Thursday, 11 April 2013

Asal Bukan Ahmad Said...Siapa Akan Kantoi!


Oleh Panglima Gunung Tebu

Bahagian Pertama

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan hari pengundian bagi PRU13 ditetapkan pada 5 Mei manakala tarikh penamaan calon ialah 20 April, kini .

Barisan Nasional (BN) dijangka mengumumkan senarai calon parti komponen itu yang bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) selewat-lewatnya Selasa 16 April ini,

Pengumuman itu dijangka dibuat Pengerusi BN negeri selepas Pengerusi BN Pusat Datuk Seri Najib Tun Razak menyerahkan senarai calon yang telah dimuktamadkan kepada mereka selewat-lewatnya Isnin ini.

Sebelum ini, Setiausaha Agung BN Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, senarai calon BN mungkin diumum dalam tempoh tujuh hingga 10 hari sebelum penamaan calon pada 20 April ini.

Sebelum dibubarkan, komposisi Dewan Rakyat menyaksikan BN menguasai 137 kerusi, selebihnya DAP (29), Pas (23), PKR (23), Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan Parti Kesejahteraan Insan Tanahair (KITA) masing-masing satu kerusi.

Lapan lagi kerusi disandang anggota Parlimen Bebas. Pilihan raya umum kali ini membabitkan 222 kerusi Parlimen dan 505 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Di mana-mana juga di Terengganu kini, isu yang diperkatakan bukan berapa kerusi BN akan menang tetapi siapa akan menjadi Menteri Besar akan datang dan siapa bertanding di kerusi apa.

Hakikatnya pengumuman pembubaran DUN Terengganu sama hebatnya dengan khabar angin dan sms yang berlegar mengatakan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said tidak akan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal pada pilihan raya umum ke-13 ini.

Sejak lebih dua minggu lalu isu ini diperkatakan hebat di negeri ini. Sumber sms dan khabar angin itu ada yang tidak diketahui dan ada yang diketahui puncanya.

Pemerhati politik melihat isu ini sengaja ditimbulkan oleh kalangan pemimpin UMNO yang mahu Ahmad Said digugurkan selain ramalan pemimpin PAS.

Sesetengah pemimpin PAS cuba menangguk di air keruh dan orang yang paling suka mengadu-domba dalam PASseolah-olah perbuatannya DIHALALKAN ALLAH ialah calon DUN PAS Paka yang kalah pada 2008 itulah. Tidak ada orang lain dah...


 Yang penting bagi sesetengah pihak, orang baru dilantik sebagai Menteri Besar Terengganu yang baru!

Jika dia terus bertanding, akan sukar untuk seseorang lain menggantinya. Kata mereka, sukar untuk menolak beliau jika Ahmad Said dibenarkan terus bertanding!

Sejak dua minggu lalu sama ada di Kuala Terengganu, Kemanan atau Besut, malah di Kuala Lumpur, banyak soalan dikemukakan, apakah benar Ahmad Said bertanding lagi.

Persoalan lain ialah, jika bertanding dan menang, apakah Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin akan ‘berkenan’ untuk melantiknya semula?

Cerita mengenai Ahmad Said kekal atau sebaliknya sebagai Menteri Besar ini menjadi pertanyaan berdasarkan andaian dan cakap-cakap akhir-akhir ini:

1. Perlantikannya sebagai Menteri Besar menggantikan Datuk Seri Idris Jusoh dibuat hanya sebagai ‘sementara’ selepas Sultan Terengganu tidak berkenan dengan perlantikan Idris;

2. Perlantikan Ahmad Said sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri kerana ‘kegagalan’ Datuk Seri Hishamuddin Hussein menyatukan UMNO Terengganu yang berkrisis. Ahmad Said dilihat mampu memainkan peranan itu untuk sementara sehingga selepas PRU-13;

3. Penglibatan anggota istana Terengganu dalam politik PAS dikaitkan dengan ‘restu istana Terengganu’ untuk melemahkan Ahmad Said selain sebagai ‘signal’ untuk beliau memikirkan mengundur diri;

