Wednesday 10 February 2010

PERBICARAAN KES SMS UGUT BUNUH ADUN - AHMAD RAMZI

Adun Paka dan Permaisuri Akui Terima SMS Ugutan

KUALA TERENGGANU, Rabu (10-2-2010) :(TEGANU KINI) Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paka, YB Haji Mohd Ariffin Abdullah, hari ini memberitahu Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, bahawa beliau menerima Sistem Pesanan Ringkas (SMS) berbunyi “Baik YB jangan teruskan niat YB, YB tak sayang nyawa?”, jam 11.21 malam pada 13 April, tahun lalu.

Beliau merupakan saksi kedua kes perbicaraan Ahli Politik, Datuk Dr Ahmad Ramzi Mohd Zubir yang menghadapi empat tuduhan berhubung ugutan jenayah melalui SMS kepada tiga Anggota Dewan Undangan Negeri Terengganu tahun lalu.

Menjawab pertanyaan Timbalan Pendakwa Raya Shahidani Abd Aziz, Adun Paka itu memberitahu mahkamah beliau berada di Hotel Felda Ressidence, Kuala Terengganu semasa menerima SMS tersebut yang dihantar melalui telefon menggunakan nombor 019-9158369.

“Pada peringkat awal saya hubungi kawan-kawan saya bagi memaklumkan perkara itu dan menghantar salinan SMS tersebut kepada YB Datuk Seri Idris Jusoh (bekas Menteri Besar).  Saya juga memaklumkan kepada YB Datuk Rosol Wahid (Adun Ajil) dan Datuk Dr Ramzi untuk memaklumkan mengenai SMS ugutan tersebut. Selepas menyemak dengan Dr Ramzi bagi mendapat maklumat mengenai siapa penghantar SMS itu, Dr Ramzi memberitahu saya nombor itu milik Setiausaha Sulit Kanan kepada Menteri Besar (Haji Wan Ahamad Wan Muda) .

“Untuk mendapat kepastian, saya turun dari bilik untuk mengambil diari dari kereta yang diletakkan di tempat letak kenderaan hotel dan saya mendapat pengesahan nombor itu milik SUSK,” katanya.

YB Mohd Ariffin memberitahu mahkamah pada peringkat awal beliau berasa biasa saja apabila menerima SMS tersebut sebab beliau tidak tahu siapa penghantarnya.

Bagaimanapun, katanya, selepas itu timbul perasaan takut apabila beliau mengetahui identiti pengirim SMS berkenaan berdasarkan kedudukan penghantarnya dan scenario politik negeri Terengganu pada masa tersebut.

“Selepas itu saya telefon Dr Ramzi dan beliau datang ke bilik saya dan kemudian saya telefon YB Halim Jusoh (Adun Permaisuri),” katanya.

YB Mohd Ariffin berkata, selepas itu beliau mendapat pengesahan daripada YB Alias Abdullah (Adun Alor Limbat) bahawa terdapat unsur ugutan dalam SMS tersebut.

Katanya, YB Alias kemudiannya menasihatkan beliau membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu berhubung kejadian tersebut (SMS ugutan).

Menurutnya, dari hotel Felda beliau terus ke IPD Kuala Terengganu untuk membuat laporan polis berhubung SMS itu, bersama-sama dengan YB Halim dan Dr Ramzi.

Beliau membuat laporan polis pada jam 12.55 pagi pada 14 April 2009 dan didapati ramai wartawan berada di IPD Kuala Terengganu pada waktu itu.

“Saya tidak tahu siapa yang panggil wartawan datang ke balai polis,” katanya ketika menjawab pertanyaan Timbalan Pendakwa Raya siapa yang panggil wartawan datang ke situ.

YB Mohd Ariffin bagaimanapun mengakui beliau dan YB Halim membuat sidang akhbar di IPD Kuala Terengganu bagi memaklumkan kepada wartawan berhubung kejadian tersebut.

“Selepas membuat laporan polis saya terus balik ke bilik hotel,’ katanya sambil memberitahu bahawa selepas itu pihak polis merampas telefon bimbitnya pada 4 Mei 2009.

Telefon bimbit tersebut yang menggunakan nombor 019-9186181 dan dikemukakan sebagai barang bukti ditunjukkan dalam mahkamah dan disahkan oleh saksi kedua itu.

Timbalan Pendakwa Raya kemudiannya memberitahu Hakim M Bakri Abdul Majid bahawa Haji Wan Ahamad Wan Muda akan dipanggil sebagai saksi pada prosiding akan datang.

Menjawab soalan peguambela selepas itu, YB Mohd Ariffin berkata, beliau membalas balik SMS yang dihantar kepadanya dengan bertanya “Siapa Ni?”, tetapi pemilik telefon bimbit berkenaan membalas balik “Sorry, wrong number”.

