Monday 8 February 2010

NIZAR ATAU ZAMBRY MB PERAK YANG SAH ?

(kemaskini)

ZAMRY /BN MENANG 5-0


Blog Rakyat Malaysia (hambali1.blogspot.com) melaporkan....Bertenanglah....keputusan kehakiman sudah dibuat.

Biarkanlah pilihan raya akan datang menentukan segala-galanya.

Selepas Mahkamah Persekutuan pagi ini sebulat suara memutuskan bahawa Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dari BN adalah menteri besar Perak yang sah semua pihak seharusnya menerima keputusan dengan penuh kesyukuran.

Presiden Mahkmah Rayuan, Tan Sri Alauddin Mohd Sheriff, mengetuai panel lima orang hakim yang mendengar kes tersebut.

Yang lainnya ialah Hakim Besar Malaya, Datuk Arifin Zakaria dan Hakim Datuk Zulkefli Ahmad Makinuddin, Datuk Mohd Ghazali Mohd Yusoff dan Datuk Abdull Hamid Embong dari Mahkamah Persekutuan.

Nizar diwakili oleh para peguam yang diketuai oleh peguam kanan Sulaiman Abdullah, manakala peguam kanan Cecil Abraham mewakili Dr Zambry.

Solat hajat sudahpun dibuat dan ketentuan Allah ialah berpihak kepada Dr Zambry dan Barisan Nasional (BN), jadi terima sahajalah keputusan berkenaan.

Pagi ini, seramai 23 penyokong Mohd. Nizar mengadakan solat hajat di dataran perkarangan Istana Kehakiman dan bagi pihak Dr Zamry ia dibuat beberapa hari lalu.

Memanglah perasaan tidak puas hati akan tetap ada tetapi saluran yang sah pun ada. Proses mahkamah sudah digunakan dan selepas ini, gunakanlah pula proses pilihan raya untuk menentukan politik Perak.

Mungkin selepas ini akaan ada lagi solat khusus yang akan dibuat oleh kerajaan Perak dan Dr Zamry khususnya menandakan syukur kerana keputusan mahkamah itu.

Malaysiakini melaporkan, Istana Keadilan di Putrajaya, menjadi tumpuan sejak jam 7 pagi tadi apabila orang ramai beratur untuk mendapatkan pas masuk ke dewan mahkamah. Begitu juga penyokong BN dan Pakatan.

Pada 5 November lalu, Mahkamah Persekutuan telah mendengar rayuan Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin dan hujah para peguamnya selama enam jam, tetapi telah menangguhkan keputusannya.

Sebelum itu, mahkamah telah menolak permohonan Nizar supaya panel penuh 11 orang hakim atau tambahan bilangan panel hakim, untuk mendengar kesnya itu.

BN mengambil alih pentadbiran negeri Perak apabila tiga ADUN Pakatan rakyat keluar parti dan menjadi wakil rakyat bebas yang menyokong BN.

Berikutan itu, Pakatan telah membawa perkara itu ke mahkamah.

Pada 11 Mei, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Abdul Aziz Abdul Rahim telah memutuskan bahawa Nizar merupakan menteri besar Perak yang sah.

Zambry kemudiannya membuat rayuan dan panel tiga hakim Mahkamah Rayuan sebulat suara menolak keputusan Mahkamah Tinggi itu, dengan alasan hakim berkenaan telah gagal untuk mengambilkira keseluruhan bukti yang dikemukakan.

NIZAR ATAU ZAMBRY MB PERAK YANG SAH ?
Pada 8 Februari 2010 BERNAMA melaporkan bahawa Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata rakyat hendaklah menerima keputusan Mahkamah Persekutuan berhubung dengan kedudukan Menteri Besar Perak dengan tenang.

"Kita sebagai rakyat harus bertenang apabila menerima keputusan hakim itu esok. Oleh kerana itu adalah fungsi keadilan kita, jadi kita tidak harus menterjemahkan keputusan itu sekiranya tidak menepati perasaan kita kepada perbuatan yang kasar atau mengkasari atau mewujudkan kegiatan yang bertentangan dengan undang-undang negara kita," katanya kepada pemberita selepas majlis Sepetang Bersama Pemimpin di Titi dekat sini, Isnin.