4. Disebarkan berita kononnya Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak tidak senang dengan Ahmad Said berkaitan pengumuman Menteri Besar itu mempertahankan kawasan minyak yang menjadi ‘sengketa’ antara Pahang dan Terengganu yang diumumkan sendiri oleh Perdana Menteri;


5. Ramai kalangan Pegawai Tadbir Terengganu (TCS) tidak senang dengan cara Ahmad Said memperkenankan pelantikan, khususnya ke jawatan penting, khususnya orang yang ‘rapat’ dengan beliau;

6. Ada pihak atas dikatakan ‘tidak senang’ dengan Ahmad Said kerana berbelanja ‘ikut selera’ terhadap projek-projek yang dikatakan tidak akan mendatangkan keuntungan kepada kerajaan negeri seperti pembangunan Tasik Kenyir, Zoo Kemanan serta juga pembangunan Bandar Baru Kijal; dan

 

7. Ahmad Said dituduh melindung orang tertentu, khususnya ‘orang kesayangannya’ dengan cara menghantar belajar ke luar negara walaupun orang itu ‘dikatakan melakukan kesalahan tertentu’. 

 Pada satu majlis di Dungun malam Rabu (10 April 2013), Ahmad Said secara rasmi menepis cakap-cakap kononnya beliau digugurkan atau tidak bertanding pada PRU-13 ini.

Kenyataan beliau itu cuba melenyapkan khabar angin bahawa namanya tidak tersenarai untuk bertanding kali ini.

Namun khabar angin terus bertiup.

Bercakap kepada pemberita selepas melancarkan jentera pilihan raya DUN Sura itu, Ahmad Said berkata selain beliau mempertahankan kerusi, Kkerusi DUN Bandar akan dipertahankan MCA menerusi penyandangnya Datuk Toh Chin Yaw.

Pada masa yang sama Ahmad Said menggesa mereka yang tidak tersenarai agar memberi sokongan padu kepada semua calon Barisan Nasional (BN) Terengganu.

"Jika hari ini kita tolong orang lain, satu hari nanti orang lain pula akan sokong kita. Tidak bertanding bukanlah bermaksud karier politik seseorang itu tamat," katanya.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai senarai calon yang bakal bertanding pada pilihan raya kali ini.

Ditanya mengenai komposisi calon dan penyertaan calon wanita, Ahmad Said hanya menjawab ringkas: "Tunggu sehingga pengisytiharan calon diadakan."

Sebelum itu, Menteri Besar berkata cakap-cakap politik beliau tidak akan bertanding pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13) hanyalah spekulasi dan khabar angin.

Pengerusi BN negeri itu menyifatkan adalah tidak logik jika beliau tidak meletakkan nama sendiri dalam senarai calon ketika bertemu Najib baru-baru ini.

"Ramai yang berfitnah-fitnah kerana kini adalah zaman sains dan teknologi dan dasar langit terbuka. Semua ada kemudahan, dan mereka tulis apa yang hendak dituliskan sehingga kadang-kadang tidak ada asas, maka itulah terjadi fitnah.

"Takkanlah saya nak serah tanpa bubuh nama sendiri. Perkara ini tidak logik sebab saya sendiri sudahpun berbincang dengan PM," katanya.

Beliau mengulas penyebaran sistem pesanan ringkas (SMS) berhubung calon yang bakal bertanding pada PRU13 oleh individu tidak dikenali.'

Ahmad Said  bimbang penyebaran spekulasi itu boleh menyebabkan perselisihan sehingga parti menjadi lemah dan berpecah-belah.

Monday, 8 April 2013

Tiada Sepakatan – PKR Umum Calon Sehari Awal Daripada PAS…

Oleh Pok Teh Bakap

Dilaporkan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengumumkan nama calon PKR Terengganu yang bakal bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) malam ini.

Sementara PAS Terengganu akan mengisytiharkan secara rasmi calon-calon yang akan bertanding di Dewan Tok Guru, Rusila pada Khamis 11 April, jam 9 malam.

