Apakah senario politik
Terengganu akan berubah dalam sedikit masa lagi?
Apakah akan ada gerakan
baru dalam Pakatan Harapan (HARAPAN) di
Terengganu dengan perkembangan mutakhir apabila adanya ‘pergolakan kecil’ dalam
pakatan itu?
Politik adalah permainan
sebarang kemungkinan.
Dan antara kemungkinan perubahan
senario politik Terengganu ialah Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan PKR
bergabung untuk menjadi satu pakatan baharu dalam HARAPAN dan di situ pihak
lagi ialah juga dua parti – AMANAH dan DAP.
Dengan kedudukan itu,
peluang AMANAH dan DAP yang bertanding di kerusi yang mereka idamkan akan
semakin cerah.
Malah mereka juga
berpeluang bertanding di lebih banyak kerusi dan DAP berpeluang untuk
menjejakkan kaki ke bumi Terengganu.
DAP sebelum ini turut
menyatakan untuk bertanding di DUN Bandar dan DUN Cukai melalui cadangan dan
sokongan AMANAH.
PPBM dan PKR pula
berpendapat, belum masanya DAP bertanding di Terengganu kerana jumlah penduduk Cina
yang kecil.
Azan Ismail, Pengerusi PKR Terengganu |
Politik sebarang
kemungkinan ini pernah berlaku di Sarawak pada pilihan raya negeri 1991 (Jumaat, 27 September dan Sabtu 28 September) 1991.
Ia apabila kepimpinan Parti
Bansa Dayak Sarawak (PBDS) yang diketuai oleh Leo Moggie (Tan Sri) mengambil
keputusan untuk menjadi pembangkang di peringkat negeri tetapi bergabung dengan
Barisan Nasional (BN) di peringkat Pusat.
Maknanya pada 1991, di
Dewan Rakyat PBDS ialah komponen BN tetapi di DUN Sarawak, PBDS adalah
pembangkang.
Pergolakan kecil
membabitkan isu pembahagian kerusi yang gagal diselesaikan oleh HARAPAN
Terengganu di mana PPBM dan PKR bersetuju agar diselesaikan di peringkat negeri
dan AMANAH pula mahu menyerahkannya ke Pusat - dijangka tidak akan reda selepas
tarikh HARAPAN Pusat membuat keputusan selepas 6 Februari nanti.
Selain itu isu keupayaan
Pengerusi PAKATAN, Datuk Raja Kamarul Bahrin Raja Ahmad yang dipertikaikan
kerana gagal melaksanakan keputusan mesyuarat juga memungkinkan PPBM dan PKR
meninggalkan pakatan sedia ada.
Bermakna akan wujud tiga
blok pembangkang di Terengganu iaitu PAS, PPBM-PKR dan AMANAH-DAP melalui
HARAPAN untuk menentang BN/UMNO/MCA.
Sejak semalam, walaupun ‘pergolakan kecil’ adalah lebih kepada beberapa posting FB Hambali Abdul Latiff –
Setiausaha PPBM yang juga Ketua Penerangan HARAPAN Terengganu – namun
kepimpinan PPBM dan PKR Terengganu nampaknya sebelum ini pun berminat untuk
‘berpisah’ daripada gabungan dengan AMANAH dan DAP.
Walaupun Pengerusi PKR
yang juga ADUN Bandar, Azan Ismail dan Pengerusi PPBM, Datuk Razali Idris yang mana kedua-dua mereka
Timbalan Pengerusi HARAPAN Terengganu belum mengumumkan pendirian itu tetapi
cakap-cakap mengenai perkara ini sudah mulai kedengaran.
Biarpun ada mengatakan tiga ketua Bahagian PPBM tidak
akan menyertai Razali bagi tujuan ini, peluang untuk mereka bertanding adalah
tipis kerana kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dituntut oleh mereka dalam
HARAPAN semuanya bertindan, kecuali DUN Bukit Besi.
Pertindihan kerusi paling
banyak ialah antara AMANAH dan PKR sementara PPBM dan AMANAH pula bertindan di
dua kerusi penting kedua-dua parti – Ladang (Parlimen Kuala Terengganu) dan
Chukai (Parlimen Kemaman).
Wakil PPBM pada mesyuarat
HARAPAN negeri meminta dua kerusi berkenaan kerana ia dijangka akan ditandingi
oleh Ketua Bahagian masing-masing (Kuala Terengganu dan Kemaman).
