Wednesday, 3 April 2013

Terengganu Bubar DUN Semalam, MB Hadiri Mesyuarat MT UMNO Hari Ini

 

Pembubaran Dewan Rakyat semalam bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) sebagaimana yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah diikuti dengan pembubaran enam Dun setakat tengah malam tadi.

Kecuali Sarawak yang belum perlu membubarkan Dunnya dan Negeri Sembilan yang Dunnya terbubar secara sendiri pada 28 Mac lalu, negeri-negeri lain dijangka membubarkan Dun masing-masing dalam tempoh terdekat bagi membolehkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengadakan PRU-13 secara serentak - membabitkan pertandingan di 727 kerusi, masing-masing 202 kerusi Parlimen dan 505 kerusi Dun.

Selepas pembubaran Dewan Rakyat, Perlis merupakan negeri pertama membubarkan Dun diikuti Sabah, Melaka, Perak dan Terengganu. Ia diikuti Pahang lewat malam tadi.

Empat negeri yang dikuasai parti-parti politik dalam pakatan pembangkang dijangka mengumumkan tarikh pembubaran Dun masing-masing semalam.

Ahmad Said ceria menjawab soalan wartawan pada sidang media selepas  mesyuarat mingguan Exco semalam.
Di Dungun, Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said mengumumkan pembubaran Dun Terengganu berkuat kuasa semalam.

Pembubaran Dun Terengganu berkuat kuasa semalam untuk membolehkan pilihan raya negeri diadakan serentak dengan pilihan raya umum Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).

Ahmad Said yang membuat pengumuman itu pada pukul 10 malam semalam berkata, beliau telah menghadap Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin di Istana Nur Zahirah pada pukul 7.45 malam untuk mendapat perkenan baginda.

"Pukul 9 pagi esok (pagi ini) Speaker DUN Datuk Tengku Putera Tengku Awang akan menghantar notis pembubaran kepada Suruhanjaya Pilihan Raya," katanya kepada pemberita di Dungun, malam semalam.

Pada sidang media selepas mesyuarat Exco semalam, Ahmad Said berkata pembubaran DUN Terengganu akan dibuat selepas diperkenankan Sultan Terengganu.

Pada PRU12 Barisan Nasional (BN) Terengganu menguasai Dun Terengganu dengan majoriti dua pertiga apabila menang 24 daripada 32 kerusi Dun manakala untuk kerusi Parlimen, parti gabungan itu menang enam daripada lapan kerusi.

Ahmad Said turut mengesahkan bahawa beliau akan kekal bertanding bagi kerusi Dun Kijal pada PRU13 kali ini.

Hari ini beliau di Kuala Lumpur kerana menghadiri Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO.


Dalam pada itu, Kerajaan Negeri Johor dijangka mengumumkan pembubaran Dun esok bagi membolehkan pilihan raya umum negeri itu diadakan serentak dengan pilihan raya Parlimen.

 Difahamkan Pejabat Menteri Besar tidak akan mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung pembubaran Dun Johor pada hari ini dan urusan itu dijangka hanya akan berlaku esok.

Menteri Besar Datuk Abdul Ghani Othman semalam mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco Kerajaan Negeri di pusat pentadbiran kerajaan di Kota Iskandar namun beliau tidak mengadakan sidang akhbar selepas itu.

Difahamkan Abdul Ghani berlepas ke Kuala Lumpur semalam untuk menghadiri mesyuarat Majlis Tertinggi Umno yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Presiden Umno.

Di Georgetown, Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng berkata, beliau akan memaklumkan mengenai tarikh pembubaran Dun selepas menghadap Yang Dipertua Negeri Tun Abdul Rahman Abbas pukul 9.30 pagi ini.

Di Kota Bharu, Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, Dun akan tetap dibubar sejajar dengan pembubaran Dewan Rakyat dan beliau tidak akan mengubah perkara itu walaupun kerajaan negeri masih boleh menangguh pembubaran itu.

Nik Abdul Aziz dijadual menghadap Sultan Kelantan Sultan Muhammad V di Istana Telipot di sini malam ini  bagi mendapat perkenan baginda untuk pembubaran DUN Kelantan.

Sebelum itu beliau akan menghadiri mesyuarat bersama menteri besar dan ketua menteri negeri-negeri di bawah pakatan pembangkang di Pejabat PKR di Petaling Jaya, Selangor petang ini.

Di Alor Setar, Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata, beliau akan menghadap Sultan Kedah Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah di Istana Negara, Kuala Lumpur hari ini berhubung urusan pembubaran Dun.

Selepas itu barulah beliau akan menghadap Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah Tan Sri Tunku Annuar Sultan Badlishah bagi memohon perkenan untuk membubarkan Dun.