Ini bermakna PKR mendahului PAS, walaupun Terengganu ini pada dasarnya negeri ‘milik PAS’.


Amat jelas PKR dan PAS Terengganu seperti berebut-rebut untuk menyatakan ‘kawasan taklukan’ mereka dan sangat jelas pakatan pembangkang tidak akan dapat ‘bersatu hati’ sejak sebelum pilihan raya umum lagi.

Pengumuman oleh PKR itu akan dibuat sempena Jelajah Merdeka Rakyat dan akan dibuat di pekarangan Pejabat PKR Cabang Kemaman di Taman Jakar Jaya, Chukai. Ketua Penerangan PKR Cabang Kemaman, Alias Abd Majid berkata, semua penyokong Pakatan Rakyat (PR) termasuk Barisan Nasional (BN) dan Umno dialu-alukan hadir.

“Pada malam tersebut Datuk Seri Anwar juga akan sampaikan amanatnya yang terakhir sebelum bermulanya hari pengundian,” katanya.

Kata Alias, beliau percaya PRU 13 ini masa dan peluang terbaik bagi seluruh rakyat untuk melakukan perubahan kerana rakyat sudah lebih 50 tahun dibelenggu dengan cara pemerintahan ala Umno dan BN yang penuh penipuan dan rasuah.

“Semoga dengan kehadiran seluruh rakyat Terengganu pada malam tersebut akan memberi satu jawapan bahawa kali ini kita tukar dari BN kepada PR,” katanya.

Mudahnya analogi yang dibuat oleh Alias untuk menukar kerajaan BN tetapi berapa kerusikan PKR bertanding berbanding PAS? Isu yang menjadi pertanyaan ialah di manakah PKR akan bertanding?

Apakah PAS akan membenarkan mereka bertanding di kerusi yang dianggap ‘menang’ oleh PAS?

Apakah PKR hanya akan mendapat kerusi ‘bunuh diri’? Memanglah PKR optimis bahawa kerusi-kerusi PKR di Terengganu bakal ‘menghidupkannya semula’ apabila ia kalah di kesemua tujuh kerusi termasuk dua kerusi Parlimen pada pilihan raya umum lalu, Pengerusi PKR Terengganu, Azan Ismail menggambarkan bahawa tidak mustahil kerusi-kerusi yang ditandingi PKR pada pilihan raya akan memihak kepada calon parti itu sebagaimana pada Pilihan Raya Umum 1999.

“Di Terengganu masa 1999, memang tiada tanda-tanda langsung (pembangkang menang) dan secara tiba-tiba berlaku (peralihan kuasa politik) di negeri Terengganu disebabkan oleh perubahan minda rakyat Terengganu, dicampur dengan generasi muda yang celik teknologi maklumat,” katanya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika sidang media di Pejabat PKR sempena Pelancaran Van PRU13, di Jalan Pejabat, di Kuala Terengganu, pada 28 Mac lalu.

Mengulas lanjut, Azan yang juga bekas Ahli Parlimen Indera Mahkota berkata, keputusan tidak dijangka yang berpihak kepada pembangkang terutama di kerusi ditandingi PKR boleh berlaku berikutan perkembangan positif dan kesedaran rakyat itu.

“Isu berkenaan dengan kesedaran rakyat negeri Terengganu seperti kepentingan pembayaran royalti, saya rasa majoriti rakyat Terengganu juga mengharapkan satu imej baru akan wujud.

Saya rasa rakyat Terengganu telah memikirkan ‘caption’ untuk mewujudkan Terengganu baru,” katanya.

Selain isu kerusi yang dipertandingkan, Azan sendiri belum pasti bertanding di kerusi mana selepas beliau dipaksa melepaskan kerusi Parlimen Indera Mahkota.


Azan (gambar atas) dikatakan mengintai kerusi Parlimen Kuala Terengganu tetapi tidak mungkin PAS akan melepaskan mudah kerusi berkenaan yang kini disandang sendiri oleh Pesuruhjaya PAS Mohd Abdul Wahid Endut.

