada apa-apa provokasi dan membiarkan sidang berjalan dengan tenteram dan teratur.


Pesanan Perdana Menteri itu sudah disampaikan kepada semua ADUN BN seramai 16 orang itu, walaupun Ahmad Razif Abdul Rahman TIDAK DIJEMPUT ke pertemuan itu.

Difahamkan juga pesanan Perdana Menteri itu sudah disampaikan kepada Ahmad Said dan bekas Menteri Besar itu sangat ‘faham’ dengan pesanan demikian.

Juga tidak benar kononnya enam (6) ADUN UMNO akan memboikot sidang DUN esok. Kenyataan itu sengaja diada-adakan untuk memburukkan keadaan politik Terengganu oleh pihak tertentu yang bimbang dengan kedudukan Menteri Besar ketika ini.
  
Jadi apabila Ketua Polis Terengganu Datuk Rosli Ab Rahman berkata pihaknya tidak akan berkompromi dan akan bertindak tegas ke atas sesiapa yang didapati dengan sengaja menimbulkan kekecohan atau huru hara semasa persidangan itu, ia tidak lagi relevan.

Kenyataanya yang dipetik Bernama supaya "Jangan cemari persidangan DUN dengan insiden yang boleh menimbulkan rasa kurang selesa dan huru hara kepada mana-mana pihak, “ hanya layak direkodkan sebagai bahan berita semata-mata.

Dengan mengatakan, "Sekali lagi saya mengingatkan orang ramai agar tidak membuat kecoh pada persidangan itu berlangsung...biar ia berlansung dengan aman tanpa apa-apa (insiden)," hanyalah kenyataan dasar polis semata.

Mungkin Polis Terengganu tidak berniat melakukan apa-apa kenyataan tetapi apabila soalan ‘provoksi’ Bernama yang menghubungi beliau di Kuala Terengganu semalam, Ketua Polis Terengganu itu ‘terdorong untuk membuat kenyataan sedemikian.

Soalnya apakah kenyataan seperti ini membantu meredakan suasana politik Terengganu ketika ini?

Apakah ada seseorang buat repot mengatakan akan berlaku kekecohan atau provokasi?

Apakah ia akan diakibatkan oleh ‘Geng’ atau penyokong Datuk Seri Ahmad Said?

Mana Ahmad Said ada geng? Dia loneranger, malah tidak terdengar pun dia akan membuat kacau pada persidangan itu.

Polis sewajarnya minta pendapat orang politik Terengganu yang neutral, bukan daripada kumpulan yang ‘tertekan’ ketika ini.

Kita berterima kasih kepada Polis Terengganu kerana berjaya mengesan satu gerakan bergelar 'Gelombang Kuning' yang dipercayai cuba mengaitkan pihak Istana Terengganu dalam memprotes kepimpinan kerajaan negeri.


Walaupun Polis Terengganu tidak menolak kemungkinan gerakan yang sama akan cuba membuat provokasi pada sidang DUN esok yang boleh menggugat ketenteraman awam, ia bukankah sesuatu yang perlu dikeluarkan amaran seolah-olah berlaku kejadian tidak diingini.

Sebelum ini PAS tunjuk perasaan di luar pagar Wisma Darul Iman pada 22 April 2012 tidak ada pun kejadian tidak diingini berlaku.

Malah, kemelut yang berlaku ketika ini tidaklah sehebat kejadian ‘goncag pintu pagar istana’ membantah penolakan pelantikan Datuk Seri Idris Jusoh sebagai Menteri Besar pada 2008.

Atau juga ‘kekecohan politik sekarang’ tidaklah membawa keadaan ADUN Barisan Nasional (BN) berkumpul di sebuah hotel memboikot sidang DUN yang menunjukkan protes kepada Ahmad Said ketika menjadi Menteri Besar.

Ahmad Said tidak akan ‘gila’ untuk melakukan perbuatan provokasi seperti yang dilakukan oleh ’10 Budak Hitam’ itu.

Juga tidak akan ada perbuatan ‘SMS Ugut Bunuh’ seperti yang berlaku pada April 2009 yang terbukti lebih serius daripada keadaan ketika ini.


Jadi janganlah ‘over acting’ di pihak Polis Terengganu kalaupun ada laporan dibuat pihak tertentu tentang kemungkinan provoksi.