Sementara itu, Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob malam tadi mengumumkan pembubaran Dun. Bercakap kepada pemberita di pekarangan Istana Mahkota di sini pada pukul 11.45 malam ini, Adnan berkata, Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah memperkenankan pembubaran Dun Pahang.

Sebelum itu, Adnan menghadap Sultan Pahang pada jam 10.40 malam di istana itu.

Penggal lima tahun Dun Pahang tamat tempoh pada 7 April ini. Pahang mempunyai 42 kerusi Dun. Pada pilihan raya umum 2008, BN memenangi 37 kerusi, DAP dan Pas masing-masing dua kerusi dan Bebas satu kerusi. Adun Bebas di kawasan Dun Tanah Rata, Ho Yip Kap, kemudian menyertai parti Gerakan.

Terdapat 14 kawasan Parlimen di Pahang dan pada pilihan raya umum 2008, BN menguasai 12 kerusi manakala Parti Keadilan Rakyat menang dua kerusi.

Tuesday, 2 April 2013

Najib Umum Parlimen Bubar Selepas Mesyuarat Kabinet Hari Ini?


 

Daripada www.teganuku.blogspot.com

Hari ini genap empat tahun Najib menerajui negara selepas dilantik menggantikan Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 2009.

Tahniah Perdana Menteri kerana berjaya menjamin negara aman, makmur dan sejahtera.

Tempoh satu penggal atau lima tahun Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12) akan berakhir pada 30 April ini dan Parlimen akan terbubar secara sendiri jika tidak dibubarkan sebelum tarikh itu.


Selepas itu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mempunyai tempoh 60 hari sehingga selewat-lewatnya bulan Jun untuk mengadakan PRU-13 bagi membentuk kerajaan baru.

Ternyata hari ini seluruh rakyat Malaysia menumpukan perhatian dengan penuh debaran apakah benar pengumuman mengenai pembubaran parlimen akan dibuat oleh sejurus selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Jemaah Menteri hari ini.

Jika benar maka ia akan menjadi mesyuarat Kabinet yang terakhir sebelum parlimen dibubarkan. Selepas itu, kerajaan Najib akan berfungsi sebagai kerajaan sementara sahaja. Parlimen bagaimanapun akan terbubar secara automatik pada 30 April ini.

Sejauh ini, Perdana Menteri masih berteka-teki mengenai tarikh pembubaran Parlimen. Tetapi beberapa perkara yang akan berlaku telah menjurus ke arah petunjuk yang hari ini (Rabu) mungkin menjadi hari yang dinanti-nantikan oleh semua.

Pertama sekali, pagi ini sebelum bermulanya mesyuarat Kabinet, Perdana Menteri akan bertemu dengan Yang di-Pertuan Agong untuk membentangkan laporan kabinet.

Jika Najib berhasrat mahu mengumumkan pembubaran parlimen maka Rabu adalah hari yang paling sesuai kerana pada hari tersebut juga beliau secara rutin memang dijadualkan mengadap Seri Paduka.

Kedua, sebagaimana yang telah dilaporkan oleh media-media massa, anggota Jemaah Menteri telah diarahkan supaya mengenakan sut serba gelap yang dipadankan dengan tali leher merah untuk sesi bergambar kenang-kenangan yang terakhir.

Difahamkan mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) akan diadakan  esok (Khamis).
 

Sementara itu, selepas mempengerusikan mesyuarat kabinet, Najib dijangka menyertai Program Kayuhan Patriotik 1Malaysia@ Putrajaya pada pukul 5 petang sebelum berlepas ke Arab Saudi untuk menunaikan umrah. Beliau dijangka pulang dua hari selepas itu.  

Berita Harian menyebut, parlimen dijangka dibubarkan seawal hari ini selepas mesyuarat Kabinet di Putrajaya bagi membolehkan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) diadakan.

Ia berikutan pengedaran surat daripada Jabatan Perdana Menteri meminta semua Ahli Jemaah Menteri hadir pada mesyuarat itu lengkap berpakaian lounge suit berwarna gelap dan bertali leher berwarna merah untuk sesi bergambar.

Mengikut amalan sebelum ini, Ahli Jemaah Menteri akan bergambar bersama Perdana Menteri dan timbalannya pada mesyuarat terakhir Kabinet sebelum pengumuman pembubaran Parlimen selepas mesyuarat.

Difahamkan sesi bergambar diadakan sebelum mesyuarat Kabinet hari ini dan Najib mengadakan sidang media bagi mengumumkan pembubaran Parlimen selepas itu.