Ada cakap-cakap Abdul Wahid akan melepaskan kerusi berkenaan untuk ditandingi Dr Syed Azman Syed Ahmad, namun segala-galanya belum pasti.

Akhir-akhir ini, ada cakap-cakap Azan akan diangkat menjadi calon PKR bagi DUN Bandar dalam Parlimen Kuala Terengganu dan ia semakin terserlah apabila banner-banner dan bunting yang meletakkan gambar Azan Ismail bersama-sama perkataan "Undilah PKR" dilihat di jalan-jalan utama sekitar Kampung Tiong dan di kawasan Losong.

Ada juga desas-desus yang menyatakan bahawa Azan akan dibawa bertanding di Parlimen Kemaman, namun berdasarkan kerja buat Azan yang dilihat lebih banyak berada di sekitar Kuala Terengganu, maka penulis melihat adanya asas sekiranya hendak dikatakan bahawa beliau akan dibawa bertanding di DUN Bandar.

Cakap-cakap juga menyebut Pengerusi Angkatan Amanah Merdeka (Amanah) Negeri Terengganu yang juga kerabat diraja Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah akan dijadikan calon PAS sama ada di DUN Batu Buruk ataupun di Parlimen Kuala Terengganu.

 

Utusan Malaysia Online pada 5 April lalu menyebut PAS memberi bayangan bahawa Pengerusi Amanah Terengganu itu bakal diletakkan bertanding mewakili parti itu bagi kerusi Parlimen Kuala Terengganu pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13). Pengumuman secara 'rasmi' itu tidak sengaja dibuat Datuk Tengku Hassan Tengku Omar (Ahli Dewan Undangan Negeri Ladang) ketika berceramah di Cabang Tiga pada malam 4 April.

Bagaimanapun, Raja Kamarul ketika ditemui pada majlis yang sama enggan mengulas berkenaan perkara tersebut dan memaklumkan beliau masih belum menerima tawaran secara rasmi.

Pun begitu, beliau mengakui akan mempertimbangkan tawaran itu jika benar PAS menawarkan beliau bertanding di kerusi Parlimen yang sebelum ini dipegang Abdul Wahid selepas  memenangi pilihan raya kecil pada tahun 2009.

Secara tidak rasmi begitulah (dicalonkan) tetapi saya masih belum terima apa-apa tawaran dan saya tidak mahu mendahului parti jadi, biar lah mereka umum dahulu. Ya,.. memang tawaran ada datang daripada PAS tetapi saya orang baru, Yang Berhormat terdahulu juga tidak tahu dapat bertanding atau tidak masakan saya yang baru akan dipilih," katanya.

Beliau menyatakan lebih selesa bergerak di bawah Amanah dan tidak tahu lagi secara rasmi bertanding atau tidak dan buat masa sekarang Amanah adalah platform beliau.

Sekiranya Raja Bahrin dicalonkan sebagai calon di Dun Batu Buruk, berkemungkinan besar wakil rakyat sekarang iaitu Dr.Syed Azman (gambar kiri) akan dibawa bertanding ke Parlimen Kuala Terengganu, kerusi yang pernah disandangnya pada tahun 1999.

Banner-banner gergasi yang dinaikkan di sekitar jalan utama di Kuala Ibai dalam DUN Batu Buruk dengan jelas memaparkan gambar Raja Bahrin dan Dr.Syed Azman dengan meletakkan slogan "Undi Pakatan untuk Pendidikan Percuma".

Amat jelas Azan akan menghadapi masalah pencalonannya di Kuala Terengganu kerana menurut Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu, parti itu akan meletakkan calon dan bertanding di tujuh dari lapan kerusi parlimen dalam negeri Terengganu pada pilihanraya umum ke-13.

Jika demikian, di manakah Azan akan bertanding?

PAS Tidak Berganjak, Satu Kerusi Pun Tidak Akan Dilepaskan...

Hadi menjawab soalan wartawan di Kota Sarang Semut semalam.
Pas Pusat mengesahkan tidak akan melepaskan mana-mana kerusi milik mereka untuk memberi laluan kepada rakan pakatan lain mendapat tambahan kerusi pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

Baca sekali lagi kenyataan itu?