Memanglah, dengan memberi amaran ia akan meredakan keadaan tetapi lihatlah keadaan sebenar, apakah akan ada gerakan di pihak yang ‘membantah’ Menteri Besar.

Seruan supaya Ahmad Razif meletakkan jawatan tidak akan sampai ada tunjuk perasaan atau bantahan jalanan.

Harap Polis Terengganu boleh faham suasana politik Terengganu dan jangan dengar sebelah pihak.

Jangan takutkan orang ramai dengan amaran-amaran yang boleh yebabkan orang ramai rasa gusar dan rimas.

Juga jangan tunjukkan Polis Terengganu berpihak kepada seseorang atau kepada pihak tertentu sahaja.

Hakikatnya tidak ada pun nampak kesan kononnya wujud ‘Gelombang Kuning’  dan kalau ada kita menyokong Polis Terengganu ambil tindakan kerana  menyalahi di bawah Akta Hasutan.

Malah kita wajar beri pujian kepada polis kerana bijak kes ini jika benar ia suatu gerakan yang tersebar di negeri ini.


Polis boleh memberi amaran "Dan jangan mempercayai terdapat sokongan daripada pihak-pihak tertentu dan jangan cuba mengaibkan Istana di dalam gerakan ini, sebaliknya tidak nampak atau rasa pun kesan ‘Gelombang Kuning’ berkenaan,” namun dengan tiada tangkapan, ia suatu kes yang tidak boleh disahkan.

Saturday, 18 December 2010

Idris Jusoh Sudah Bisu?

Oleh Zainal Yusof

BILA cakap-cakap ini bersambung dari mulut ke mulut, rama juga yang terkejut. Apa tidaknya, seorang yang mahu dikenali sebagai pencipta tamadun di Terengganu dan Malaysia, tiba-tiba menjadi bisu dan tidak boleh berkata-kata!

Rupa-rupanya bukan bisu yang tidak boleh berkata-kata itu hinggap kepada batang tubuh Idris Jusoh, ADUN Jerteh dan seorang yang hampa kerana tidak dilanti

k semula menjadi Menteri Besar Terengganu, dia hanya dilanda sindrom bisu ketika Persidangan DUN Terengganu, 13-16 Disember 2010 yang lalu.

Apa ertinya sidrom? Dalam Kamus Dewan sindrom bererti tanda-tanda yang menunjukan terdapatnya sesuatu penyakit. Jadi, Idris dan tiga lagi anak buahnya yang tidak bercakap apa-apa ketika persidangan tersebut baru-baru ini dilanda sindrom.

Mereka berempat ini, kalau kerajaan negeri ada hospital sendiri bolehlah dihantar untuk keempat-empat ADUN ini, termasuk Rosol Wahid (Ajil), Pehimi Yusof (Kota Putera) dan Din Adam (Bukit Besi) mendapatkan rawatan segera.

Jika tidak, bimbang sindrom ini akan merebak dan menyebabkan penyakit lain yang lebih teruk lagi.
Dulu, dalam persidangan sebelum ini, Din Adam dan rakan sejawatnya Alias dari Marang pernah menyepak bola ke gawang sendiri. Tapi, kali ini, mungkin dia berhajat untuk menyepak bola lagi ke gol sendiri, malangnya, bola tidak sampai ke kaki pasangan Din dan Alias.

Khabarnya, keempat-empat pembawa wabak sindrom bisu ini tidak menghadirkan diri ke pre-council yang diadakan di Kediaman Rasmi Menteri Besar Terengganu. Turut tidak kelihatan di pre-council itu, ADUN Paka, Zakaria Abdullah.

Ada maklumat memberitahu, Zakaria menghadiri konvokesyennya menerima ijazah dari sebuah universiti di Laos. Sejauh mana kebenaran dakwaan itu, tiada siapa yang dapat mengesahkannya.

Telinga Idris, Pehimi, Din dan Rosol rasanya masih belum pekak. Mustahil mereka berempat ini (saki baki kumpulan budak hitam…lima budak hitam, main lompat-lompat, satu patah kaki, budak hitam tinggal empat) tidak nampak, tidak dengar dan tidak faham apa yang diperkatakan ADUN Pas, Syed Azman Syed Ahmad dan Mohd Abdul Wahid Endut terhadap Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said.

Kalau dengar, nampak dan faham, kenapa tidak pertahankan Menteri Besar? Bukan batang tubuh Ahmad Said itu yang perlu dipertahankan tetapi institusi Menteri Besar itu yang penting kerana ia mewaili parti Umno dan Barisan Nasional (BN).