Katanya, beliau ada membuat panggilan kepada nombor telefon berkenaan menggunakan telefon isterinya, tetapi tidak dijawab walaupun ada nada panggilan.

Beliau memberitahu mahkamah bahawa beliau yakin SMS itu dihantar dari nombor 019-9158369 dan perasaan takut timbul memikirkan sebelum ini macam-macam berlaku dalam politik, termasuk kes pembunuhan yang melibatkan Datuk Dr Mokhtar Hashim.

Tambahan pula, katanya, sebelum itu Harakah melaporkan bahawa Adun akan membuat usul undi tidak percaya kepada Menteri Besar Terengganu, Dato’ Ahmad Said.

“Saya juga terpandang berita kaki dalam TV3 atau TV1 mengenai amaran Menteri Besar kepada ADUN yang akan mengemukakan usul undi tidak percaya,” tambahnya.

Menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, YB Ariffin berkata, beliau tidak dapat menerima jika dikatakan SMS berbau ugutan itu datang dari Dr Ramzi.

“Jika ia datang dari Dr Ramzi saya anggap ia satu gurauan sahaja,” katanya yang membuat laporan polis berhubung SMS itu kira-kira 15 minit selepas bertemu Dr Ramzi.

Sementara itu, saksi ketiga, YB Abdul Halim Jusoh (Adun Permaisuri), memberitahu mahkmah beliau berada di Gong Badak semasa menerima SMS berbunyi “Baik jangan teruskan niat YB jika YB sayangkan nyawa,”.

Beliau yang menggunakan telefon bimbit nombor 019-9859088 berkata, SMS tersebut diterima jam 11.30 pada 13 April 2009.

Katanya, beliau memberitahu Dr Ramzi mengenai SMS tersebut kerana tertuduh adalah rakan baiknya.

“Dr Ramzi beritahu YB Ariffin juga ada terima SMS yang sama seperti yang saya terima,” katanya yang membuat pengesahan SMS dihantar melalui telefon bimbit nombor +6019-9158369.

Selepas diberi peluang membaca semula SMS melalui telefon miliknya di mahkamah, YB Abdul Halim kemudiannya membacakan semula SMS berbunyi “Baik jangan teruskan niat YB, YB tak sayang nyawa?”.

YB Abdul Halim berkata, setelah berbincang dengan Dr Ramzi dan YB Alias, mereka membuat keputusan untuk membuat laporan polis mengenai perkara itu di IPD Kuala Terengganu.

Katanya, mereka tiba di IPD Kuala Terengganu lebih kurang jam 12 tengah malam untuk membuat laporan polis.

YB Abdul Halim kemudiannya memberitahu mahkamah telefon bimbitnya diserah kepada polis jam 7.10 malam pada 26 April 2009.

Pada sesi petang, saksi keempat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ajil, YB Dato’ Rosol Wahid, hari ini memberitahu Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, bahawa beliau menerima Sistem Pesanan Ringkas (SMS) daripada nombor tidak dikenali berbunyi “Baik YB jangan teruskan niat YB, YB tak sayang nyawa?”, lebih kurang jam 11.25 malam pada 13 April, tahun lalu.

Dato’ Rosol ketika menjawab pertanyaan Timbalan Pendakwa Raya Shahidani Abd Aziz, beliau menjelaskan ketika SMS itu diterima, beliau sedang minum di sebuah kedai makan di Jalan 23 Kuala Berang-Kuala Terengganu.

Menurut beliau, SMS itu diterima dari penghantar yang tidak dikenali menggunakan nombor + 31234567890.

Ketika ditanya mengenai perasaan beliau sejurus mendapat SMS itu, beliau menjelaskan pada mulanya tidak merasa apa-apa kerana nombor itu tidak diwakili oleh sesiapa.

Bagaimanapun, sejurus kemudian beliau menerima panggilan daripada YB Zakaria (Mohd Arifin Abdullah yang juga saksi kedua) yang menanyakan beliau sama ada menerima atau tidak SMS yang sama.

“Selepas diceritakan kepada saya yang dia menerima SMS ugutan dan saya maklumkan kepada beliau saya juga terima SMS yang sama. Bagaimanapun, saya menjelaskan SMS berkenaan saya terima dari nombor +31234567890, manakala dia terima SMS dari nombor berlainan daripada apa yang saya terima.

“Dia ada bagitau nombor tapi saya tak ingat nombor itu, cuma yang saya ingat nombor itu dimaklumkan kepada saya milik Setiausaha Sulit Kanan (SUSK) kepada Menteri Besar (Haji Wan Ahamad Wan Muda),” katanya .

Selepas mendapat maklumat daripada YB Zakaria, beliau kemudiannya berpakat untuk membuat laporan polis berhubung SMS ugutan itu dan diminta oleh YB Zakaria supaya kes itu sama-sama dilaporkan di Kuala Terengganu.

