Saturday 31 December 2016

TMT2017 - Impak Positif Kerajaan Terengganu Dilancar Secara Rasmi

Sultan Terenganu, Sultan Mizan Zainal Abidin (kanan) memasukkan plak merasmikan Visit Beautiful Terengganu 2017 di Pulau Duyong di Kuala Terengganu malam semalam.
Visit Beautiful Terengganu 2017' (TMT2017) dilancarkan di Duyong Marina & Resort Pulau Duyong, di Kuala Terengganu dalam suasana penuh warni-warni pada ketika beberap daerah lain di negeri sedang dilanda banjir

Enam daerah yang dilanda banjir ialah Hulu Terengganu, Besut, Kemaman, Setiu, Marang dan Dungun. Jumlah mangsa dipindahkan menjangkau kepada 3,321 orang daripada 1,050 keluarga pada tengah malam semalam.

TMT2017 dianggap akan mecipta rekod, memahat sejarah apabila seramai 3,000 orang pelancong luar negara iaitu negara ASEAN bakal membanjiri Terengganu mulai lusa (2 Januari)  hingga 4 Januari ini.

Ia dianggap sebagai permulaan yang terbaik kepada usaha kerajaan negeri mengisythiarkan 2017 sebagai Tahun Melawat Terengganu (TMT 2017).

Dilaporkan oleh media kerajaan negeri, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman meletakkan asas yang kuat, iaitu dengan menerajui sendiri portfolio pelancongan dengan penekanan yang cukup tinggi diberikan untuk menjana pendapatan rakyat dan ‘pemain-pemain’ industri yang berimpak tinggi ini kepada kecemerlangan ekonomi negeri.

Kunjungan 3,000 pelancong diandaikan berbelanja sekurang-kurangnya RM1,000 tunai seorang dalam tempoh tiga hari itu, bermakna sudah RM3 juta mengalir ke tangan peniaga-peniaga, belum termasuk lagi bayaran penginapan di hotel.

itulah antara kehebatan TMT2017 yang dilancarkan semalam dalam keadaan di mana ketika ini enam daerah di Terengganu sedang dilanda banjir.

Apa yang diharapkan banjir tidak akan menutup jalan bagi perjalanan bas yang mengangkut pelancong berkenaan apa lagi harapan Ahmad Razif untuk membuktikan bahawa usaha beliau yang menerajui sendiri portfolio pelancongan itu mencapai matlamat.

Laporan Harian Metro semalam menyebut, mangsa banjir yang dipindahkan ke pusat pemindahan di Terengganu sudah menjangkau kepada 3,321 orang daripada 1,050 keluarga pada tengah malam.

Angka 2,980 adalah mangsa dipindahkan sehingga jam 10 malam.
Kesemua mereka itu dipindahkan ke 43 pusat pemindahan selepas satu lagi pusat pemindahan di Surau Kampung Padang Setar, Hulu Telemong di Hulu Terengganu dan dua pusat pemindahan baru di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung La serta Surau Seberang La di Besut dibuka.

Menurut kenyataan banjir, etindakan.terengganu,gov.my, pada 12 tengah malam ini, jumlah itu menjadikan mangsa banjir di Hulu Terengganu kini meningkat kepada 2,026 orang daripada 695 keluarga di 22 pusat pemindahan berbanding 1,733 orang sebelum ini.

Jumlah mangsa di Besut pula meningkat kepada 256 orang daripada 107 keluarga di lima pusat pemindahan berbanding 191 orang daripada 50 keluarga di tiga pusat pemindahan, pada kira-kira 9 malam tadi.

Selain itu, jumlah mangsa dipindahkan di Marang kekal seramai 360 orang daripada 89 keluarga manakala di Kemaman juga tidak berubah dengan 380 orang daripada 84 keluarga.

Begitu juga keadaan di Dungun, apabila jumlah yang dipindahkan kekal dengan 82 mangsa daripada 19 keluarga ditempatkan di dua pusat pemindahan.