Apakah Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu, Datuk Seri Hishammuddin Hussein tahu kisah empat ADUN Terengganu ini dilanda sindrom bisu?

Kalau mereka bertiga sudah tahu, apakah tindakan segera terhadap keempat-empat ADUN ini? Pelru dihantarkan ambulan menjemput mereka untuk dihantar ke hospital mendapatkan rawatan atau, dibiarkan sahaja mereka supaya mereka boleh terus memperlihatkan politik Umno Terengganu sedang bergolak?
Sedangkan pergolakan itu berlaku kerana mereka ini yang melakukannya, kerana dendam kesumat, busuk hati dan cemburu dengan kedudukan Ahmad Said sebagai Menteri Besar.

Kepada Idris yang kehilangan kerusi Menteri Besar, Rosol dan Din yang kehilangan kerusi Exco, ada serangkap pantun yang boleh mereka hafal buat pengubat hati yang luka;

Asal kapas menjadi benang,
Dari benang dibuat kain,
Barang lepas jangan dikenang
Sudah menjadi hak orang lain.

Itu kisah empat ADUN Umno, yang lupa budi Umno. Itu cerita ADUN BN yang lupa budi BN. Lain pula kisah ADUN Pas yang tidak habis-habis mahu menunjukkan kehebatan walaupun terpaksa berbohong.
Pembohongan sebenarnya tidak bertahan lama. Lama kelamaan, orang akan tahu juga. Jadi, bila Menteri Besar bersumpah mempertahankan hujahnya, kenapa ADUN Pas yang pernah didakwa merajuk kerana tidak terpilih menjadi calon kerusi Parlimen Kuala Terengganu, Dr. Syed Azman Syed Ahmad hanya bersumpah ‘sekerat’?

Ketua Dewan Ulama Pas, datuk Harun Taib yang juga ADUN Manir sepatutnya boleh menegur budaya sekerat-kerat ini kerana ia bahaya.

Saingan pengaruh Syed Azman di dalam Pas, Mohd Abdul Wahid Endut yang pernah dicabar Datuk Seri Ahmad Said ketika beliau (Ahmad Said) menjadi Exco dalam era kepimpinan Idris Jusoh dahulu, juga mahu menunjukkan kehebatannya kerana mungkin dia mahu membuktikan kepada kepimpinan Pas, Datuk Seri Abd Hadi Awang tidak salah memilihnya menjadi calon Pas kerusi Parlimen Kuala Terengganu.

Budaya mengelar penipu dan sebagainya, memang budaya Pas. Jika di Parlimen, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamad Nazri Aziz menggelarkan pembangkang bodoh dan tolol kerana mahu mendakwa Speaker ke mahkamah, menteri Besar Terengganu yang selama ini dikatakan kesar dan brutal, tidak menggunakan perkataan bodoh dan tolol kepada ADUN-ADUN Umno dan Pas yang pernah menyerang dan mengelarnya dengan pelbagai gelaran.

Datuk Seri Ahmad Said boleh jika beliau mahu menggunakan perkataan bodoh dan tolol kepada mereka ini tetapi pernah sekali, beliau hanya menggunakan perkataan kurang cerdik kepada ADUN Bukit Besi, Din Adam kerana serangannya terhadap Zoo Bukit Takal, Kemaman.

Tidak tahulah apa ertinya kurang cerdik yang dimaksudkan oleh Menteri Besar kepada Din Adam itu, walaupun beliau boleh menggunakan perkataan bodoh dan tolol kepada Din Adam, tetapi beliau tidak melakukannya.

Ketika orang Jerteh mengharapkan Idris Jusoh masih boleh menjadi wakil rakyat di kawasannya, rata-rata mengharapkan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri memberi sedikit peruntukan khas kepada Idris untuk menjalani rawatan penyakit baru yang melandanya – iaitu sindrom bisu.

Jika tidak, ramai yang khuatir kalau-kalau penyakit itu merupakan virus berbahaya yang boleh berjangkit kepada ADUN-ADUN lain, khususnya yang terbabit dalam kisah 10 Budak Hitam.

Tapi, kalau sindrom bisu itu bukan penyakit yang boleh dirawat di hospital moden, mungkin perubatan tradisional boleh digunakan untuk mencegah sindrom bisu dari menjadi penyakit berbahaya kepada Umno dan BN.