RAMAI juga yang tergamam. Tergamam bila nama Yahya Khatib Mohamad (gambar kiri) disebut sebagai Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu, mengisi kekosongan yang ditinggalkan penyandang Datuk Seri Ahmad Said yang kembali menyandang jawatan pengerusi.
Maklumlah, di luar sana, tidak ramai yang mengenali Yahya. Dia antara pemimpin yang paling junior di kalangan ketua-ketua bahagian di Terengganu.
Suatu ketika, Yahya pernah mahu digugurkan dari jawatan Exco Kerajaan Negeri kerana ‘ingkar’ nasihat Menteri Besar supaya jangan bertanding jawatan ketua bahagian, kerana Umno Terengganu secara keseluruhannya masih belum tenang dengan pelbagai pergolakan.
Namun, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said tidak mengambil tindakan terhadap Yahya kerana beberapa sebab yang Ahmad sahaja tahu mengenainya.
Yahya memenangi jawatan Ketua Umno Bahagian Marang apabila dia mengalahkan Datuk Abd Rahman Bakar, bekas Timbalan Menteri Sumber Manusia, bekas Ahli MT dan bekas Ahli Parlimen Marang.
Abd Rahman tidak bertanding dalam PRU 12 yang lalu apabila Datuk Seri Idris Jusoh (gambar kanan)selaku Menteri Besar dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu berjaya menyakinkan Perdana Menteri, Datuk Seri (kini Tun) Abdullah Ahmad Badawi
Bahawa Abd Rahman perlul digugurkan.
Tempat Abd Rahman digantikan dengan Datuk Dr. Ramzi Zuber yang juga Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Terengganu. Dr. Ramzi tewas di tangan Datuk Seri Abd Hadi Awang, Presiden PAS dan bekas Menteri Besar Terengganu.
Sehingga hari ini, tiada siapa yang mengetahui apakah sebabnya Idris tidak mahu Abd Rahman bertanding semula sedangkan sejarah politik Terengganu, Abd Rahmanlah satu-satunya calon Umno yang mampu menewaskan Abd Hadi dalam pilihan raya.
Seperti sudah jatuh ditimpa tangga, Abd Rahman bukan sahaja kehilangan jawatan Timbalan Menteri, Ahli MT dan Ahli Parlimen Marang, malahan, jawatannya sebagai Ketua Umno Bahagian Marang juga dirampas Yahya.
Waktu Yahya menewaskan Abd Rahman, ramai pemerhati politik menyifatkan Yahya sebagai orang kuat Idris yang terpengaruh dengan aura Idris untuk mengusai politik Terengganu.
Namun, sebagai salah seorang Exco di dalam kabinet Kerajaan Negeri Terengganu, ramai yang melihay Yahya sekarang sudah menjadi penyokong Ahmad Said kerana kata mereka, mustahil Yahya makan kawan ketika orang lain makan berkawan.
Satu perkara yang Yahya kena buat apabila dilantik menjadi Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu ialah menjalankan kerja-kerja parti bagi tujuan membantu kepimpinan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri yang mungkin terlalu sibuk dengan tugas sebagai Menteri Besar.
Jangan pula Yahya membuat kerja-kerja yang bertujuan memperkuatkan politiknya seperti yang pernah dia lakukan ketika mahu menentang Abd Rahman di Marang dulu. Ini tidak akan menguntungkan Umno Negeri Terengganu, jika ia dilakukan.
Yahya kena yakin bahawa jika ditakdirkan dia akan menjadi Menteri Besar Terengganu, sampai masanya, ia akan tercapai juga.
Tetapi, jika dia sibuk menyusun agenda peribadi, bukan sahaja dia tidak akan Berjaya malahan, Umno akan musnah kerana di Terengganu akan berlaku satu kapal dua nahkoda kelak.
Sebagai orang baru menerajui bahagian, Yahya kenalah belajar dari cara Ahmad Said bermain politik. Beliau bukan sahaja tidak bercita-cita menjadi Menteri Besar, malahan tidak membuat kerja-kerja yang menuju ke kerusi itu.
Tetapi atas kehendak Allah, akhirnya Ahmad Said dapat juga kerusi Menteri Besar walaupun ada pihak-pihak yang berhempas pulas mahu menjatuhkannya.
Tiada kuasa lain yang lebih besar dari kuasa Allah. Apabila Allah mengkehendaki Ahmad Said menjadi Menteri Besar, tiada kuasa lain yang mampu menghalangnya.
Hari ini, jika ada cakap-cakap yang mengatakan Ahmad Said akan melepaskan jawatan Menteri Besar, ia bukan datangnya dari sumber yang layak dipercayai tetapi dari kalangan mereka yang ‘gila talak’.
Yahya kena memainkan peranan untuk meredakan keadaan ini. Yahya kena proaktif membendung usaha-usaha pihak tertentu yang tidak habis-habis lagi mahu memberi gambaran buruk terhadap kepimpinan kerajaan negeri.
Sebagai Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu, Yahya kena mempertahankan kepimpinan Ahmad kerana semua keputusan dibuat berdasarkan keputusan bersama.
Jangan hendaknya mereka yang berada di sekeliling Ahmad dan disekeliling Yahya mempunyai pandangan yang berbeza hingga menyebabkan rakyat mentafsirkan hubungan antara Yahya dan Ahmad seperti ada masalah.
Hari ini, Yahya kenalah menyokong tindak-tanduk Ahmad, seperti mana Ahmad dahulu, tidak pernah membantah tindak-tanduk Idris ketika Idris menjadi Menteri Besar.
Inilah keperluan menjadi pemimpin Umno dan BN. Lihat sahaja gandingan antara Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dengan Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin. Mereka dilihat selangkap dan sederap dalam menerajui Umno dan Kerajaan Persekutuan.
Jangan wujudkan ruang yang membolehkan pembangkang menuduh ada masalah antara Najib dan Muhyiddin.
Begitu jgualah di Terengganu, usah ada ruang antara Ahmad dan Yahya hingga ruang itu nantinya akan digambarkan oleh mereka yang berkepentingan mengatakan Ahmad dan Yahya akan berbalah akhirnya nanti.
Yahya kena ingat bahawa jawatan yang disandangnya itu adalah jawatan yang cukup tinggi kerana ia pernah disandang oleh Idris, ketika Tun Abdullah menjadi Pengerusi dahulu, pernah juga disandang oleh Tengku Putera Teng Awang ketika Idris menjadi Pengerusi dahulu dan pernah disandang Ahmad ketika jawatan Pengerusi disandang oleh Datuk Seri Hishammuddin Hussein dahulu.
No comments:
Post a Comment