Esok, Mahkamah Persekutuan akan mengumumkan keputusan sama ada Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir daripada Barisan Nasional (BN) kekal sebagai Menteri Besar atau Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin daripada pakatan DAP-PKR-PAS, mendapat semula jawatan itu.

Rais, yang juga Anggota Parlimen Jelebu, berkata keputusan mahkamah adalah keputusan penghakiman dan rakyat harus akur terhadap apa jua keputusan.

Seterusnya HAMBALI dalam blognya RAKYAT MALAYSIA  melaporkan bahawa Ini bukan lagi teka-teki. Yang akan terjawab hari ini ialah Menteri Besar Perak. Datuk Seri Dr Dr Zambry Abdul Kadir atau Datu Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin.

Lebih penting ialah penghakiman ini akan merungkai isu Perlembagaan sama ada ketua negeri boleh membuat pertimbangan dengan mengatasi undang-undang sedia ada, dalam menentukan sama ada ketua kerajaan telah hilang kepercayaan daripada majoriti wakil-wakil yang dipilih.

Pada 13 Februari tahun lalu, Mohammad Nizar, 52, mengambil tindakan undang-undang bagi mendapatkan perisytiharan bahawa beliau adalah Menteri Besar Perak yang sah dan memohon perintah mahkamah bagi menghalang Dr Zambry daripada menunaikan tugas sebagai Menteri Besar.

Pada Mei tahun lalu, dalam keputusannya, Mahkamah Tinggi mengembalikan kedudukan Nizar sebagai Menteri Besar Perak yang sah, sebelum Mahkamah Rayuan mengubah keputusan itu dan mengisytiharkan bahawa pelantikan Dr Zambry sebagai Menteri Besar Perak adalah mengikut Perlembagaan.

Keputusan Mahkamah Persektuan tidak mungkin memuaskan hati sesiapa. Jika keputusan tidak memihak kepada Nizar, Pembangkang akan terus mempersoalkan kesahihan kerajaan negeri BN.

"Jika Dr Zambry menang, beliau mempunyai kira-kira dua tahun untuk membuktikan bahawa kerajaannya adalah kerajaan sah. Apakah Pembangkang akan menerima hal itu pada sidang dewan akan datang atau akan terus mencetuskan kacau bilau?.

Mahkamah Persekutuan akan mengumumkan keputusannya, hari ini dengan panel lima hakim, yang diketuai Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Alauddin Mohd Sheriff - membuat keputusan sama ada Menteri Besar daripada Bar:isan Nasional atau daripada pakatan DAP-PKR-Pas, mendapat semula jawatan itu.

Selain Alauddin, panel hakim berkenaan dianggotai Hakim Besar Malaya, Tan Sri Arifin Zakaria dan Hakim-hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Zulkefli Ahmad Makinudin, Datuk Wira Ghazali Mohd Yusoff dan Datuk Abdull Hamid Embong.

Panel hakim itu menangguhkan penghakimannya pada 5 November tahun lalu setelah selesai mendengar hujah peguam yang mewakili Dr Dr Zambry dan Nizar dalam kes berkenaan.

Ini rayuan peringkat terakhir bagi Mohammad Nizar dalam cubaannya mendapatkan semula jawatan Menteri Besar Perak. Bagaimanapun, pihak yang kalah dalam sesuatu kes mahkamah, boleh memohon Mahkamah Persekutuan menyemak semula penghakimannya mengikut Peraturan 137 Peraturan-peraturan Mahkamah Persekutuan bagi mencabarnya berdasarkan hujah daripada sudut Perlembagaan.

Konflik berkenaan siapakah yang berhak menjadi Menteri Besar Perak, timbul tahun lalu apabila tiga wakil rakyat daripada pakatan DAP-PKR-Pas meninggalkan parti masing-masing untuk menjadi wakil Bebas dan menyebabkan kedua-dua pihak mempunyai jumlah kerusi yang sama iaitu 28, dalam Dewan Undangan Negeri Perak yang mempunyai 59 kerusi.

