Tuesday, 8 March 2011

Wakil Rakyat Besut Nak Berhenti : Betul Ke Ni?

Oleh Malek Saiful Muda

BARU-BARU ini, saya terbaca satu berita dari Besut, semua wakil-wakil rakyat dalam Parlimen Besut, termasuk bekas Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh bersedia untuk tidak dipilih lagi sebagai calon dalam PRU 13 akan datang.

Mereka, sedia tidak bertanding dan dengan perkataan lain, mereka sudah bersedia berhenti. Baguslah, kalau mereka benar-benar ikhlas kerana mereka mahu menyerahkannya kepada pucuk pimpinan parti membuat pilihan.

Cuma, satu perkara yang harus mereka lakukan sebelum mereka semua berhenti ialah, perbetulkan apa-apa perkara yang sudah mereka rosakkan selama ini, menabur fitnah dan memburuk-burukkan kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said.

Janganlah mereka nak berhenti hanya kerana mereka yakin, mereka sudah berjaya merosakkan imej dan kesepaduan Umno di Terengganu dan mereka mahu tinggalkan semua ini untuk menjadi beban kepada Menteri Besar.

Mereka usah menafikan bahawa mereka sudah banyak buat masalah selama ini, walaupun mereka berjaya mengukir imej yang baik di Kuala Lumpur.

Sekali lagi saya ulangi, kalau nak berhenti, berhentilah. Usah beri syarat. Rakyat pun sudah muak dengan tingkah laku mereka selama ini.

Mereka mahu diri mereka disokong tetapi mereka sendiri tidak berjaya menjadi penyokong yang baik.

Selama ini, mereka mahu mengambarkan Terengganu bergolak di bawah kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said tetapi usaha mereka itu tidak berjaya kerana lebih ramai yang menyokong Menteri Besar daripada menyokong bekas Menteri Besar.

Susah juga di peringkat awal Datuk Seri Ahmad Said mahu mengemudikan kerajaan negeri dan Umno negeri, tetapi berkat kesabaran dan kesungguhannya untuk menyatu padukan rakyat Terengganu dan meneruskan pembangunan negeri, akhirnya usahanya itu diakui, semakin berjaya
.
Menteri Besar tidak ambil kisah apa yang dilakukan kumpulan yang tidak menyokongnya ini.

Beliau terus mengemudikan Umno negeri dan kerajaan negeri dalam kepayahan. Beliau dilihat bersendirian dalam kepayahan itu tetapi beberapa ketua Umno bahagian yang pernah dianiaya bekas Menteri Besar yang lalu, berdiri teguh di belakang Menteri Besar.

Akhirnya, kesemua mereka yang menentang Datuk Seri Ahmad Said sedar, perbuatan mereka itu tidak mendatangkan faedah kepada Umno dan Barisan Nasional (BN). Malahan, perbuatan mereka itu bolehlah dianggap perbuatan jahat dan kerja orang-orang yang kurang cerdik.

Itulah sebabnya, apabila mereka mengatakan mereka sudah bersedia berhenti dan tidak mahu dicalonkan lagi, ramai yang ke masjid bersedekah pisang kerana bersyukur atas pengakuan mereka yang terlalu banyak buat masalah di Terengganu sebelum ini.
Malahan, ramai yang berdoa ke hadrat Allah semoga Perdana Menteri bersetuju menerima hasrat mereka di Besut yang enggan bertanding lagi.

Sudah sampai masanya Perdana Menteri memilih calon lain yang lebih layak dan patut diberi peluang menjadi calon BN.

Di Besut, kawasan ini walaupun tidak boleh dikatakan sebagai kubu kuat BN tetapi, calon-calon yang mewakili BN boleh menang jika Menteri Besar memberikan sentuhan.
Jangan pula mereka yang berhasrat berhenti ini, dalam masa yang sama menjalankan kerja-kerja mengharapkan nama mereka dicalonkan semula.

Jika tidak dicalonkan semula, mulalah mereka menjalankan kerja-kerja kotor untuk memastikan calon BN tewas dalam pilihan raya akan datang.

Memang ada segelintir manusia, mulutnya kata lain, hatinya kata lain. Memang ada manusia, cakap mereka tidak serupa bikin dan bikin mereka, tidak serupa cakap.
Macam Idris Jusoh, kalau dia sudah bersedia tidak mahu dicalonkan, cadangkan nama-nama lain yang wajar menggantikannya.

Begitu juga yang lain-lain, yang tidak perlu disebutkan nama mereka di dalam tulisan ini kerana mereka perlu mencari pengganti yang layak dan mampu menang bagi menggantikan mereka.

Tapi, kalau mereka hanya cakap sahaja nak berhenti tetapi tidak menamakan penggantinya, mungkin dalam hati kecil mereka mengharapkan mereka akan dicalonkan semula, dengan alasan tiada calon yang layak menggantikan mereka.

Sebenarnya, tiada siapa yang tidak boleh berhenti di Malaysia ini. Perdana Menteri pun pernah berhenti. Timbalan Perdana Menteri pun pernah berhenti. Menteri Besar biasa berhenti dan Exco-exco biasa berhenti.

Jadi, apabila Idris Jusoh dan kawan-kawannya mahu berhenti, itu sebenarnya cerita kecil dan tidak menjadi isu besar.

Yang akan menjadi isu ialah apabila mereka bercakap mahu berhenti, tetapi hakikat sebenarnya mereka belum mahu berhenti lagi.

Biasanya, kalau ada orang bercakap, tegurlah saya kalau saya tersilap, orang inilah yang tidak boleh ditegur.

Kalau ada orang berkata, saya sudah lama, eloklah saya berundur, biasanya orang inilah yang sebenarnya mahukan namanya dicalonkan semula kerana, orang lain tidak boleh bertanding menggantikannya.'

Kalau bertanding juga, boleh kalah!

Ini permainan biasa. Yang sudah lama, masih mahu lagi. Mereka yang banyak buat masalah, masih mahu kekal lagi. Jadi, hati-hati dengan manusia yang nampak baik di luar, tetapi hakikatnya tidak begitu.

Rakyat Terengganu kena lupakan semua perkara yang mereka dengar dari puak-puak yang anti Menteri Besar.

Orang Terengganu sepatutnya bersyukur kerana Terengganu mempunyai seorang Menteri Besar sehebat Datuk Seri Ahmad Said.

Walaupun ada yang simpati kepada Idris kerana Idris dibuang dari jawatan Menteri Besar, tetapi mereka tidak boleh memarahi Datuk Seri Ahmad Said kerana kejatuhan Idris tidak ada kena mengena dengan Datuk Seri Ahmad Said.

Cuma, mereka yang jatuh itu merasakan, dengan menyerang Datuk Seri Ahmad Said maka, perasaan geram dan marah kepada pihak yang menolak Idris dapat diluahkan. Ini kerja mereka yang tidak dapat menerima qada dan qadar Allah SWT.

citra-bangsa (Isnin, 7 Mac 2011)

No comments:

Post a Comment