Tajuk asal - Politik ‘Cauvinis’ DAP Yang Rakus Akan Ditolak Rakyat
Oleh AHMAD AMZAD HASHIM (Pengarah Jabatan Penerangan PAS Posit)
Kita berharap orang orang Islam celik mata. DAP hanya
mempergunakan orang Islam untuk tujuan politik mereka.
Mereka kata mahu ke Putrajaya. Benarkah?
Hakikatnya mereka cuma pentingkan bilangan kerusi yang mereka
berkuasa dan membuat sasaran negeri negeri yang boleh mereka berkuasa agar
menurut kehendak mereka.
Selain kerusi mereka, atau kerusi pihak yang taat pada mereka,
mereka tidak kisah jika UMNO atau BN yang menang asalkan apapun pakatan
politik, mereka yang paling banyak kerusi dan berkuasa.
Jika ada negeri yang berjaya tewaskan BN. Kena DAP yang berkuasa
dan boleh tentukan itu ini, begitu dan begini. Parti komponen kena ikut
kehendak mereka.
Chauvinisme dikalangan pemimpin tertinggi DAP ini hanya akan
merosakkan perpaduan rakyat dan menimbulkan keresahan dan curiga tentang cita
cita sebenar mereka.
Sudah banyak dikalangan kaum Cina yang mula berfikir kembali
adakah sikap begini baik dalam jangka panjang untuk Malaysia.
Adakah politik ala kiasu ini boleh menjaga kepentingan dan
kemakmuran kaum Cina dan India untuk jangkapanjang bila jurang prasangka
semakin melebar? Untuk perniagaan ini tidak bagus. Hubungan seharian sesama
rakyat Malaysia yang majmuk pun tidak bagus.
Apa apa pun gagasan politik alternatif untuk menggantikan
Barisan Nasional perlu mendapat dokongan peratus yang besar dari kelompok
pengundi melayu yang majoriti bilangannya. Barulah kerajaan yang terbentuk
adalah stabil dan mampu bertahan lama.
Kerajaan yang terbentuk dengan dokongan massa. Dokongan rakyat
yang padu. Bukan terbentuk hasil daripada strategi muslihat pecah perintah
dengan memecahkan undi orang melayu. Kerana sebaik sahaja orang melayu bangkit
dan sedar permainan ini, kuasa yang dipegang mereka akan pasti untuk sekejap
sahaja.
Dalam negara ini pertarungan untuk undi orang melayu cuma antara
dua parti sahaja. UMNO atau PAS.
Jika DAP terlalu bersungguh dengan dokongannya kepada PAN, orang
melayu dengan segera dapat membaca bahawa dengan memecahkan undi orang Melayu,
DAP sebenarnya mahu menggagalkan kemaraan PAS agar bilangan kerusi mereka yang
paling besar.
Tidak boleh bilangan kerusi PAS lebih besar dari bilangan kerusi
milik DAP.
Cubalah secara jujur renung dan fikir logiknya. Jika PAS tidak
menang adakah PAN yang akan menang jika berlaku tiga penjuru dengan UMNO? DAP
pun tahu tidak mungkin. Maknanya DAP mahu UMNO yang menang.
Yang sedang cedera dengan politik rakus, gopoh dan gelojoh DAP
ini bukan sahaja PAS, tetapi PKR juga yang sejak asal penubuhannya dibantu dan
digerakkan oleh PAS.
PAS yang baru beberapa bulan yang lalu (Jun 2015) bermuktamar
dan membuat keputusan penting memutuskan hubungan politik dengan DAP demi masa
depan perjuangan Islam untuk mensejahterakan Malaysia yang majmuk, telah
berjaya memulihkan keyakinan masyarakat bila tidak lagi dilihat keterlaluan
dalam memberi muka kepada DAP.
Kini PKR pula berdepan realiti ini. PAS yang masih menghargai
tahaluf siyasi dengan PKR berharap pelajaran penting ini dilalui oleh PKR
dengan baik demi harapan rakyat.
Mereka boleh mencongak di atas kertas. Tetapi Allah Maha
Berkuasa mengatasi segala perancangan.
Seperti disebut Pengarah Jabatan Penyelidikan PAS Pusat, Dr.
Zuhdi Marzuki, PAS sudah mula menggerakkan kalangan profesionalnya yang begitu
ramai yang telah melalui sistem pendidikan dan tarbiyah pelbagai peringkat yang
terbina begitu lama sejak 30 tahun dalam PAS untuk berperanan penting sebagai
persediaan memikul tanggungjawab besar di masa akan datang setelah sebelum ini
memberi laluan untuk ‘rakan’ baru mengisi kebanyakan kuota profesional ketika
era reformasi.
Bukan sedikit kalangan mereka sudahpun berada pada kedudukan
strategik di jawatan jawatan yang penting di dalam organisasi kerajaan mahupun
swasta.
Ada pula yang cetek pemikiran terus melulu menuduh UG bila ada
ahli PAS memegang jawatan penting dalam kerajaan.
Tidakkah mereka tahu berapa ramai dikalangan pegawai tinggi
kerajaan kini bersama dengan PAS. Berapa banyak program yang dilaksanakan oleh
kerajaan datang dari pemikiran teknokrat PAS yang berada dalam kerajaan?
Nota –
Disalin terus dari laman PAS Terengganu (31 Oktober 2015)