Mereka ialah Jamaluddin Mohd Radzi (Behrang) dan Mohd Osman Mohd Jailu (Changkat Jering), yang meninggalkan PKR pada 30 Januari dan mengisytiharkan diri sebagai anggota Bebas yang menyokong BN. Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Jelapang Hee Yit Foong daripada DAP mengikut jejak mereka empat hari kemudian.

Berikutan perkembangan itu, Sultan Perak, Sultan Azlan Shah menitahkan Mohammad Nizar, iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Pasir Panjang itu, supaya melepaskan jawatan Menteri Besar dan menitahkan Dr Dr Zambry mengangkat sumpah menduduki kerusi itu Februari tahun lalu, setelah mengisytiharkan BN mempunyai majoriti dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) itu.

Bernama dalam analisisnya menyebut ketika pemerhati di kedua-dua pihak menunggu-nunggu dengan penuh debaran keputusan mengenai siapa Menteri Besar Perak yang sah persoalan terus berlegar sama ada kedua-dua pihak akan menerima keputusan dan membolehkan isu berakhir.

Perak terjebak dalam situasi politik tidak menentu, dengan Dr Zambry dan Nizar masing-masing mendakwa sebagai menteri besar yang sah.

Penganalisis politik berpendapat, tidak kira apa jua keputusan, perbalahan yang berlaku antara kerajaan negeri sekarang di bawah BN dengan gabungan PAS-DAP-PKR dikenali sebagai Pakatan Rakyat (PR) akan berterusan, setidak-tidaknya hingga pilihan raya akan dating.

"Jika Dr Zambry diisytiharkan sebagai MB yang sah, apapun PR akan terus tidak puashati. Ia akan mempersoal kebebasan badan kehakiman manakala pada waktu yang sama meuar-uarkan BN sebagai kerajaan sementara," kata penganalisis politik Dr Sivamurugan Pandian.

Tetapi jika Nizar diisytiharkan menteri besar yang sah, beliau berkata ahli politik PAS itu mungkin memohon mandat baru tetapi ini akan bergantung pada sama ada dewan negeri boleh dibubarkan atau tidak.

Perak akan terus berada dalam situasi tidak menentu kecuali kedua-dua pihak bertolak ansur selepas keputusan mahkamah," kata Dr Sivamurugan, dan menegaskan kedua-dua pihak perlu memahami bahawa tidak wajar dibiarkan dilema ini berlanjutan.

"Jika Dr Zambry menang, beliau mungkin mempertimbang untuk berbaik-baik. Jika Nizar kalah, apakah beliau dapat menerima kerajaan negeri yang sah sehingga pilihan raya akan datang?" soal Dr Siva.

Pakar perlembagaan negara, Abdul Aziz Bari pula berpendapat, keadaan di Perak dijangka bertambah lebih rumit dan kusut jika keputusan Mahkamah Persekutuan memihak kepada menteri besar yang disingkirkan, Datuk Seri Nizar Jamaluddin.

"Sekiranya, mahkamah memutuskan Nizar adalah Menteri Besar yang sah, esok, keadaan di Perak akan bertambah kusut,” kerana sejak setahun lalu, Dr Zambry banyak membuat keputusan semasa 'pemerintahan' Barisan Nasional.

“Keputusan yang memihak kepada Nizar akan menjadi keputusan-keputusan (Dr Zambry) sebagai tidak sah,” tegasnya. Situasi berkenaan sudah tentu akan menyaksikan keadaan yang kucar kacir di Perak dan menjejaskan keyakinan pelabur asing ke negeri itu.

Keputusan pentadbiran Dr Zambry, termasuk pembentangan bajet negeri baru-baru ini juga akan menjadi tidak sah.

