Monday 23 July 2012

Kes Saman Terhadap Syed Azman, Kedua-dua Pihak Perlu Kemuka Hujah 30 Julai


Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam mengarahkan kedua-dua pihak dalam kes saman terhadap Anggota Dewan Undangan Negeri Batu Buruk Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi dari parti PAS memfailkan hujahan pada 30 Julai ini berhubung isu sama ada defendan kedua memfailkan saman itu dalam kapasiti peribadinya, atau sebagai Menteri Besar.

Hakim Datin Yeoh Wee Siam membuat keputusan itu dalam kamar selepas membenarkan bantahan awal Syed Azman dan tiga defendan lain bagi membatalkan kerajaan negeri Terengganu sebagai pihak dalam saman tersebut.

Ini kerana hakim itu akan memutuskan isu tersebut pada 28 Ogos ini. Pada 15 Dis tahun lepas, kerajaan negeri Terengganu dan Menteri Besarnya, Datuk Seri Ahmad Said, serta dua peniaga iaitu Mek Hawa Abdul Rahman dan Hamie Azreen Ami Nordin, yang mendapat kontrak membekal uniform sekolah serta alat tulis, memfailkan saman terhadap keempat-empat defendan.


Selain Dr Syed Azman, mereka menamakan pemilik permit Harakah iaitu Datuk Mustafa Ali serta ketua pengarang akhbar itu Ahmad Lutfi Othman dan pencetaknya, Angkatan Edaran Enterprise Sdn Bhd, sebagai defendan.

Sebelum itu Hakim Yeoh memutuskan kerajaan negeri Terengganu tidak mempunyai hak di sisi undang-undang untuk meneruskan saman terhadap Dr Syed Azman dan tiga lagi berhubung sebuah artikel berkaitan pembelian uniform sekolah di negeri itu.

Dalam penyataan tuntutan, plaintif mendakwa Dr Syed Azman memfitnah mereka menerusi artikel bertajuk “Seleweng RM30 juta Bantuan Sekolah?” yang disiarkan Harakah dalam isu bertarikh 11 hingga 13 Nov 2011.

Mereka juga mendakwa artikel itu membawa maksud kerajaan negeri dan Menteri Besar tidak telus dalam pemberian kontrak di bawah program bantuan sekolah di Terengganu.

Sehubungan itu, mereka menuntut ganti rugi am, ganti rugi khas, ganti rugi teruk serta ganti rugi teladan selain kos dan perintah injunksi bagi menghalang defendan daripada terus menyiarkan fitnah tersebut.

Peguam Syed Azman, Mohamed Hanipa Maidin memaklumkan kepada media semalam, hakim itu memutuskan bahawa kerajaan negeri Terengganu tidak mempunyai locus standi bagi meneruskan saman tersebut.

Bagaimanapun, keputusan oleh Hakim Yeoh semalam menyaksikan tiga lagi plaintif kekal dalam saman tersebut.

teganuku

No comments:

Post a Comment