Bagaimanapun, mangsa yang dipindahkan di Setiu menurun apabila tinggal 217 orang daripada 56 keluarga di empat pusat pemindahan berbanding 234 orang daripada 68 keluarga apabila mangsa Dewan Sivik Chalok dibenarkan pulang.

Turut dilaporkan semalam, lebih 2,000 pelajar di Terengganu dan Kelantan terpaksa melupakan hasrat untuk memulakan sesi persekolahan pada tahun baru 2017 selepas 48 buah sekolah tidak dapat beroperasi ekoran banjir yang melanda kedua-dua negeri semalam.

Pengarah Pendidikan Terengganu, Shafruddin Ali Hussin berkata, penutupan 37 buah sekolah di negeri ini melibatkan lima daerah iaitu Hulu Terengganu, Kuala Terengganu, Setiu, Marang dan Dungun.

“Daerah Hulu Terengganu paling teruk terjejas dengan 22 sekolah kebangsaan dan tiga sekolah menengah terlibat. Enam sekolah ditutup kerana dilanda banjir manakala selebihnya kerana dijadikan pusat pemindahan,” katanya.

Mengenai TMT2017 itu, dilaporkan juga urusetia yang diketuai sendiri oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan), Zainal Abidin Hussin turut  menyusun yang terbaik bersama Forte Hospitality Management Sdn.Bhd demi melihat peniaga-peniaga Terengganu mengambil manfaat dan faedah dari kehadiran pelancong yang begitu ramai itu.

“Kerajaan menyediakan keperluan-keperluan untuk memastikan kehadiran pelancong ke Terengganu, yang akan memperolehi faedahnya ialah peniaga dan usahawan pelancongan, oleh itu layanlah pelancong itu dengan cara yang terbaik,”ujarnya.

Malah seorang penulis begitu yakin bahawa “ bukan RM3 juta dibelanjakan, mungkin sampai RM5 juta ditunaikan di Terengganu kerana menurut Forte yang mengurus kedatangan pelancong dari Singapura, Thailand, Myanmar dan Filipina bahawa pelancong berjumlah 3,000 orang itu kelas pertengahan, bukannya ‘budget tours’.”

Sementara itu, pada majlis pelancaran malam semalam, Sultan Terenganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan berangkat merasmikan TMT2017 diiringi Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah dan anakanda, Yang Dipertuan Muda, Tengku Muhammad Ismail; Tengku Nadhirah Zahrah; Tengku Muhammad Mua'az dan Tengku Fatimatuz Zahra'.

Yang turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman dan isteri, Toh Puan Halina Zakaria serta Setiausah Kerajaan negeri, Datuk Wan Nawawi Wan Ismail.

Baginda seterusnya berkenan menyaksikan gimik pelancaran sebagai simbolik kepada penyempurnaan acara itu.

Gimik berupa persembahan air TMT2017 menyediakan pelbagai kegiatan di Pulau Warisan di Kuala Terengganu  antaranya termasuk permainan tradisional, persembahan kebudayaan dan kesenian, gerai pameran dan jualan serta aktiviti Motofest Terengganu.


Sempena perasmian itu, pertunjukan bunga api dilakukan di muara sungai Terengganu selain persembahan percikan air berwarna-warni.

Ahmad Razif berkata industri pelancongan Terengganu mempunyai potensi yang amat besar untuk dimajukan.

"Kejayaan industri ini boleh menjadi penampan kepada keadaan ekonomi dunia yang tidak menentu selain turun naik harga minyak di pasaran global.

"Industri pelancongan adalah industri yang saling berkait. Sifatnya yang 'menjalin hubungan' antara sesama manusia dan antara manusia dengan alam, meletakkan industri ini sebagai industri yang menjanjikan banyak peluang jayadiri untuk rakyat," katanya semasa berucap pada majlis itu.

Menurutnya kerajaan negeri yakin penganjuran TMT 2017 bakal memberikan impak positif kepada kerajaan serta peniaga, pemandu teksi, pengusaha restoran dan pengusaha hotel di negeri ini. 

No comments:

Post a Comment