Sepatutnya Datuk Dr Ahmad Ramzi Mohamad Zubir dijatuhi hukuman lebih berat oleh Mahkamah Sesyen di Kuala Terengganu kerana bersalah menghantar SMS ugutan kepada tiga wakil rakyat Nasional (BN) dan SMS fitnah kepada bekas setiausaha sulit menteri besar Terengganu.
SMS Ugut Bunuh itu amat besar implikasinya kerana seperti disebut Timbalan Pendakwa Raya Mohd Jazamuddin Ahmad Nawawi, tindakan itu menjatuhkan dan menjejaskan reputasi kerajaan di bawah Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said.
Kerajaan apa yang dimaksudkan Mohd Jazamuddin, kalau bukan kerajaan BN Terengganu?
Dan sekiranya ia menjejaskan kerajaan BN negeri, tidakkah ia turut menjejaskan kerajaan Pusat?
Selain itu Menteri Besar itu siapa? Bukankah dia mewakili UMNO dan sebarang kerosakan imej atau terjejasnya UMNO, ia akan memberikan kesan buruk kepada parti yang memerintah?
Gara-gara SMS Ugut Bunuh itu, sebilangan besar ADUN UMNO tidak hadir pada persidangan Dewan Negeri dan kesan ketidakhadiran itu benar-benar memberikan kesan buruk dan imej tidak baik kepada Menteri Besar dan kerajaan BN Terengganu.
Namun oleh kerana Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun, Dr Ramzi dijatuhi hukuman penjara hanya setahun.
Hakim Mahkamah Sesyen M Bakri Abd Majid menjatuhi hukuman itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal membuktikan keraguan munasabah terhadap semua pertuduhan itu.
Bekas setiausaha politik Datuk Seri Idris Jusoh itu dijatuhi hukuman penjara masing-masing tiga bulan untuk kesalahan mengugut Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Paka Mohd Ariffin Abdullah, Adun Permaisuri Abd Halim Jusoh dan Adun Ajil Datuk Rosol Wahid di E726, Kampung Kubang Parit antara 11.21 malam dan 11.25 malam, pada 13 April 2009.
Dia juga dijatuhi hukuman penjara tiga bulan kerana memfitnah bekas setiausaha sulit Menteri Besar Terengganu Wan Ahamad Wan Muda, yang kini timbalan setiausaha kerajaan negeri dengan menghantar SMS ugutan melalui nombor telefon bimbit 019-9158369 milik Wan Ahamad.
Mahkamah memerintahkan kesemua hukuman itu dijalankan berasingan.
Bagaimanapun mahkamah membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi dan membenarkan Ahmad Ramzi diikat jamin RM15,000 dengan dua orang penjamin.
Dalam penghakimannya, M Bakri berkata mahkamah perlu mengikuti perkembangan semasa sejajar dengan perkembangan dunia tanpa sempadan yang menyaksikan perbuatan jenayah juga berubah termasuk menggunakan medium baru seperti internet.
"Kecederaan reputasi atau harga diri, tidak kurang pedihnya dengan kecederaan fizikal. Sehubungan itu hukuman perlu dijatuhkan seiring dengan perkembangan ini," katanya.
Tertuduh diwakili peguam Datuk Hazman Ahmad, Mohd Noor Mahmood dan Rosli Abd Rahman manakala pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Jazamuddin Ahmad Nawawi, Ooi Chooi Gaik and Nur Azimul Azami.
Pihak pembelaan ketika merayu hukuman diringankan berkata ini adalah kesalahan pertama tertuduh dan ia juga tidak melibatkan keganasan serta tidak memberi kesan kecederaan kepada mana-mana pihak.
Pihak pendakwaan pula meminta mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal terhadap tertuduh dan meminta setiap hukuman dijalankan berasingan.
Dalam hujahnya, Mohd Jazamuddin berkata walaupun perbuatan tertuduh tidak mendatangkan kecederaan fizikal, ia telah menjatuhkan reputasi Wan Ahamad, sekaligus menjejaskan reputasi kerajaan di bawah Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said.
Beberapa anggota keluarga Ahmad Ramzi termasuk isterinya dilihat hadir di mahkamah.
No comments:
Post a Comment