PPBM turut tidak gembira
apabila kerusi DUN di Parlimen Kuala Terengganu mahu dibolot oleh AMANAH
khususnya di Ladang, Batu Burok dan Wakaf Mempelam. DUN Bandar adalah kerusi incumbent
diwakili oleh PKR.
AMANAH yang awalnya
menganggap kerusi DUN Wakaf Mempelam sebagai kerusi asas mereka, pada
perundingan terakhir menawarkan kepada PPBM atau PKR dan menyatakan keinginan
untuk mendapatkan DUN Batu Burok dan Ladang.
Razali Idris - Pengerusi PPBM Terengganu. |
PPBM dan PKR berpendapat,
bagi setiap Parlimen, termasuk Kuala Terengganu, PPBM wajar diserahkan satu
kerusi dan kerana itu PPBM meminta kerusi Ladang.
PKR pula yang mendapat dua
kerusi Parlimen – Dungun dan Kemaman – mengharapkan dapat bertanding dua kerusi
DUN masing-masing di dua Parlimen berkenaan.
PKR memohon kerusi Sura
dan sebuah kerusi DUN lain kemungkinan di DUN Rantau Abang di Dungun, sementara
di Parlimen Kemaman, mereka mengharapkan kerusi Kemasik dan sebuah kerusi DUN
lain, kemungkinan Air Puteh.
AMANAH yang bertanding di
Parlimen Kuala Nerus mendapat DUN Teluk Pasu dan sebuah DUN lain dan di Marang,
AMANAH dipersetujui untuk bertanding di DUN Bukit Payong dan Rhu Rendang.
Bagi Parlimen Besut, Setiu
dan Hulu Terengganu, PPBM diperuntukkan dua kerusi DUN dan setiap parti –
AMANAH dan PKR – turut mendapat sekurang-kurangnya satu DUN.
Banyak pihak mengatakan
pergolakan ini akan memberikan ruang kepada PAS dan BN untuk menang.
Raja Kamarul Bahrin, Pengerusi AMANAH. |
Namun ada berpendapat mengatakan, pergolakan kecil yang akan memisahkan PKR-PPBM dan AMANAH-DAP tidak
akan menjejas apa-apa. Ia masih boleh diperbetulkan jika PRU14 diadakan dalam
tempoh empat atau lima bulan lagi.
Yang pasti bagi mereka yang di atas pagar dan menyokong
pembangkang dan kurang berminat untuk menyokong AMANAH yang bergabung dengan
DAP - akan memberikan sokongan kepada PKR dan PPBM.
Yang penting ialah juga
faktor calon, gerak kerja yang dilakukan oleh PPBM dan PKR di lima Parlimen –
utara dan selatan Terengganu yang tersusun dan pemuafakatan antara kedua kerusi
berkenaan akan menjadi penentu kemenangan mereka.
Asasnya, adalah baik
menentukan hala tuju sebenar untuk menempuhi PRU14 sekarang daripada terlambat,
apa lagi selepas Dewan Rakyat dan DUN dibubarkan.
BN dan PAS pastinya lega
dengan perkembangan itu.
Namun dengan majoriti
senyap dan PPBM serta PKR yang bersiap sedia dengan jentera dan haluan
perjuangannya lebih jelas berbanding BN dan PAS, mereka dilihat tidak terjejas
dengan ‘perpisahan’ itu.
Walaupun mungkin tidak bersama AMANAH dan DAP, pakatan PPBM dan
PKR tetap berupaya memberi saingan kepada PAS dan BN serta dua parti dalam
gabungan HARAPAN itu.
Sementara AMANAH yang
semakin bersendirian dijangka akan berdepan dengan kedudukan semakin sukar apa
lagi dilihat bertanggungjawab ‘memanaskan keadaan dalam HARAPAN’ kerana menjadi
‘juara untuk DAP’ bertanding di Terengganu.
Perkembangan ini dijangka
akan menyebabkan HARAPAN Pusat perlu menilai dan mengatasi isu ini dengan bijak
dan berhemah.
Sebarang silap langkah
oleh HARAPAN Pusat bukan sahaja akan di tolak oleh kepimpinan PKR dan PPBM Terengganu
tetapi juga oleh penyokong pembangkang di Terengganu.
Kemungkinan besar juga,
jika ‘pergolakan’ ini tidak diatasi, AMANAH dan DAP akan terpencil yang
pastinya semakin sukar untuk berdepan PAS, BN/UMNO serta gabungan PKR-PPBM pada
pilihan raya kali ini.