Beberapa Menteri yang dihubungi mengesahkan menerima surat itu dan tidak menolak kemungkinan Najib mengumumkan pembubaran Parlimen selepas mesyuarat Kabinet hari ini seperti kelaziman sebelum ini.

“Saya sudah menerima surat dan mungkin ini adalah mesyuarat Kabinet terakhir penggal ini kerana mengikut tradisi Perdana Menteri sebelum ini, Parlimen dibubarkan selepas itu,” kata seorang Menteri semalam.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan menjadi negeri pertama terbubar secara automatik pada Khamis lalu dan kini ditadbir kerajaan sementara yang diterajui Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar, berkata jika Parlimen dibubarkan hari ini  SPR akan mengadakan mesyuarat khas secepat mungkin untuk menetapkan beberapa perkara dasar seperti daftar pemilih, watikah kepada pegawai SPR, tarikh penamaan calon tarikh mengundi.

Semalam, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali meramalkan Perdana Menteri akan membubarkan Parlimen pada 26 atau 27 April ini selepas beliau menghadiri Sidang Kemuncak Asean yang berlangsung pada 24 dan 25 April ini.

Menurut Mustafa, Najib perlu menghadiri Sidang Kemuncak Asean itu sebagai perdana menteri penuh. "Mengambil kira pembubaran Dewan Undang Negeri (DUN) Negeri Sembilan dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kata pilihan raya akan diadakan serentak, jadi pilihan raya akan diadakan tidak lewat daripada 25 atau 26 Mei.

"Paling lewat 27 Mei," ramal beliau pada sidang media di ibu pejabat PAS, Kuala Lumpur, sambil menambah, ramalan itu dibuat setelah meneliti tarikh-tarikh penting acara rasmi yang perlu dihadiri Najib sebagai perdana menteri di samping mengambil kira pembubaran DUN secara automatik di Negeri Sembilan, bulan lalu.

DUN Negeri Sembilan terbubar secara automatik pada 28 Mac apabila tempoh mandat lima tahunnya berakhir tengah malam itu, sekali gus mencatat sejarah pembubaran DUN pertama secara automatik di Semenanjung.

Sumber mStar & Berita Harian

Ahmad Said Anggap Cakap-Cakap Beliau Tidak Bertanding Fitnah Pilihan Raya

 

"Ramai yang berfitnah-fitnah kerana kini adalah zaman sains dan teknologi dan dasar langit terbuka. Semua ada kemudahan, dan mereka tulis apa yang hendak dituliskan sehingga kadang-kadang tidak ada asas, maka itulah terjadi fitnah...Takkanlah saya nak serah tanpa bubuh nama sendiri."
- Datuk Seri Ahmad Said

Pengerusi Barisan Nasional (BN)Datuk Seri Ahmad Said berkata cakap-cakap politik beliau tidak akan bertanding pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13) hanyalah spekulasi dan khabar angin.

Beliau yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri itu menyifatkan adalah tidak logik jika beliau tidak meletakkan nama sendiri dalam senarai calon ketika bertemu Pengerusi BN Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini.

Sehubungan itu, Ahmad meminta orang ramai tidak mempercayai khabar angin berkaitan calon yang bakal bertanding kerana ia boleh mengusutkan keadaan

"Ramai yang berfitnah-fitnah kerana kini adalah zaman sains dan teknologi dan dasar langit terbuka. Semua ada kemudahan, dan mereka tulis apa yang hendak dituliskan sehingga kadang-kadang tidak ada asas, maka itulah terjadi fitnah.

"Takkanlah saya nak serah tanpa bubuh nama sendiri. Perkara ini tidak logik sebab saya sendiri sudahpun berbincang dengan PM," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika mengulas penyebaran sistem pesanan ringkas (SMS) berhubung calon yang bakal bertanding pada PRU13 oleh individu tidak dikenali.

Terdahulu, Ahmad merasmikan Majlis Apresiasi dan Resepsi Kecemerlangan Pendidikan Terengganu Negeri Anjung Ilmu yang dihadiri lebih 1,000 wakil pendidik seluruh negeri itu.

Beliau berkata penyebaran spekulasi itu boleh menyebabkan perselisihan sehingga parti menjadi lemah dan berpecah-belah.

Katanya, isu calon BN Terengganu sudah diselesaikan selepas pertemuan dengan Perdana Menteri, oleh itu ia bukan lagi menjadi halangan dan kebimbangan kepada parti untuk bertanding.

"Senarai nama telah lengkap. Cuma tidak boleh nak beritahu lagi kerana takut saat-saat akhir ada pertukaran. Dalam politik ini, apa sahaja boleh berlaku kecuali bila serah, baharu isytihar kepada calon," katanya.