Monday, 15 August 2011

123 Unit Rumah Baharu Untuk Penduduk Ketengah


Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) memperuntukan RM8.35 juta bagi membina 123 unit rumah baharu pelbagai jenis bagi menampung pertambahan penduduk dalam wilayahnya.

Pengurus Besarnya, Datuk Hamzah Ngah berkata, ia melibatkan pembinaan 79 unit rumah mampu milik dan 44 unit rumah kos sederhana rendah itu menjadikan jumlah keseluruhan rumah yang dibina Ketengah sehingga kini 4,063 unit.

Menurutnya, 19 unit rumah kos sederhana rendah dibina di Bandar Al-Muktafi Billah Shah (AMBS), Bukit Besi dan di Cheneh Baru, Kemaman masing-masing sembilan unit dan Ketengah Jaya berjumlah tujuh unit dengan kos RM3.53 juta.

“Manakala 44 unit rumah mampu milik dibina di AMBS dan 35 unit di Cheneh Baru membabitkan kos RM4.82 juta,” katanya kepada pemberita di majlis Berbuka Puasa Ketengah bersama Media di Primula Beach Hotel Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Tambah Hamzah, pembangunan di sekitar bandar AMBS turut menjadi pemangkin kepada keperluan perumahan termasuk pembinaan Asrama Berkelompok Yayasan Terengganu dan Kolej Ketengah.

Katanya, kewujudan pelbagai institusi kerajaan seperti Jabatan Pelajaran, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan di bandar itu turut mendorong permintaan terhadap keperluan rumah.

Selain itu katanya, pembinaan Kompleks Penjara, kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM) serta pembinaan Lebuh Raya Pantai Timur dan persimpangan Bukit Besi membawa kesan langsung kepada keperluan perumahan.

“Pada masa yang sama, pembangunan yang sedang berlaku di Tasik Kenyir juga telah menyebabkan keperluan itu meningkat dengan ketara.

“Ini termasuklah bagi keperluan kakitangan Ketengah serta agensi lain yang bertugas di sekitar tasik itu lebih-lebih lagi apabila zon bebas cukai di Pulau Bayas beroperasi pada akhir tahun 2012,” ujarnya.

Justeru itu, kata Hamzah, Ketengah menyeru pihak pemaju perumahan dan syarikat-syarikat swasta agar dapat memainkan peranan membantu memajukan perumahan di wilayah itu.

Sumber: Utusan Malaysia

1 comment:

  1. kalau nak mohon rumah di bandar ceneh baru,camana ya?

    ReplyDelete