Siapa nak rebut kerusi PAS? UMNO atau Barisan Nasional?

Tidak. Tidak. Tidak. Sudah pasti ia adalah PKR dan DAP. Tapi kenapa sehingga demikian PAS beri amaran?

Kata PAS dan parti sekutunya dalam pakatan pembangkang, isu calon dah selesai...

Semalam Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, tiada kerusi Pas dilepaskan, sebaliknya kemungkinan berlaku proses pertukaran kerusi antara calon parti dalam Pakatan Rakyat.

“Itu (kerusi Pas) tidak ada lepas melepas, kita tukar menukar (kerusi) itu adalah.

Proses pertukaran dapat disaksikan semasa hari penamaan calon, tidak boleh umum sekarang,” katanya kepada media semasa menghadiri majlis ceramah Pelancaran Manifesto PRU13, Pakatan Rakyat Kedah di Kompleks Pas Kedah, Batu 9, di Kota Sarang Semut.

Hadir sama, Pesuruhjaya Pas Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak, Pengerusi DAP Kedah, Lee Guan Aik; anggota Jawatankuasa Eksekutif DAP, Dr Tan Seng Giaw dan Timbalan Pengerusi PKR Kedah, Ir Zamri Yusuf.

Sebelum ini, Pengerusi PKR Kedah, Datuk Wan Salleh Wan Isa memaklumkan Pengerusi Jabatan Pilihan Raya Pusat PKR, Mohamed Azmin Ali akan membuat rundingan supaya Pas sedia melepaskan satu kerusinya atas semangat setia kawan rakan pakatan.

Wan Salleh berkata, mereka cuba berbincang dengan Pas supaya dapat memberi pertimbangan sewajarnya supaya melepaskan satu daripada mana-mana kawasan Pas di negeri Kedah kepada PKR.

Katanya, jika Pas sudi lepaskan satu kerusi pada PKR, kita juga akan bersedia untuk melepaskan kerusi kepada DAP bagi menyelesaikan kemelut pertembungan tiga penjuru antara PKR dan DAP seperti di kerusi Derga pada pilihan raya umum lalu.

Difahamkan di Kedah, sebelum ini berlaku perebutan kerusi melibatkan Parlimen Alor Setar dan Padang Serai manakala kerusi Dun ialah kawasan Bakar Bata, Gurun, Bakar Arang, Lunas dan Derga.

Pada pilihan raya umum lalu, Kedah yang mempunyai 36 kerusi Dun menyaksikan Pas bertanding di 24 kerusi, PKR (10 kerusi) dan DAP (dua kerusi) manakala DAP dan PKR bertembung di kerusi Dun Derga.

Manakala di Perak, Pas kawasan Bagan Serai mengumumkan tetap akan meletakkan calonnya di Parlimen Bagan Serai walaupun Ketua Umum PR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Pengerusi PKR Perak, Dr Muhammad Nur Manuty di kawasan berkenaan.

Sementara itu mengulas mengenai calon, Abdul Hadi berkata, proses memuktamadkan senarai nama-nama calon sudah siap 99 peratus dan kini dalam proses peringkat penelitian terakhir untuk dikemukakan setelah mendapat kelulusan daripada Majlis Syura Ulama.

“Kita lebih awal selesaikan nama calon berbanding Barisan Nasional, itu menunjukkan kita lebih cepat menyelesaikan masalah dalaman Pakatan Rakyat bukan sahaja di kalangan parti masing-masing tetapi di kalangan rakan pakatan.

“Pas akan bertanding 76 kerusi Parlimen pada pilihan raya kali ini dengan 237 kerusi Dun seluruh Malaysia,” katanya.

Beliau turut menyerahkan kepada keputusan parti untuk menentukan kawasan bakal ditandinginya.

“Kita kena tunggu hari pengumuman, saya tidak boleh buat keputusan sendiri terpulang pada parti mahu letak di mana asal bukan bertanding di Singapura sudahlah,” selorohnya.