Saturday 10 May 2014

PAS - Tukar MB Tak Selesai Masalah, Lebih Baik ‘Bubar DUN’

Oleh  Mohd Nor Hamzah
Ketua Penerangan Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu

Mohd Noor Hamzah
Saya mengikuti dengan cermat berita hangat ketika ini, iaitu berkaitan dengan desas desus pertukaran Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said yang dikatakan telah berjanji dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mengemudikan Kerajaan Terengganu selama setahun sahaja bermula selepas menang PRU 13.

Saya sebagai rakyat Terengganu, merasakan berhak untuk mengemukakan beberapa persoalan agar jelas, apakah masalah yang sedang melanda Kerajaan Negeri Terengganu ini.

Sebagai wakil rakyat, saya telahpun menjalankan tanggungjawab saya dengan mengemukakan soalan di dalam Sidang DUN baru-baru ini berkenaan pertukaran MB ini.

Malangnya soalan saya ditolak oleh DUN.

Oleh itu saya dengan penuh rasa bertanggungjawab mengemukakan soalan di sini agar kita, rakyat Terengganu, sama-sama dapat memikirkan masalah negeri kita. PAS sudah lama menyatakan kepincangan dalam pentadbiran Ahmad Said, tetapi sayang, ramai yang tidak mahu menerimanya.

Dua ADUN yang dikatakan calob MB Terengganu yang baru.
Apakah kesalahan Ahmad Said sebenarnya, sehinggakan beliau hendak diturunkan dari tahta MB ini?

Jika kerana berlaku penyelewengan dalam pentadbirannya seperti yang PAS nyatakan dahulu, rakyat tidak boleh tidak, mesti dimaklumkan.

Jika ada bukti, dakwa beliau di mahkamah, lakukan pendedahan terbuka.

Undang-undang kita tidak mengenal sesiapa, besar atau kecil, bukan alasan untuk dia tidak didakwa.

Kecuali pimpinan Umno negeri yang tidak sebulu dengan Ahmad, memilih untuk menjadi pengecut dengan mendiamkan semua penyelewengan itu, jika ada.

Oleh itu ahli Umno yang mengaku cintakan keadilan, mesti bangkit bagi membongkar segala kepincangan ini supaya rakyat dapat menilai dan membuat satu kata putus yang betul dalam PRU yang akan datang.

Rakyat Terengganu, saya yakin, mereka telah muak dengan drama bersiri perbalahan dalaman Umno terutama antara “Team Utara” dan “Team Selatan” yang kelihatannya tiada berkesudahan pasca PRU 12, pada tahun 2008 (Kes Tuanku Sultan Terengganu digelar binatang).

Sesiapa sahaja daripada Umno yang dipilih sebagai MB, dia akan melangsungkan agenda pembaziran wang rakyat.

Oleh itu pertukaran MB ini saya percaya tidak ubah seperti menyapu sampah ke bawah karpet, tidak akan menyelesaikan masalah. Suatu masa, sampah itu akan menimbun dan kelihatan juga. Melainkan pembubaran DUN dibuat bagi rakyat diberi mandat untuk memilih semula kerajaan dan sekaligus untuk MB yang baru. 

Sikap membisu Ahmad Said juga, menambahkan lagi persoalan-persoalan ini, dan adakalanya seperti dia mengiyakan kebenaran berita yang dicanang ini.

Ini ditambah dengan sikap pimpinan Umno negeri memperlihatkan seolah-olah mereka sedang menunggu “hari bersejarah” yang dikatakan itu.

Apatah lagi dengan kegagalan Karnival Kenyir yang sangat memalukan Ahmad dan juga dengan kenaikan cukai pintu oleh MBKT sehingga beratus kali ganda, memperkuatkan lagi suara-suara yang mencadangkan ianya seperti sabotaj dari pihak-pihak tertentu bagi memalukan pentadbiran Ahmad untuk melengkapkan jalan cerita ini.

BuletinOnline 

No comments:

Post a Comment