Menurut hasil tinjauan yang disiarkan oleh Merdeka Centre, sebuah firma tinjauan pendapat, Jumaat lepas, ulangtahun pertama BN memerintah Perak selepas pilihan raya umum 2008, 46 peratus daripada mereka yang ditinjau pendapat menyokong Nizar sementara Dr Zambry berada di belakang dengan 44 peratus.

Nizar mempunyai kelebihan signifikan daripada Dr Zambry bila melibatkan masyarakat Cina (59 peratus untuk Nizar lwn 16 peratus untuk Dr Zambry) tetapi Dr Zambry mendahului pertandingan bila melibatkan sokongan Melayu, dengan mendapat 67 peratus berbanding Nizar 35 peratus.

Anggota exco negeri Perak Dr Mah Hang Soon berkata BN sedar sokongan daripada rakyat masih begitu berbelah bagi.

"Tetapi keadaan bertambah baik untuk kami, rakyat tidak menaruh sikap terlalu bermusuhan seperti dulu. Kami percaya jika kami terus bekerja keras dan membuktikan rancangan ekonomi kami, mereka akan menyokong kami...buktikan kami adalah kerajaan yang lebih baik," katanya.

Bagi Pembangkang, ia masih menganggap penyelesaian muktamad terhadap kebuntuan ini ialah menerusi pilihan raya baru.

"Tidak ada apa yang akan berubah kecuali diadakan pilihan raya baru. Saya tidak nampak mana-mana jalan lain.

"Apa juga keputusan mahkamah, ia tidak akan mengubah sentimen rakyat," kata pakar strategi DAP dan MP Bukit Bendera, Liew Chin Tong.

Analisis Malaysiakini pula menyebut, kedudukan kini menyebabkan 24 kerusi dianggap panas di Perak dan dikatakan kemungkinan akan menentukan samada Pakatan Rakyat atau Barisan Nasional akan berkuasa jika pilihan raya negeri diadakan dalam masa terdekat ini.

Kemelut politik di Perak dijangka bertambah kusut apabila mahkamah persekutuan membuat keputusan esok berhubung siapa yang sepatutnya menduduki kerusi menteri besar Perak.

Majoriti 24 daripada kerusi panas itu terletak di luar bandar dan juga pinggir bandar dan kebanyakan pengundi mereka terdiri daripada masyarakat Melayu.

Kerusi-kerusi itu juga dimenangi dengan hanya kelebihan kurang 10 peratus undi pada pilihan raya umum lalu. Justeru, perubahaan 5 peratus sokongan akan menyaksikan pertukaran kerusi di antara kedua-dua parti berkenaan.

12 daripada kerusi panas itu kini dimilik oleh Umno, menerusi BN manakala bakinya dipegang oleh Pakatan.

Terdapat 59 kerusi parlimen di Perak dengan Pakatan menguasai 31 kerusi manakala Barisan memegang 28 yang lain.

Adalah dijangkakan kebanyakan pengundi Melayu, khususnya di luar bandar akan kembali ke BN kerana Umno didakwa berjaya mengeksploitasikan isu “penderhaka” dan “boneka” terhadap menteri besar yang disingkirkan, Datuk Seri Nizar Jamaluddin dengan berkesan.

Bagaimanapun, diramalkan pula lebih ramai masyarakat Cina akan menyokong Pakatan manakala undi masyarakat India pula akan terus terbahagi dua.

Menurut sumber pada pilihan raya Bukit Gantang, tahun lalu, Pakatan mendapat tambahan 15 hingga 20 peratus undi daripada masyarakat Cina tetapi kehilangan 4 peratus sokongan pengundi Melayu.

Sekiranya trend berkenaan berterusan, PAS dikatakan agak teruk terjejas kerana ia lazimnya diperuntukkan kerusi-kerusi yang mempunyai majoriti pengundi Melayu.

PKR juga menghadapi risiko kerana ia bertanding di kerusi-kerusi yang mempunyai pengundi berbilang bangsa manakala DAP dijangka tidak menghadapi laluan sukar kerana ia bertanding di kerusi-kerusi yang majoritinya pengundi Cina

No comments:

Post a Comment