Saturday 10 September 2011

Jangan Jadi Pengkhianat Negara – MB

Pelajar Terengganu di luar negara yang terbabit dalam politik pembangkang serta demonstrasi menentang kerajaan boleh dianggap sebagai pengkhianat negara.

Sepatutnya pelajar berkenaan menyedari serta mengenang jasa kerajaan yang menyediakan bantuan bagi membolehkan mereka menyambung pengajian di luar negara.

Kerajaan negeri memperuntukkan kira-kira RM30 juta setahun untuk membangunkan bidang pendidikan di Terengganu termasuk membiayai pengajian pelajar ke luar negara.

Kerajaan telah mengeluarkan belanja besar untuk menampung kos pengajian mereka di luar negara.

Seperti majlis yang diadakan Khamis lalu, kerajaan Terengganu berbelanja kira-kira RM4 juta sebagai wang pendahuluan untuk 96 orang pelajar Terengganu ke luar negara.

“Malangnya ada pelajar yang menyertai pembangkang menentang kerajaan di sana. Mereka ini pengkhianat negara dan tiada maaf bagi mereka. Kalau mereka tak mahu belajar, kita agihkan saja pada pelajar lain,” kata Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said.

Beliau menyatakan perkara itu berucap pada majlis meraikan 96 pelajar yang bakal melanjutkan pengajian ke luar negara dan penyerahan wang pendahuluan diri tajaan Yayasan Terengganu (YT) di Seri Iman, Khamis lalu.

Justeru, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said memberi amaran tegas ke atas mereka agar jangan sekali-kali terbabit dengan kegiatan seumpama itu bagi mengelak dikenakan tindakan.

Beliau menegaskan, pihaknya tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas ke atas mereka yang terbabit termasuk menyertai perhimpunan anjuran pembangkang di Mesir pada 9 Julai lalu.

Ahmad Said kesal dengan pembabitan pelajar seperti itu kerana mereka sepatutnya menyedari serta mengenang jasa kerajaan yang menyediakan bantuan bagi membolehkan mereka menyambung pengajian di luar negara.

No comments:

Post a Comment