Beliau bagaimanapun membuat laporan di Kuala Berang memandangkan jarak yang jauh untuk ke Kuala Terengganu serta waktu yang sudah lewat malam ketika itu.

Dato’ Rosol yang merasakan SMS itu suatu ugutan dan boleh menyebabkan nyawa terancam selepas diberitahu identiti pengirim SMS berkenaan dan suasana politik negeri Terengganu ketika itu, membuat laporan polis berhubung kejadian berkenaan kira-kira jam 12.45 pagi di Balai Polis Kuala Berang..

Ketika diminta penjelasan oleh Timbalan Pendakwa Raya mengenai senario politik ketika itu, beliau menjelaskan ketika itu Persidangan Dewan Undangan Negeri sedang berjalan dan ura-ura atau cakap-cakap yang mengatakan YAB Menteri Besar akan digulingkan melalui usul undi tidak percaya. Oleh kerana itu, mungkin ada kebimbangan SUSK mengenai perkara itu berlaku menyebabkan SMS itu dihantar.

Beliau kemudiannya tidak membuat apa-apa tindakan susulan selepas laporan polis dibuat pada malam kejadian (13 April) itu.

Telefon bimbit tersebut yang menggunakan nombor 012-9838307 dan dikemukakan sebagai barang bukti ditunjukkan dalam mahkamah sebelum disahkan oleh saksi keempat itu.

Dato’ Rosol memberitahu mahkamah, jika SMS itu dihantar oleh Datuk Dr Ramzi, beliau tidak berasa apa-apa dan tidak menganggap itu sebagai ugutan.

Beliau juga bersetuju bahawa SUSK merupakan orang yang rapat dengan YAB Menteri Besar dan disebabkan SMS itu ada kaitan dengan SUSK, jika undi tidak percaya itu benar-benar berlaku dan berjaya, maka kesan negatif kepada SUSK dan jika tidak berjaya, SUSK tidak akan mendapat apa-apa faedah.

Ketika menjawab soalan terakhir Timbalan Pendakwa Raya, Dato’ Rosol juga bersetuju bahawa SUSK tidak akan menjatuhkan Menteri Besar kerana beliau mencari makan dengan Menteri Besar.

Ahmad Ramzi sebelum itu mengaku tidak bersalah atas semua tuduhan terhadap beliau.

Beliau yang merupakan Setiausaha Politik kepada bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh, dibebaskan dengan ikat jamin sebanyak RM8,000 dan diarah menyerahkan passport kepada mahkamah.

Mengikut pertuduhan pertama, pada 11.21 malam 13 April lepas di E726 Jalan Kubang Parit, Kampung Kubang Parit di sini, dia didakwa melakukan ugutan jenayah dengan mengancam hendak mendatangkan kematian kepada Mohd Ariffin Abdullah, Adun Paka, dengan niat hendak menyebabkan kegentaran kepadanya.

Ahmad Ramzi juga didakwa melakukan perbuatan tersebut terhadap Abdul Halim Jusoh, Adun Permaisuri, pada tarikh, tempat dan waktu yang sama, dan juga terhadap Datuk Rosol Wahid, Adun Ajil, pada 11.25 malam di tempat dan pada tarikh yang sama.

Bagi ketiga-tiga pertuduhan itu, Ahmad Ramzi boleh dipenjara tidak melebihi dua tahun jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan keempat pada tarikh dan tempat yang sama, antara 11.21 malam dan 11.25 malam, dia didakwa memfitnah Wan Ahamad Wan Muda dengan menghantar SMS yang mengandungi ugutan jenayah dengan mengancam hendak mendatangkan kematian kepada Mohd Ariffin, Abdul Halim dan Rosol, melalui laman web http://ownsmsbiz.com/v1 dengan menggunakan nombor telefon bimbit 019-9158369 milik Wan Ahamad.

Bagi kesalahan itu, Ahmad Ramzi boleh dihukum penjara selama tempoh tidak lebih dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pihak pendakwa dibantu oleh Norazimon Azmi dan Ooi Choo Geek manakala Ahmad Ramzi diwakili peguam, Rosli Abdul Rahman.

Dalam prosiding sebelah pagi semalam (Selasa), Hakim M.Bakri Abd Majid memerintahkan supaya Ahmad Ramzi dibebaskan dan dilepaskan kerana pihak pendakwa mendaftarkan kes tersebut sebagai kes saman, sedangkan ia melibatkan kes jenayah.

Dr Ahmad Rmzi bagaimanapun didakwa semula atas tuduhan yang sama dan kes tersebut kini didaftarkan dibawah kes jenayah dan tertuduh kini perlu berada di dalam kandang mahkamah sepanjang perbicaraan kes tersebut.

Perbicaraan akan disambung pada 31 Mei, 2010

- TEGANU KINI

No comments:

Post a Comment