Monday 23 April 2018

PROTES TANDA AWAL BN TERENGGANU BAKAL KECUNDANG???



 Apa yang tidak kena dengan ‘Mat Tera’?

Pencalonan semula bekas Ahli Dewan Undangan (DUN) Cukai, Datuk Mohamed Awang Tera sebagai calon BN di kerusi Dun Cukai itu pada PRU14 kali ini menimbulkan kontroversi.

Pencalonan beliau  diprotes sekali gus menjadikan suasana politik di Terengganu dilihat  kembali panas.

Malah tindakan secara terbuka itu mungkin hanya di  Parlimen Kemaman, namun protes senyap juga berlaku di Parlimen Setiu, Kuala Terengganu, Marang, Dungun dan Kuala Nerus.

Protes terhadap pemilihan semula 'Mat Tera' ditunjukkan menerusi kain-kain rentang bantahan yang dinaikkan di tepi jalan-jalan utama di sekitar Cukai.

Malah, gambar-gambar kain rentang itu turut viral di media sosial. Kain rentang itu disedari dipasang sejak beberapa jam sebelum Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman mengumumkan secara rasmi barisan calon BN Terengganu bagi PRU14 yang diadakan di Kediaman Seri Iman, kelmarin (22 April 2018).

Mat Tera sudah menjangkakan bantahan itu akan berlaku kerana ada kelompok dalam parti yang kurang menyenanginya.


"Saya  tahu  kumpulan tertentu memang dari awal lagi sudah berperangai demikian iaitu kurang menyenangi saya," katanya.

"Ini dari dalaman sendiri dan perkara seperti ini akan diambil kesempatan oleh parti lawan. Kebiasaanya musuh tak berapa kuat tapi kita sendiri yang saling berpecah," katanya.

Mohamed merupakan bekas Adun Cukai selama dua penggal dari 2004 hingga 2013 dan pada PRU13, namanya tidak disenaraikan sebagai calon di kerusi tersebut.

Sementara itu, Timbalan menteri dan ahli parlimen antara dua nama yang digugurkan daripada senarai calon BN Terengganu untuk bertanding dalam PRU14 kali ini.


Mereka yang digugurkan ialah Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Jailani Johari yang juga Ketua Umno Bahagian Hulu Terengganu dan Ahli Parlimen Setiu, Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh.

Selain itu, tiga bekas Exco iaitu Datuk Rosol Wahid, Datuk Din Adam dan Mat Tera yang sebelum ini 'direhatkan' pada PRU13 kembali membuat kemunculan semula apabila dipilih bertanding kali ini.

Rosol akan bertanding di Parlimen Hulu Terengganu menggantikan Jailani manakala, Din bertanding bagi kerusi Parlimen Dungun dan Mohamed akan kembali bertanding di Dun Chukai.

Kesemua 16 Adun BN dikekalkan untuk mempertahankan kerusi masing-masing, kecuali Adun Permaisuri, Datuk Mohd. Jidin Shafee yang beralih ke kerusi Parlimen Setiu manakala tempatnya digantikan dengan bekas Adun Permaisuri, Datuk Abd Halim Jusoh yang juga Setiausaha Politik kepada Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh.

Beberapa nama baharu turut diperkenalkan antaranya pakar motivasi, Dr. Tengku Asmadi Tengku Mohamad yang akan bertanding di kerusi Parlimen Kuala Nerus dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wan Nawawi Wan Ismail di Parlimen Kuala Terengganu.
Selain itu, Datuk Basir Ismail (Tepoh), Che Mansor Salleh (Buluh Gading), Salleh Othman (Wakaf Mempelam), Toh Seng Cheng (Bandar), Datuk Mohd. Sabri Alwi (Ladang) dan Zamri Awang Hitam (Batu Burok).

Mohamad Nor Endot (Parlimen Marang), Datuk Saiful Bahri Baharuddin (Alor Limbat), Wan Zaulkifli Wan Gati (Rantau Abang) dan Tengku Hamzah Tengku Draman (Paka).

Tiga calon yang pernah bertanding dalam pilihan raya sebelum ini kembali dicalonkan iaitu Yusof Awang Hitam (Manir), Tuan Arif Sahibu Fadilah Tuan Ahmad (Bukit Tunggal) dan Datuk Nik Dir Nik Wan Ku (Rhu Rendang).

No comments:

Post a Comment